![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 7 Dec 1935, p.8
General Article.
Pekan-Pekan Mingguan Kaum Melayu. Dipindahkan Oleh Pihak Yang Berkuasa Menurut Telunjuk Bangsa Asing.
Bahwa sesungguhnya adalah hal keadaan kaum Melayu di masa yang akhir ini tersangatlah susah kehidupan dan tanggungannya di dalam pencarian kehidupan hari-hari sama ada mata pencarian di alam perniagaan dan lain-lainnya.
Sungguh pun kaum Melayu masih ketinggalan daripada serba-serbi ilmu perniagaan, tetapi bolehlah juga hal keadaan perniagaan kaum Melayu di dalam masa yang akhir ini mendapat perhatian dan kecenderungan yang akan menjadi suatu bukti dan harapan yang penuh di hati kaum Melayu, kerana beberapa tanda-tanda mutu perniagaan kaum Melayu itu telah menjadi perhatian dan bukti yang seterang-terangnya yang akan beransur ke dalam golongan kemajuan yang bererti sempurna yang boleh membawa segala riwayat-riwayat yang baik dan berguna sebagai satu contoh nilai, dan kepada mengisi kaum dan bangsanya.
Setengah daripada perniagaan kaum Melayu di masa ini yang telah menjadi kecenderungan yang boleh dipercayai maju dan tanda-tanda yang sudah menarik perhatian dan tertanam kukuh disanubari kaum Melayu ialah dengan jalan Pekan-Pekan Mingguan yang telah terdiri pada segenap kampung jajahan dan negeri dengan menerima beberapa kepercayaan dan kemajuan.
Kerana adalah Pekan-Pekan Mingguan dan tujuan ianya nyatalah suatu daripada bukti yang akan menerbitkan kebajikan dan keselamatan umat Melayu di dalam ilmu perniagaan hari-hari, serta dapat mempelajari segala selok belok perniagaan dan juga mendatangkan suatu kerajinan dan pertukangan kaum-kaum Melayu serta menggalakkan perusahaan bagi seisi Bumiputera negerinya dengan secara mana akan menerbitkan suatu tanda perusahaan anak negeri, manakala telah menjadi mata pencarian di atas nafkah kehidupan hari-haru pada jalan perhubungan dengan Pekan-Pekan Mingguan itu, lama-kelamaan menjadi pertukaran kepada perniagaan yang besar dan sempurna di dalamnya; harus boleh dipercayai akan datang melimpahkan kemakmuran negeri bak kata kemakmuran pada satu-satu negeri itu terhubung dengan perusahaan anak negerinya.
Sebaliknya, menjadi suatu kedudukan kita manakala mendapat perkhabaran dan pemberitaan yang tidak boleh meningkatkan hati di atas kehidupan Pekan-Pekan Mingguan saudara-saudara kita di Jajahan Larut bagi negeri Perak ini; dengan serba salah hal darjat kemajuan Pekan-Pekan Mingguan itu sudah mendapat kemajuan dan kehidupan kaum-kaum Melayu yang terduyung dengan pencarian itu; telah mendatangkan keselamatan dan kehidupan yang sempurna.
Sungguh pun tidak boleh dikatakan terkenal betul, tetapi memadailah dengan perusahaan dan kehidupan yang demikian itu agar dapat menaikkan kemajuan yang beransur, lama-kelamaan yang boleh agak membawa kepada terkenal betul. Maka kita telah mengerti adalah pekan Arbaah di Taiping itu telah dipindahkan oleh pihak yang berkuasa daripada tempat yang permai dan ramai kepada tempat dan letakkan yang tidak memberi puas hati yang berkesenangan.
Dengan kepindahan pekan yang termaklum itu, ialah daripada permintaan dari kaum-kaum Cina dengan jalan menulis satu surat bantahan kepada pihak yang berkuasa.
Maka dengan hal keadaan yang termaklum itulah Pekan-Pekan Mingguan di Taiping telah dipindahkan ke lain, kononnya dengan sebab Pekan-Pekan Mingguan kaum Melayu itulah telah merosakkan perniagaan dan kemajuan mereka itu ((Cina)). Bahwa dengan keterangan dan permintaan mereka itu telah menjadikan pihak yang berkuasa mengambil berat pertimbangan yang adil. Maka Pekan-Pekan Mingguan itu telah dipindahkan supaya mendapat keselamatan perniagaan kaum-kaum Cina itu.
Meskipun hal itu telah diteruskan dengan secara adil, tetapi kaum-kaum Cina masih belum berpuasa hati di atas kehidupan Pekan-Pekan Mingguan kaum Melayu itu, kerana bahaya-bahaya ini suatu bantahan daripada bangsa-bangsa Cina di Batu Kurau telah disampaikan ke pihak yang berkuasa yang berkenaan dengan soal Pekan Selasa yakni Pekan-Pekan Mingguan kaum Melayu yang di situ ((Batu Kurau)). Maka hal ini pun boleh jadi menerima kepindahan dengan hukum pihak yang berkuasa juga sebagai suatu bukti bagi menyelamatkan perniagaan kaum-kaum Cina yang di Batu Kurau itu, menurut pertimbangan secara Pekan-Pekan Mingguan di Taiping.
Bahwa dengan sesungguhnya kita berkata jikalau hal keadaan kaum Cina yang telah menghantarkan Surat Perbantahan kepada pihak yang berkuasa di atas perkara dan masalah Pekan-Pekan Mingguan daripada kaum-kaum Melayu itu masih dipandang dan diterima oleh pihak yang berkuasa juga, maka tidaklah hairan manakala kita berkata adalah bagi pihak yang berkuasa Cuma memandang dengan menurut telunjuk bangsa asing di atas segala-galanya.
Dan membelakangkan pemandangan dan pertimbangan di atas keadaan anak negeri yang berhak dan mempunyai segala isi negerinya. Bahwa apa yang digaduhkan oleh kaum Cina di atas masalah Pekan-Pekan Mingguan itu, maka seharusnyalah tidak layak diterima oleh pihak yang berkuasa supaya diberi perasaan hak dan melebihkan ke pihak kaum-kaum Cina daripada pihak kaum Melayu anak negeri.
Oleh kerana itu, pada pendapatan kita jua, seharusnyalah hal ini dapat ditimbangkan dengan adil, tetapi sebaliknya keutamaan itu diberi kepada kaum Melayu daripada lain-lain bangsa.
Meskipun keutamaan itu hak anak negeri.
Sungguh pun demikian, tidaklah perlu kita katakan tetapi tidaklah usah menjadi terlampau sakit hati anak negeri itu, nyatalah yang sebaliknya oleh kerana segala perbuatan dan permintaan mereka ((Cina)) yang tidak mempunyai sifat-sifat kepuasan hati dalam segala perkara seolah-olah sebagai kelakuan seekor kuda jahat, apabila dituntun ia menggigit dan jikalau dihalau berjalan dahulu, ia menyepak, camkanlah!
Terlebih jauh di dalam hal ini kita ada berpendapatan yang sepatutnya sementara hal ini telah berbukti pada pemerintah, siapa yang terlebih berhak di antara penduduk negeri-negeri ini ((Perak)) itulah kaum yang terlebih awal diperbaiki oleh pihak yang berkuasa nasibnya mereka itu, iaitulah kaum kita Melayu, inilah kita berasa perkataan kita tidak lagi salah pada tempatnya, dan di dalam perkara permintaan bantahan bangsa-bangsa asing yang berkenaan dengan Pekan-Pekan Mingguan di Batu Kurau dan lain-lainnya itu.
Haraplah mendapat pertimbangan yang adil memuaskan hati anak negerinya, jangan sampai seperti kata bidalan; pisang tidak berbuah dua kali. Di sini, janganlah sampai perbantahan kaum-kaum Cina itu masih dipandang mendua kalinya.
Marilah kita dengan kepercayaan yang penuh akan mendapat perhatian daripada pihak yang berkuasa adanya.
top |