Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Feb 1935, p.6

Editorial.

Soal Bahasa Melayu.

Suara Suratkhabar-suratkhabar "Melayu Cina".

Maksud kita dengan mengatakan suratkhabar-suratkhabar "Melayu Cina" ialah suratkhabar-suratkhabar yang memakai "Bahasa Melayu" yang diterbitkan dan dikemudikan oleh pengarang-pengarang bangsa Cina di dalam Bahasa Melayu.

Di negeri Semenanjung ini sekarang tidak ada suratkhabar-suratkhabar yang bersifat demikian. Akan tetapi di Sumatera, Jawa, Celebes dan Borneo di mana Bahasa Melayu itu menjadi bahasa umum atau bahasaan bagi penduduk dan jawatan-jawatan pemerintahannya banyak didapati suratkhabar-suratkhabar yang tersebut.

Syahdan, pada waktu yang akhir ini, soal Bahasa Melayu yang digunakan oleh suratkhabar-suratkhabar "Melayu Cina" itu telah dirasai oleh setengah pengarang-pengarang anak negeri boleh merosakkan susunan dan pengertian Bahasa Melayu yang asli atau yang sebenar-benarnya mempunyai roh bagi negeri-negeri dan kebangsaan Melayu.

Maka berkenaan dengan itu suratkhabar Melayu "Persamaan" yang diterbit dan dikemudikan oleh pengarang-pengarang Melayu di Padang telah menyatakan fikirannya berterus terang, bahwa dengan keadaan kebiasaan pemakaian bahasa-bahasa Melayu cara suratkhabar-suratkhabar Melayu Cina itu, nescaya kelak akan membawa kerosakan kepada Bahasa Melayu, maka fikiran itu lalu dijawab oleh suratkhabar-suratkhabar Melayu Cina di Padang yang di antaranya bernama "Radio" telah berkata:

Bahasa Melayu dirosakkan oleh Press Tionghua Melayu, tapi ini koran tidak biasa unjuk Bahasa Melayu yang mana telah dirosakkan oleh Press Tionghua Melayu. Kita dapat tahu bahwa Bahasa Melayu bukannya satu rupa sahaja, tapi ada puluhan rupa, seperti:

Bahasa Melayu Minangkabau, Riau, Melaka, Penang, Singapura, Bangka, Palembang, Betawi, Tapanuli dan beberapa Bahasa Melayu yang terpakai di Jawa.

Dengan adanya itu rupa Bahasa Melayu yang satu sama lain suaranya ada berlainan sekali, "Persamaan", mengharusnya ia mesti unjuk Bahasa Melayu yang mana yang tulen dan original, supaya soal Bahasa Melayu yang menjadi pokok dari ia pun mengembul, biasa dibacarakan secara luas.

Bahasa Melayu, sampai ini jam, belum biasa diunjuk bahasa yang mana akan dipakai sebagai bangsa nasional ((kebangsaan)) Indonesia, kerana banyaknya rupa dan suara yang satu ada lain tidak sama.

Sekian kata "Radio", dan suratkhabar "Sitar Sutera", yang diterbit dan dikemudikan oleh pengarang Cina juga di Padang berkata demikian pula:

Kalau ia mahu tanya dari mana dapatnya itu perkataan ini atau itu, yang umumnya dipakai dalam Press Tionghua di Jawa, ia boleh pindah tinggal di Jawa dan perhatikan percakapan dari bangsa Indonesia, Jawa, barulah ia akan mengerti, bahwa digunakan sepiling ((susunan)) begitu tidak lain supaya dimengerti, oleh pembaca-pembaca dalam jumlah yang tersebut. Pendeknya mahu sorongkan diri dengan keadaan sesuatu tempatnya.

Umpama kata, kalau di Minangkabau di sini, digunakan perkataan, bontot, di dalam satu kalimat, umpamanya, perkara yang ada bontotnya, tentu pembaca Indonesia Minangkabau akan merah pangkal telinganya, tapi tidak begitu dengan di Jawa! Dan kalau di Jawa ditulis umpamanya, perkara yang ada ekornya, keruan sahaja akan ada banyak orang yang mesti putar otak, sebab ... orang erti.

Demikianlah kita salinkan dengan tidak menguji perkataan dan susunannya akan jawapan kedua-dua suratkhabar Cina Melayu itu, bahkan speech kita tidak ubahkan walaupun agaknya banyak di antara pembaca kita yang tidak dapat mengambil pengertiannya, akan tetapi kita maksudnya bukanlah akan mengambil pemerhatian kepada makna atau tujuannya, hanyalah kepada keadaannya.

Sungguh pun bila kita hidangkan fikiran kepada Bahasa Melayu kita ini, nescaya dengan serta-merta kita dapati perasaan yang berkeadaan serba salah! Kerana apa? Kerana yang tersebut bahagiannya daripada kesalahan kita sendiri?

Bahkan ikhtiar dan usaha kepada yang demikian itu bukanlah daripada jumlah pekerjaan yang mustahil seumpama akan membina mahligai di awang-awang, akan tetapi selagi mereka-mereka yang mempunyai bahasa persatuan dan kebangsaan ini tidak hendak mengatur dan menetapkan sebutan dan susunannya sendiri bagaimana yang layak bagi tiap-tiap bangsa yang mempunyainya tentulah dengan mudah dapat dicelah dan dicela oleh orang-orang asing sebagaimana yang didatangkan oleh suratkhabar-suratkhabar Cina Melayu di Padang ini, sungguh pun jawapan yang tidak beralasan teguh, atau dengan lain perkataan; dengan alasan diberikannya sendiri dan ia jua merubahkan sendiri.

Kita berkata demikian kerana kedua-dua suratkhabar yang tersebut mendirikan dalilnya dengan jalan ia berkata bahwa Bahasa Melayu itu berbagai-bagai ragam dan sebutan menurut masing-masing negerinya, akan tetapi mengapakah ia sendiri telah menggunakan Bahasa Melayu itu pada tempat yang bukan pada negerinya? Mengapakah di negeri Melayu Minangkabau itu ia memakaikan di dalam suratkhabarnya Bahasa Melayu jua?

Ya, sekali Orang Melayu ini suka terima baik sahaja, apa-apa yang disajikan orang, itulah yang ditahannya bagi mengisi atau mengenyangi perutnya?