Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Dec 1935, p.3

General Article.

Kemajuan dan Kemunduran. Kaum tiada boleh ditanggungkan ke atas batang tengkuk Imam-Imam Sekarang.

Oleh Mukmim.

Tetapi jika kita menghendaki Imam bahagian dua itu untuk memajukan kaumnya, maka tiada ada harapan sama sekali, jika sekiranya kekuasaan dan kebebasan Imam-Imam itu seperti sebanyak yang ada sekarang ini sahaja, Imam-Imam bahagian dua itu tiada ada sedikit pun kekuasaan. Bahkan mereka itu sekadar akan menjalankan perintah-perintah kadhi dan mufti dan yang pertua pejabat agama semata-mata.

Tiada boleh sekali-kali Imam-Imam itu melebihi ataupun mengurangkan pemerintah-pemerintah itu.

Misalnya, Imam-Imam itu di suruh mengajar ilmu agama di surau-surau atau masjid. Maka segala kitab-kitab yang hendak diajarkan itu ialah kitab-kitab yang telah dikhaskan sahaja, dan tidak dibenarkan mengajar sebarang kitab dan kitab yang telah dikhaskan itu pula tidak lain daripada kitab hukum beristinjak, hukum air mutlak, dan najis sahaja.

Dan walaupun beberapa puluh tahun Imam itu mengajar dalam sebuah masjid, maka tiada juga tampaknya murid-muridnya naik darjah dua atau tiga, minatlah pula empat ((kerana yang wajib itu belajar sahaja bukan mendapat)) kalau ada seorang Imam yang agak celik mata sedikit atau hendak mengajar ilmu yang lain-lain atau memberi sedikit-sedikit fikiran yang merdeka, nescaya tidak beberapa lama akan menerima fitnah atau galangan yang jebak ataupun terus gulung tikar bantal ((buang kerja)).

Bahwasanya khutbah-khutbah Jumaat dan Hari Raya kebanyakan daripada tempat-tempat di negeri Melayu yang memakai bahasa Arab pada masa makmum-makmum yang mendengar khutbah-khutbah itu jarang sangat yang mengetahui bahasa itu.

Jika kita takdirkan ada seorang Imam yang berani membaca khutbah dengan bahasanya sendiri ((Bahasa Melayu)) pada masa itu juga Imam itu terancam pula dengan beberapa banyak fitnah.

Demikianlah had sapa dan kemerdekaan dan kekuasaan Imam bahagian dua itu.

Maka dengan keadaan yang semacam ini adakah siapa-siapa yang masih berharap kepada Imam-Imam bahagian dua itu akan memajukan kaumnya?

Minatlah pula Imam-Imam yang semacam itu jarang sangat yang mempunyai ilmu tinggi ((alim)) kerana jawatan Imam yang seumpama itu tidaklah berkehendak kepada ilmu yang tinggi-tinggi.

Kita dapat berkata seperti di atas ini ialah kemudian daripada kita sendiri telah menjawat jawatan Imam bahagian dua selama dua tahun dan di dalam masa kita menjadi Imam itu kita bermuafakat dengan orang-orang kampung mendirikan sebuah masjid dengan kebenaran kerajaan. Dan dapatlah kita melihat pada masa ini sebuah masjid yang robek rabik di dalam kampung tempat kita tinggal.

Tetapi apabila kita rasa bahwa jawatan Imam yang seumpama itu, sekali-kali tidak sesuai dengan kemauan kita ataupun boleh dikata membeli pangkat tenaga semata-mata.

Kita berkata begitu ialah disebabkan kekuasaan Imam-Imam itu tidak memadai dan jadilah kita serba salah.

Jika kita hendak keraskan, maka kita tiada mempunyai kuasa yang cukup dan kalau kita diamkan sahaja, maka bermaharaja-lelalah orang-orang kampung membuat musibat dan menjalarlah segala kejahatan sepanjang-panjang jalan. Dan kampung dan masjid pun kosong pada hari Jumaat.

Pada ketika itu apakah hal kita yang menjadi Imam?

Jadi patung kayu sahaja. Dan pada bila masa dikehendaki oleh Allah Taala kita pun akan dibakarnya bagi balasan yang kita telah bersubahat dengan ahli-ahli musibat.

Dari semenjak kita menarik diri hingga sekarang ini ((setahun lebih)) belum pernah kita lihat masjid kampung kita itu cukup empat puluh orang sembahyang Jumaat di dalamnya, bahkan selalu kedapatan cuma sepuluh atau dua belas orang sahaja. Dan terkadang-kadang Imamnya tiada hadir, padahal tiada ia berwakil kepada orang lain.

Dan lagi, telah berpuluh-puluh kali tiada bersembahyang Jumaat di masjid yang termaklum dan tidak pula orang-orang kampung itu pergi sembahyang Jumaat di tempat lain. Maka hal yang begini bermaknalah meninggalkan Jumaat dengan sahaja, hingga masa ini kampung yang termaklum tiadalah tentu Imamnya, dan penghulu kampung asyik mengirakan kuponnya dan orang-orang kampung membuat hal masing-masing.

Pada hal, kampung yang kita sebutkan ini di dalam jajahan negeri Johor. Inilah satu kerajaan yang amat memberati akan hal-ehwal ugama. Tak sangka boleh berlaku tetapi apa boleh buat, takdir. Siapa boleh meneka apa nama kampung itu. Cuba Tuan-Tuan Kadhi di dalam jajahan Johor selidik jajahan masing-masing.

Hingga ini memadailah kita menerangkan kepada ramai atas kebenaran kepala rencana kita seperti di atas dan jemputlah kita sama-sama berfikir adakah patut kemajuan atau kemunduran orang-orang Islam itu kita tanggungkan kepada Imam-Imam sekarang?

Entahlah kalau Imam bahagian yang pertama.

Was-salam.