Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 26 Jan 1935, p.2

General Article.

Di Mana Kita Sekarang?

Oleh Madhi.

Kemajuan satu-satu bangsa itu mudah sangat tertampak diperhatian manusia yang suka menyiasat dan menyelidiki keadaan perdirian bangsa-bangsa yang berkemajuan itu, untuk jadi ukuran, bandingan dan keinsafan bagi anak bangsanya sendiri. Bangsa-bangsa yang telah berkemajuan itu mula-mulanya kemajuan bagi bangsanya itu meningkatkan tangga yang pertama dahulu, yakni daripada benda yang kecil. Kemudianlah baru kepada tangga yang besar atau tingkat yang ke atas disebabkan kerana sama-sama maklumi bahwa kemajuan itu tidak dapat dicapaikan melainkan terpaksa dengan perlahan-lahan dari yang lebih rendah baru boleh kepada yang terlebih tinggi atau tidak, tentu menjadi keraguan bagi perdirian bangsa yang berkemajuan itu dengan sekali turut berkehendak mencapaikan pintu kemajuan itu sememangnya sukar bahkan pintu tak dapat dicapai.

Dengan sebab itulah boleh dipandangkan beberapa kerugian bangsa yang berkemajuan itu telah rugi pada permulaan kerana meningkat kepada tingkat yang pertama, berapa kerugian kekuatan harta benda dan menjadi keraguan bagi pusingan untuknya kerana berkehendak kalimah "kemajuan" berapa usaha dan tenaga hati dan badan telah dicurahkan untuk mendapati benda yang diinginkan, dengan kerana keusahaan dan tenaga serta dipengaruhi oleh kekuatan hemah yang bererti itu.

Maka dapatlah dicapaikan segala perkara yang boleh meninggikan keuntungan dan kemajuan bagi anak bangsa dan negeri. Sekalian itu disebabkan berkehendak kepada nama yang baik dan supaya disebut oleh lain-lain bangsa dan manusia dan pun lain-lain lagi tak payah disebutkan di sini.

Apa adakah kita Melayu ingin ataupun bermimpi kepada perkara yang tersebut itu? Kita Melayu mestilah meniru contoh bangsa-bangsa yang telah berkemajuan itu umpama bangsa Jepun, kerana kemajuan Jepun itu sekarang ada tertinggi dan lebih di mana kita sekarang?

Ini satu pertanyaan yang dikalungkan di kepala rencana yang tak seperti ini, untuk mendapati jawapan-jawapan kita belum bertentu tempat, artinya kejayaan dan kemajuan kita belum bererti lagi, di sana telah tertampak cahaya kemajuan di sini gelap di sana bermuafakat, dan hasad dengki belum dihabiskan ke laut kalzum, bagaimanakah kita hendak mendapat kemajuan kalau selagi berpecah belah dan tolong menolong belum lagi ada bermesra ke dalam dada anak Melayu, satu golongan yang sehabis-habis besar masih lagi belum dibuang iaitu hasad dengki sama sebangsa, tahun manakah terungkai dan habis segala yang tersebut dari kebanyakan anak bangsa kita, wajiblah dibuang hasad dengki itu kerana tidak dapat tiada kemajuan bangsa kita akan tergalang selama-lamanya.

Mengikut aliran zaman kesedaran ini maulah kita Melayu membanyakkan semangat kerajinan dan semangat mengutamakan perbuatan kaum sendiri. Dikeranakan dengan ada semangat itulah diharapkan akan terlatihlah kita Melayu sekarang mengikut jalan yang betul menuju kepada alat kemajuan yang dicitai.

Sungguh pun kemajuan Melayu kita dalam dunia perniagaan sememangnya ada berkurung lagi, walaupun dalam pekan-pekan mingguan dan harian itu di tangan Melayu. Tetapi mengapakah pula digudang-gudang yang terdiri di jalan itu anak-anak Melayu kita terpandang ramai. Sebenarnya ini satu kehilangan untung bagi kaum Melayu kita.

50 tahun lebih dahulu bangsa Jepun itu tak ubahlah seperti bangsa kita sekarang ini tentang ke belakangannya dalam dunia kemajuan. Tetapi mengapakah sekarang ini bangsa itu telah berkemajuan dengan tidak disangka-sangka. Sungguh pun ini suatu rahsia yang sememangnya dalam dan payah.

Untuk kaumku, saya cakapkan: bahwa kemajuan itu ialah kerana nasihat-nasihat penganjurnya itu digunakan. Orang-orang yang pandai tidak diam seorang diri. Tetapi dihamburkannya ilmu-ilmu kepandaian kepada kaum bangsanya dan bangsanya itu menghargakan apa yang dicakapkan penganjur-penganjur mensyorkan kepada kerajaan supaya menolong orang-orang yang miskin dari pelajaran dan bekerja atas jalan membaikkan kerana tumbuh-tumbuhan dalam negeri dan memberangsangkan bumiputeranya bagaimana jalan meninggikan tangga kemajuan hidup dan kemajuan bangsanya.

Nasihatnya penganjurnya itu diperkenankan oleh orang-orangnya dengan segala upaya dan tenaga dihabiskan setiap hari menunaikan pekerjaan kerana bangsa, kebanyakan Orang Melayu ke negeri lain menuntut ilmu kemudian balik dicurahkan kepada bangsanya.

Begitulah di lain-lain cawangan dengan tiada mempunyai dengki dan khianat. Sungguh pun jadilah bangsa Jepun itu berjaya dan kemajuan hidupnya dengan baik dan darjah kebangsaannya tertinggi bagaimana bangkit lihat dan pandangkan pada masa ini.

Tetapi kita sendiri ayuhai bangsa, di mana kita sekarang?

Menungkan ayuhai bangsaku!

Ringkasnya, dimintalah kaumku sekalian berfikir dan menjadi jalan membuangkan hasad dengki itu serta bermuafakat menghargakan perbuatan bangsa menolong sesama sekaum dan lain-lain lagi, mudah-mudahan diharapkan bertampaklah kita Melayu di dalam kandungan kemajuan yang tersebut. Was-salam.