Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Dec 1935, p.2

General Article.

Kemajuan dan Kemunduran. Kaum tiada boleh ditanggungkan ke atas batang tengkuk Imam-Imam Sekarang.

Oleh Mukmim.

Kita tulis rencana ini bukan sekali-kali kerana menjawab satu-satu rencana, tetapi sekadar kita suka menerangkan kepada ramai mengapa, apa sebab, kepada Imam-Imam sekarang tiada boleh ditanggungkan masalah kemajuan dan kemunduran kaumnya?

Di dalam perkara ini, patut kita terangkan terlebih dahulu siapa dia Imam dahulu dan siapa dia Imam sekarang, dan apa pula perbezaannya. Telah ada seorang penulis membandingkan Imam-Imam dahulu seperti Nabi kita ((as-salam)) dan sahabat-sahabatnya, Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali, dan lain-lain lagi Radiallahu-anhu, dengan Imam-Imam sekarang. Pada hal kita sekalian tentu telah mengetahui berapa jauh perbezaan di antara Nabi kita ((as-salam)) dan sahabat-sahabatnya itu dengan Imam-Imam sekarang seperti bumi dengan langit, sama ada tentang kemerdekaannya ataupun kekuasaannya.

Adapun Imam-Imam dahulu seperti Nabi ((was-salam)) dan sahabat-sahabatnya bukanlah beliau-beliau itu menjadi Imam-Imam sembahyang, bahkan ialah pembuka ugama dan penganjur yang terbesar sekali pada pendapatan dunia, hingga sekalian Raja-Raja yang besar-besar di muka bumi ini telah lemah daripada menolakkan kekuasaan kebenaran ((salim)) dan sekalian sahabat-sahabatnya Radiallahu-anhu.

Kemerdekaan hati Rasul-Rasul Allah tiada ada hingganya, hanya sempadannya ialah surat dan tegahan Tuhannya semata-mata hingga mendapat kejayaan yang sempurna.

Tatakala wafat ((salam)) maka Saidina Abu Bakarlah menjadi Imam, yakni Amirul-Mukminin atau Khalifah al-Rasyidin, dan kepadanyalah tertanggung segala hal-ehwal orang Islam dengan dibantu oleh sahabat-sahabat ((Radiallahu-anhu)) yang lain-lain.

Kemudian daripada itu, berturut-turutlah sahabat-sahabat Nabi ((salam)) itu menjadi Imam atau Khalifah al-Rasyidin hingga sampai kepada Ali Radiallahu-anhu.

Omar Radiallahu-anhu yang sangat-sangat masyhur gagah dan bijak masa ia jadi pengetua kerajaan Islam telah menaklukkan beberapa tempat hingga meluaskan jajahannya Islam dengan tiada mengambil masa yang berlanjutan.

Pada masa Osman dan Ali Radiallahu-anhu menjadi Imam, atau Khalifah al-Rasyidin, telah banyaklah orang-orang Arab itu berselisih faham; tetapi oleh sebab orang-orang Arab Islam pada masa itu sangat kuat imannya, maka hal itu tidaklah menjadi kerosakan sangat, tetapi berlaku juga kekacauan yang sangat ditakuti itu; semata-mata kerana kemerdekaan hati orang-orang Arab hendak memilih ketuanya.

Pada dewasa itu hingga kepada berzaman-zaman ke belakang, kerajaan Islam sangat-sangat masyhur pada serata-rata dunia hingga menyebabkan khuatir kerajaan-kerajaan Eropah masa itu. Tetapi malangnya setelah beberapa kurun kemudian daripada itu, semangat kerajaan Islam itu semakin berkurangan dan kemegahan yang masyhur itu cuma tinggal pada zahir sahaja. Padahal, semangatnya hampir-hampir hilang sama sekali. Beberapa sebab yang besar-besar yang menyebabkan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam itu dan satu daripada sebab-sebabnya yang terbesar sekali, iaitu perubahan ketua-ketua pemerintah dan juga peraturan kerajaannya itu telah bertukar; semakin lama, semakin jauh daripada tujuannya yang asal.

Hingga pada zaman yang akhir ini kerajaan-kerajaan Islam telah undur kepada maqam yang ke bawah sekali.

Ada lagi satu hal yang patut sangat kita sebutkan di sini, ialah pengetua-pengetua kerajaan Islam itu sendiri telah melarikan kerajaannya daripada dikuasai oleh ugama; kerana pada fikiran ketua kerajaan itu kerajaan bagi kerajaan dan agama bagi agama; yakni tidak kena-mengena.

Maka fikiran yang semacam itu sangatlah terpesong ((salah)) ataupun fikiran orang gila, cuba kita fikir sekejap kemudian baru kita berkata begini: bukankah hukum-hukum agama yang diturunkan Allah dengan jalan lidah Rasul-Rasulnya itu untuk manusia? Ertinya, wajib tiap-tiap manusia itu tiada yang terkecuali melainkan yang tertentu seperti kanak-kanak dan orang-orang gila sahaja. Maka tidak boleh tidak mesti mengikut akan perintah Syariah, iaitu perintah Tuhannya.

Maka betapa pula ketua-ketua kerajaannya yang telah mengetahui Islam tidak sedikit pun menaruh gentar dan takut kepada kerajaan Tuhannya yang tidak dapat tiada akan membalas perbuatannya di hari akhirat kelak. Kerana Allah subhanahu wa-Taala sangat-sangat mendengar dan melihat segala perbuatan hambanya.

Telah berlanjutan masanya yang kerajaan-kerajaan Islam itu menolak akan hukum Syariah dan memakai akan hukum rekaan manusia. Kerana pada fikiran mereka itu hukuman manusia itulah yang lebih adil daripada hukuman Tuhannya.

Maka menghukumlah hukuman-hukuman kerajaan Islam itu akan manusia dengan hukuman manusia juga, dan tersia-sialah, yakni tidaklah berguna hukum-hukum Syariah itu kepada mereka itu demikianlah kelakuan manusia pada zaman ini, telah melebihi kejahatan mereka itu daripada segala perbuatan kaum Bani Israel yang diukur-ukur pada zaman dahulu.

Dan juga, yang menyebabkan jahat sehingga satu-satu kerajaan Islam akan kerajaan Islam yang lain dan jahat sehingga seorang Islam ke atas orang-orang Islam yang lain pula ialah kerana masing-masing kerajaan Islam itu tiada memakai undang-undang Islam; sementara itu orang-orang Islam tidaklah terdidik dengan didikkan Syariah.

Tatakala terasinglah hukum kerajaan dengan hukum Syariah. Maka tiadalah boleh kita hairan mengapa kerajaan-kerajaan Islam dan orang-orang Islam mengambil semata-mata menjaga muslihat masing-masing dan dengan itulah juga menjadi longgar tali persaudaraan orang-orang Islam mengambil dengan tak disedari oleh orang Islam sendiri.

Bukan sedikit daripada orang-orang yang berpengetahuan minatlah pula yang tiada berpengetahuan menyangka mereka itu bahwa kemunduran kerajaan-kerajaan itu ialah disebabkan ugama. Maka fikiran-fikiran yang demikian itu ialah fikiran orang gila semata-mata.

Maka yang sebenarnya yang menyebabkan kemunduran orang-orang Islam ini ialah disebabkan ketua-ketua pemerintah dan orang-orang Islam sendiri telah longgar imannya, bahkan seolah-olah orang-orang Islam telah membelakangkan ugamanya.

Maka bertambah-tambah pula orang-orang tamak dan di dalam urusan ugamanya telah dapat peluang mencucukkan hujung jarumnya kepada ketua-ketua pemerintah Islam kerana muslihat dirinya dengan jalan ia merupakan alim dan warak.

Maka dengan sebab Syaitan yang berupa alim inilah yang menyebabkan beberapa banyak fitnah dan juga menyebabkan ketua-ketua yang sedar akan cucukkan itu. Tetapi jahil pada agama telah menarikkan kerajaannya ke jalan lain ((kerajaan bagi kerajaan dan agama bagi agama)).

Kita belum dapat mengagak jalan manakah yang telah diikut oleh Imam ((ketua)) kerajaan Mekah yang sekarang ini?

Sekarang kita kembali kepada tujuan rencana ini, kemudian daripada telah kita beri sedikit pemandangan seperti di atas.

Sebelum kita meneka bagaimana kedudukan Imam-Imam sekarang ini, maka kita suka hendak berkata bahwasanya masa atau zaman yang panjang ((berlanjutan)) di antara Rasulullah wa-salam dengan kita sekarang ini telah mengubahkan segala tujuan Rasulullah wa-salam yang maha bersih dan maha suci itu, kepada perubahan-perubahan yang sangat berlawanan dengannya; hingga hal itu telah menyebabkan kemunduran orang-orang kita Islam sekarang ini.

Dan di dalam masa perubahan-perubahan itulah telah berubah pula bermacam-macam faedah dan peraturan dan daripada bekas itu pula telah mengubahkan akhlak perangai dan perasaan orang-orang Islam daripada baik kepada kurang baik, atau pun kepada buruk sekali ((hilang perasaan dan hemah adab perangai yang mulia-mulia itu)).

Nah! Sekarang tentu kita dapat fikirkan bahwasanya perubahan-perubahan yang telah kita sebutkan seperti di atas itulah telah membahagikan pangkat Imam-Imam itu kepada dua bahagian.

1. Imam bagi kerajaan iaitu ketua pemerintah atau Raja-Raja.

2. Imam khas bagi agama sahaja, iaitu Imam masjid atau Imam sembahyang semata-mata.

Maka antara kedua Imam-Imam ini hanya Imam yang pertama sahajalah yang masih boleh kita harap untuk memajukan agama dan kaumnya kerana masih ada tampak sedikit-sedikit peluang bagi mereka itu mencari ikhtiar bagi memajukan agama dan kaumnya. Begini juga jalan muafakat masih luas lagi, minatlah pula negeri tempat tumpuan orang-orang Islam ((Mekah al-Mukaramah)) memang terbuka sebagai mengambil orang-orang Islam dan pergi kepadanya itu wajib di atas tiap-tiap orang-orang Islam.

Ada Sambungan.