![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 28 Aug 1935, p.2
General Article.
Orang Melayu Di dalam Negerinya. Fikirkan, Dibahaskan, Timbangkan, Kemudian Jalankan Terus.
Pada tiap-tiap tahun adalah kelihatan di tempat-tempat raya seperti balai-balai penghulu, masjid-masjid, rumah-rumah pasung dan sebagainya, nama-nama orang yang belum membayar cukai tanah kepada kerajaan.
Pada lazimnya, nama-nama orang kita Melayu berlebihan sangat bilangannya. Sebenarnya jua masa ini masa kesusahan, tetapi bangsa-bangsa lain yang mendiami negeri kita ini pun tiada terlepas daripada rempuhan masa kesusahan ini, dan setengah-setengah tempat bilangan mereka itu yang mempunyai tanah ada lebih daripada bilangan orang-orang kita. Oleh itu apakah sebabnya nama-nama orang-orang kita yang terbanyak sekali kelihatan di dalam kenyataan-kenyataan yang tersebut itu?
Adakah pendapatan daripada tanah-tanah yang dipunyai oleh orang-orang kita kurang daripada pendapatan tanah-tanah yang dipunyai oleh bangsa-bangsa lain itu?
Atau pun adakah oleh kerana banyak orang-orang lain datang menumpang hingga pendapatan orang-orang kita telah menjadi kekurangan. Di atas jawapan soal-soal inilah terhenti keselamatan kemajuan dan kemakmuran bangsa kita.
Sekiranya pula tiada berjawab, maka ikhtiar-ikhtiar tiada dapat dijalankan bagi menunjukkan kaum kita kepada kemajuan ramai ini. Walhalnya, kemajuan bangsa kita itu dikehendaki sangat-sangat di atas serba serbinya supaya berhak kita di dalam segala perniagaan di negeri kita ini.
Tujuan penulis ialah sekadar mengeluarkan fikiran sendiri sahaja di atas suatu perkara yang difikirkan kemajuan bangsa kita Melayu ialah kerana lalai dan tiada memandang ke hadapan.
Jika kita hitung dengan sesungguhnya cukai tanah yang dikehendaki oleh kerajaan bagi kita membayar tahun-tahun itu, ialah sekadar bahagian yang sedikit sangat daripada khazanah yang kita dapat daripada seekar tanah itu, sekiranya tanah itu diusahakan dengan sepatutnya.
Adalah patutnya orang-orang kita tiadalah ia payah bergadai kerana membayar cukai tanah. Maka sebab pun kita terpaksa jua berjual bergadai fasal ini ialah kerana tiada kita menyediakan sedikit pun wang pada tiap-tiap kali kita berjual khazanah tanah itu, kerana membayar cukai tanah itu. Sungguh pun kita tahu yang cukai itu mustahak dibayar, kalau tidak akan terlepas tanah itu daripada milik kita. Maka ketiadaan tabiat berangkut-angkut seperti anai-anai menyediakan makanan sebelum musim lapar itulah yang menyebabkan kita bukannya sahaja tiada dapat membayar cukai tanah, tetapi melarat kepada tiada berharta dan yang berharta jatuh papa kerana berhutang bagi menyempurnakan kehendak hawa nafsu dan tiada menghitung sekiranya hutang itu dapat dibayar.
Masa cukai tanah itu sedikit lagi banyak orang kita tiada membayarnya. Tetapi apakala sudah bertambah dengan belanja notis dan sebagainya, barulah dibayar ini suatu perkara untuk dimenungkan benar sebab sekiranya singgah kita tiada upaya hendak membayar cukai tanah masa belum lagi ia bertambah, tentulah kita tiada jua boleh bayar apakala telah bertambah oleh kerana belanja notis dan sebagainya.
Daripada ini, nampaklah yang ialah sudah menjadi tabiat kita bagi orang-orang kita sudah terpaksa membuat sesuatu benda itu, barulah kita bergerak. Tabiat ini telah melucutkan daripada orang-orang kita pada masa yang lalu ((dan jua pada masa ke hadapan jika tiada diubah)) beberapa peluang yang boleh memimpin kepada tangga kemajuan seperti kerja kuli berjual beli dalam kampung dan sebagainya, yang telah dijadikan oleh bangsa-bangsa asing sebagai tempat lompatan kepada mencapai kekayaan dan kesenangan. Dan dengan kekayaan ini dapatlah mereka itu mengembangkan perniagaan dan memberi peluang pada bangsa mereka itu berniaga sehinggakan pada masa ini payah sangat tampaknya perniagaan Melayu hendak maju oleh kuat pakatan dan setia mereka itu atas memelihara keselamatannya hak mereka itu.
Perkara tiada bersedia bagi membayar cukai tanah ini awalnya melarat kepada bergadai barang-barang mas yang dibeli pada masa makmur, bergadai ini selalunya memberatkan lagi kesusahan seseorang itu sebab sekiranya tiada ia berhajat hendak menebus barang itu, tentulah tiada ia bergadai, tentulah di jual atau dipulangkannya biasanya, kerana membayar bunga sesuatu barang itu sebab takut lelap, barang-barang lain pula digadaikan. Dengan hal ini bukannya sahaja barang yang mula-mula digadaikan kerana menebus barang-barang dipajak gadai. Kemudian barang-barang itu digadaikan balik oleh membayar bunga hutang tanah dicampur pula oleh perkara-perkara yang lain.
Akhirnya, barang-barang hilang dan jua tanah pun terlelong. Inilah disebabkan tabiat tiada bersedia, tiada pandang ke hadapan, dan tiada mau berikhtiar melainkan apakala terpaksa.
Soal yang kedua: adakah pendapatan daripada tanah-tanah yang dipunyai oleh orang-orang kita itu kurang daripada pendapatan-pendapatan tanah-tanah yang dipunyai oleh bangsa-bangsa asing?
Bagi menjawabnya, silalah kita perhatikan tanah-tanah orang kita dan bandingkan dengan tanah-tanah bangsa asing. Di dalam daerah yang tanahnya ditanam getah, sekiranya tanah itu semak, pokok-pokoknya rosak, dan toresannnya bercabang bercarik sampai bertangga atau panjat memotongnya dan tak katup tanahnya ini, tentulah tanah orang Melayu dibandingkan dengan bangsa Hindu yang kita selalu memikirkan hina itu pun kita jauh tertinggal ke belakang tentang usaha tak usah lagi dikatakan bangsa Cina dan bangsa Eropah.
Dikecualikan pada masa yang susah sangat kemarin pada lazimnya orang kita yang ada mempunyai tanah lima ekar ia mengupah orang lain bagi mencuci dan memarit tanah-tanah itu. Demikian jua potong getah atau menurunkan nyiur; bangsa-bangsa lain tiada begini, melainkan oleh keuzuran kerana tua atau sakit. Penulis biasa menengok orang-orang Cina yang mempunyai tanah getah lima ekar berusaha atas tanahnya sendiri dengan dibantu oleh anak-anak isterinya.
Dengan kurang usaha, jadilah pendapatan orang-orang kita kurang walaupun luas tanah mereka itu sama dengan tanah bangsa-bangsa asing ini, tentulah mendatangkan susah pada orang-orang kita, sepatutnya apakala pendapatan kita tiada cukup, hendaklah kita berikhtiar dengan sesungguhnya menambah pendapatan kita, mula-mulanya daripada tanah kita iaitu diusahakan sehingga tanahnya cukup. Kemudian dipelihara supaya sepenuh-penuh khazanah dapat daripada tanah itu dengan membuat beberapa pekerjaan yang boleh itu sendiri terpeliharalah kita daripada berbelanja kerana upah. Apakala semua ini telah diperbuati pendapatan, tiada jua cukup ikhtiar yang lain hendaklah dijalankan bagi menambah pendapatan seperti memelihara hidup-hidupan atau bertanam-tanaman benda-benda makanan supaya mengurangkan belanja.
top |