Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 16 Jan 1935, p.1-2

Leader Article.

Pepatah Melayu, Musuh Di Dalam Selimut.

Ialah satu pepatah Melayu yang telah sampai masanya wajib dikemukakan maknanya kerana orang-orang Melayu masa ini terlanggar pepatah itu, artinya pepatah Melayu telah menggali ke batang tengkuk orang-orang Melayu sendiri kalau diikut sepanjang bunyi perkataan pepatah ini sahaja.

Maka bermaknalah "Musuh Di Dalam Selimut" itu ialah pejabat-pejabat atau firma itulah musuh di dalam selimut kerana kedua-dua jenis binatang itu memang selalu atau memang tampaknya di dalam kain-kain dan selimut.

Tetapi pada faham kita tentulah bukan ini tujuannya yang sebenar. Mengikut fikiran kita makna pepatah itu "Musuh Di Dalam Selimut" ialah musuh yang hampirnya tersembunyinya di dalam rumah kita atau dengan lain perkataan musuh-musuh yang di dalam negeri kita. Pemandangan dan fikiran yang lebih jauh berkenaan dengan pepatah ini baca di bawah.

Di dalam persaingan kehidupan orang kita "Melayu" zaman ini di dalam negerinya tertampaklah beberapa perlumbaan dengan bangsa-bangsa asing luar di dalam apa-apa jenis mata pencarian pun ada-ada sahaja percawangannya.

Pintu yang telah dibuka selama ini bagi bangsa-bangsa asing masuk berlumba-lumba ke dalam negeri ini dipandang sebagai keadilan sahaja dan bagi pihak orang-orang Melayu pun dengan sebab kepercayaannya tiadalah sekali-kali berkata apa-apa di dalam hal ini, hingga sampai masa yang akhir ini kerajaan telah terasa perlu mengeluarkan beberapa belanja menghantarkan bangsa-bangsa asing itu pulang ke tempatnya dan telah pula kerajaan mengeluarkan satu undang-undang orang dagang "Alien Bill". Maka dengan undang-undang ini kita belum mengetahui sampai ke mana kelak akan kesudahannya.

Orang Melayu memang satu bangsa yang sangat-sangat taat kepada Raja dan Kerajaannya lagi pula bolehlah dikatakang bangsa Melayulah satu bangsa yang tunggal tulus ikhlas kepada Raja dan Kerajaannya hingga terlekatlah tabiat orang-orang Melayu apa kata Rajannya ialah Katanya.

Sekarang bangsa-bangsa asing Cina telah mengaku menjadi tulang belakang bagi Malaya.

Ya! Ya! Ya! Tentu ia berani berkata begitu kerana mereka itu menoleh ke kiri tampaknya bangsanya bersusun-susun dan apabila ditoleh ke kanan terpandang bangsanya bersesak mendaki kemakmuran Malaya.

Pada pengagak kita, beginilah duduknya negeri Manchuria yang sekarang ini telah berubah dengan nama Manchukuo itu. Pada mula-mulanya kerajaan Manchuria telah membebaskan bangsa-bangsa Jepun berniaga di situ; pada akhirnya oleh disebabkan terlampau banyak harta benda dan rakyat Jepun di dalam itu. Maka kerajaan Jepun terasa perlu mengembangkan sebelah daripada sayapnya untuk melindungi harta benda dan rakyatnya di dalam negeri itu. Maka jadilah keadaannya seperti sekarang ini.

Kita sekali tidak hendak menyangkakan yang negeri-negeri Melayu ini boleh terjadi seperti demikian itu dikecualikan. Jika satu masa berlakulah apa-apa kemukakan kepada kerajaan yang menerangkan kita boleh menyebabkan ia wajib berpaling daripada memandang Malaya ini sama ada kerana peperangan atau lainnya, pada ketika itu harus-harus berlaku dengan serta merta.

Tetapi yang kita hadapkan fikiran kita masa ini nyata oleh kerana tiada tampak jalan sekali-kali yang faedah negeri ini boleh digamit oleh anak negerinya ini. Padahal kemakmuran negeri ini telah hampir habis dikikis oleh bangsa asing.

Kalau sekiranya kita disoal orang mengapa kamu sekalian miskin dan hina di dalam negeri kamu yang makmur ini? Maka kami jawab kerana kalah berpertandingan hidup dengan bangsa-bangsa asing yang telah berhimpun melawan kami.

Soal: Mengapa berbuat dengan bangsa asing, bukankah negeri ini negeri kamu?

Jawab: Kerana keadilan konon maka dibebaskan sebarang bangsa merebut apa-apa yang disukainya.

Soal: Mengapa kamu kalah bertanding dengan mereka itu "Bangsa Asing"?

Jawab: Kerana mereka itu memang telah mahir di dalam serba-serbi pertandingan hidup. Oleh demikian, mereka itu telah pernah merasai bagaimana pedihnya bahaya kesukaran hidup di dalam negerinya.

Adapun kami ini asalnya tiada pernah mengangkat kepala zaman bertamadun disebabkan takut dan taat kepada Raja dan tiba-tiba datang satu bangsa Eropah mengangkat kepala kami dengan serta-mertanya. Maka kami pun terperanjat dan apabila kami pandang ke atas silau mata kami, maka masa itu datanglah rasa mengantuk oleh disebabkan penat bekas penduduk zaman berzaman ini.

Pada masa kami mengantuk itu disorongkan pula bantal, apalagi kami pun tertidurlah dengan lenyapnya. Di dalam masa kami tidur itu tak tahulah apa-apa juga yang telah berlaku, hanya tatakala kami bangun terpandanglah sekeliling kami segala perhiasan yang indah-indah peraturannya dan cantik molek rupanya gerdam-gerdum bunyinya dan ke atas ke bawah ke hulu ke hilir perjalanannya.

Kami sekalian tergilap-gilap memandang akan segala rona dan rupa yang indah-indah itu tetapi kami tak tahu apa kegunaan dan bagaimana menjalankannya dan ada setengah daripada kami oleh disebabkan hingar-bingar itu larilah tunggang-langgang ke gunung-ganang.

Di dalam masa bersibuk berlari ke sana ke mari ke darat ke laut, maka masa itulah kapal Malaya mengangkat sauh lalu berlayang meninggalkan kami. Aduh! Masa itu bercerita-ceritalah kami yang tinggal di daratnya dengan tiada berbekal barang sedikit untuk habuan anak cucu kami.

Pada hal nakhoda kami telah berlayar dengan jurumudi kelasi-kelasi yang baru daripada bermacam-macam bangsa. Sekarang kami berdoa mudah-mudahan kapal Malaya akan merungut balik kelasi-kelasinya yang telah ketinggalan itu. Dan jika dengan sebabnya telah menjadi berlebihan kelasi untuk kapal Malaya itu. Maka patutlah ditimbangkan dengan lebih halus supaya tidaklah kiranya di belakang hari kelak kapal karam atau binasa dengan sebab kebanyakan kelasi daripada bermacam-macam bangsa itu.

Kita suka hendak berkata di sini akan hal ehwal bangsa-bangsa asing yang dahulunya mengaku hendak berpimpin tangan berjalan bersama-sama dengan anak-anak negeri ini. Maka sekarang ini telah tampak kelencongan perkataan mereka itu dengan seterang-terangnya; apata 'kan kerana mereka itu telah terlupa sama sekali akan perkataannya yang telah terlepas, itu pun memang pepat di luar rencung di dalam.

Di sini tampaklah kepada kita yang bangsa-bangsa asing itu seolah-olahnya musuh di dalam selimut, artinya telah menepati bagaimana pepatah seperti di kepala karangan ini.

Kita tahu tabiat manusia memang begitu apabila diberi betis berkehendakan paha. Dan apabila diberi paha, berkehendak pula ia membelikan sekalian tubuh.

Sekarang tampaknya tidak memadai bangsa-bangsa asing itu memiliki serba-serbi kemakmuran di dalam negeri ini. Bahkan mereka itu menghimpit akan anak negeri bagaimana kilang-kilang memerah akan segala pati-pati dan minyak-minyak sesuatu benda itu hingga tinggal hempas yang kering dan yang tinggal daripada hempas yang kering itu pun akan dicedokkannya pula untuk habuan api jentera kilang itu, bagaimanakah yang dikatakan hendak berpimpin tangan berjalan bersama-sama itu!!!

Ma`abam.