Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 29 Jan 1935, p.6

Editorial.

Melayu Memang Pengenang Budi.

Di dalam Rencana Pengarang "Straits Echo", tarikh 25 haribulan ini, kita baca buah fikiran pengarangnya atas ucapan Tuan Yang Terutama High Commissioner, Sir Shenton Thomas, di Kuala Lumpur, terutamanya atas siasat mengembalikan kekuasaan pemerintahan kepada Raja masing-masing negeri Melayu ((Decentralization)) dan atas ucapan Tuan Chantler mengingatkan dengan kuat atas bukti modal dan titik peluh kaum-kaum dagang di dalam kemajuan Semenanjung ini dan berharap supaya modal dan titik peluh itu boleh mendapat naungan keamanan yang serupa dengan keamanan yang telah menggalakkan kedapatannya mula-mula ((modal dan titik peluh itu)).

Dua ayat yang dituturkan oleh Tuan itu bagaimana yang tersebut di atas itu boleh memberi pada fikiran kita salah satu daripada dua pengertian, iaitu bahwa modal dan titik peluh orang-orang dagang di dalam Semenanjung ini telah berkeadaan di dalam bahaya atau orang-orang dagang di dalam Semenanjung ini memang kalau-kalau wang ringgit dan harta punya serta perusahaan mereka itu di dalam Semenanjung ini kelak terzalim, manakala kekuasaan pemerintahan negeri-negeri Melayu itu terpulang kepada Raja-Raja Melayu.

Atas pengertian kita ini kita suka memberi sedikit fikiran yang kita fikiran serupa dengan fikiran kaum Melayu seumumnya.

Kita Melayu sungguh pun belum timba ke kemuncak kemajuan yang diketahui tetapi sudah sampai setakat yang boleh membezakan di antara zalim dengan adil dan mengetahui di mana duduknya perenggan keselamatan bagi kehidupan kaum.

Cuba kita palingkan perhatian kita kepada masa dua puluh tahun ke belakang dan jenuh lihat keadaan sahabat kita Baba-Baba Cina Peranakan di masa itu, kemudian bandingkan keadaan mereka itu di masa sekarang ini iaitu dari semenjak timbulnya pergerakan kebangsaan Cina itu nescaya kita dapati jauh bezanya bagaimana bumi dengan langit. Dahulu Baba-Baba Peranakan itu boleh dikatakan hampir-hampir kesemuanya menumpukan kasih sayang mereka itu hanya sanya kepada Semenanjung kita ini sahaja, iaitu tempat tumpah darahnya dan perikatan persahabatan mereka itu dengan anak-anak Melayu terlalu kukuh dan ikhlas. Wang ringgit yang didapati oleh mereka itu daripada bumi Melayu ini, ke bumi inilah juga dicurahkannya kesemuanya. Dahulu di masa kita lagi kecil, kita ingat muzik kawan-kawan kita anak-anak Baba Peranakan dengan kata "Hai, pulang Tongsanlah!".

Kata yang sedemikian itu pada Cina-Cina Peranakan dahulu jadi tutur kata yang memarahkan kerana Semenanjung ini pada masa itu pada mereka itu ialah watan mereka itu yang tunggal. Tetapi sekarang ini kita tak fikir ada 10 peratus Baba-Baba Peranakan yang berperasaan setengah dengan perasaan baba-baba di zaman dahulu itu, dan lihat pula beberapa banyak wang ringgit yang didapati oleh mereka itu daripada perahan bumi Melayu ini yang telah mengalir ke negeri Cina pada tiap-tiap bulan. Dengan keadaan yang demikian siapakah yang patut menaruh bimbang dan siapakah yang patut berhak mencari keselamatan, Melayukah, Cinakah?

Oleh sebab tabiat kebangsaan kita yang semula jadi dan ugama kita yang maha suci maka bersifat kita Melayu dengan sifat pengenang budi. Oleh sebab itulah maka kita tidak bersuara lebih daripada apa yang kita telah bersuara kepada penaung kita yang adil lagi mengetahui, memohon hak-hak yang tertentu bagi kita dengan sifat kita waris Semenanjung ini.

Tidak berkehendakan siapa-siapa meperingatkan kita Melayu akan bahagian yang telah diambil oleh bangsa-bangsa dagang di dalam kemajuan bumi Semenanjung ini kerana memang kita Melayu sedia tahu dan tak lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka itu atas modal dan titik peluh yang telah mereka peritkan kerana bumi yang warisnya telah menerima mereka itu masuk menumpang di dalamnya.

Kita Melayu belum pernah dan tidak akan mengganggu modal atau mensia-siakan titik peluh sebarang anak-anak dagang di dalam Semenanjung ini. Dalil atas yang demikian lihatlah bagaimana yang dikatakan modal yang dibimbangkan oleh mereka itu telah dibiarkan melimpah hingga mengalir beberapa banyak daripadanya keluar daripada Semenanjung kita ini masuk kepada negeri mereka itu pada halnya yang dikatakan modal mereka itu yang berbimbang mereka itu atas keselamatan itu bukan pula asalnya datang daripada negeri mereka itu tetapi yang sebenarnya terbit daripada perahan bumi Semenanjung kita ini juga, yang demikian apakah yang menyebabkan kebimbangan mereka itu? Sebaliknya yang patut menaruh bimbang ialah kita Melayu kerana dengan keadaan yang demikian, jika dibiarkan, lambat bangat nescaya keringlah bumi kita ini daripada pati kemakmuran dan tertinggallah kita Melayu akhirnya mengunyah hempasnya sahaja apa tidakkah keadaan yang demikian patut dibimbangkan oleh tiap-tiap Melayu yang ada mengalir salirannya tubuhnya walau setitik pun daripada darah perasaan kasih sayang akan tanahairnya?

Kita belum lupa lagi akan pengajaran yang diberi oleh tarikh kehapusan sesuatu kaum yang mewarisi sesuatu negeri yang disebabkan semata-matanya kerana dihisap oleh kaum-kaum dagang yang telah dibebaskan oleh mereka itu bermaharaja-lela di dalam negeri tumpangan mereka itu.

Kita Melayu sekali-kali tiada menaruh perasaan benci atau dengki atas kaum yang bermastautin di dalam Semenanjung kita ini, tidak, dengan sesungguhnya tidak. Sebaliknya dengan tulus ikhlas hati kita mengulurkan kedua belah tangan kita meraikan mereka itu selagi mereka itu menghargakan keraian kita itu, bukan dengan kata-kata sahaja tetapi dengan amalan yang tulus ikhlas.

Sesuatu kaum itu tentu tidak dapat mencapai kemajuan dengan keadaannya bersendirian tinggal di dalam negerinya melainkan dengan pergaulan bersama kaum-kaum daripada bangsa-bangsa dagang yang boleh dijadikan contoh teladan bagi turunannya dan yang boleh mengajar tegur akan dia atas jalan-jalan kemajuan yang berfaedah bagi dirinya dan fikirannya. Yang demikian berkehendak kita Melayu akan kaum-kaum dagang itu daripada mereka-mereka yang layak dijadikan contoh teladan dan guru, bukan daripada mereka-mereka yang hanya bertujuan mencari faedah diberi dan negeri masing-masing sahaja.

Atas pertunjukan dan bantuan mereka itu kita dengan waras, penaung kita telah membalas dengan memberi mereka itu kebiasaan kehidupan di dalam Semenanjung ini yang seumpamanya jarang dapat mereka itu mengecap hati di negeri mereka itu padakan dengan apa yang telah diberi itu dan jangan jadi seperti kata pepatah: "diberi betis hendak paha".