![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 23 Jan 1935, p.7
General Article.
Satu Daripada Punca Kemajuan dan Kejayaan Ia bantu membantu dan setia.
Apa yang dilunas dan apa yang dikerjakan mengikut jalan yang sempurna itulah yang dikehendaki ada di dalam wujud kehidupan kita dan bantu membantu serta setia. Itulah suatu jalan kemajuan dan kejayaan yang lurus, kaum Melayu mesti hidup seperti manusia yang betul. Madhi.
Sesungguhnya kaum-kaum bangsa lain yang telah sampai mencapai kemajuan dan kejayaan yang tertimbul namanya disebut dengan tak keputusan dari senyap-senyap itu, mereka amatlah menghargakan apa yang mereka bekerja dan buatkan meskipun buruk di pemandangan bangsa lain-lain.
Dengan jalan ini jadilah perasaan sombong telah membangkitkan di dalam dadanya untuk mengeluarkan benda-benda yang lebih hairan daripada yang telah ada, dan daripada perasaan itulah juga yang telah menimbulkan namanya di penjuru alam dengan jalan rekaan sesuatu benda dan membuat seperti bekerja untuk mengeluarkan benda-benda yang terlalu hairan oleh membuangkan otak lain-lain orang. Dan lain-lain orang tidak boleh sampai akalnya kepada apa yang telah sampai fikiran si pembuat yang tersebut itu.
Maka bagaimanakah tidak boleh mereka bangsa yang berkemajuan itu mencapai dan merasai kemanisan kemajuan? Lagi pula mereka mengerti apa-apa kewajipan dirinya untuk masa, bukannya "masa" untuk manusia tetapi manusia mesti mengajar masa, mereka mengerti jikalau perbuatannya sendiri itu tidak dihargakan sendiri, tentulah lain orang payah akan memujikan dan menghargakan barang buatannya.
Maka sifat mengerjakan kepada buatannya itu amat berharga dan ketugasan hati mempercayai kepada diri sendiri itulah suatu jalan boleh mengembangkan perbuatannya dengan bantuan kaum bangsanya.
Bahwasanya adalah kemajuan yang boleh menarikkan diri kita kepada kejayaan yang tinggi dan sempurna perbuatan kita itu sempitnya suatu perkara yang sukar diperoleh dengan ketiadaan bantu membantu kerana asas yang terutama boleh menerbitkan muslihat kejayaan itu daripada jalan bantu membantu dan bersetia sama sendiri.
Tentang keadaan kaum-kaum kita tentulah juga kebanyakan mereka tiada perasaan suka kepada ketinggian mutu Melayu akan bermerasai dukacita dan sesal hati kalau sesuatu perbuatan Melayu menjadi terhundur ke belakang dan tiada berharga sama punya.
Barangkali juga mereka akan memeriksakan apakah yang perbuatan Melayu sendiri untuk bangsanya tidak boleh maju ataupun akan diperiksa di manakah gendala yang boleh menumbangkan perbuatan Melayu dan hilang sebutannya "buatan Melayu".
Agak kita tentulah awal-awal yang akan didapati cacat dan gendala yang tersebut itu ialah terbit daripada roh perasaan bantu membantu belum lagi menjalar dengan kuatnya ke seluruh badan kaumnya dan pun ada juga yang boleh menumbangkan perbuatan Melayu itu terbit daripada si pembuat sendiri, sebab?
Tukang pembuat itu tidak boleh menunaikan apa yang boleh menjadi kesukaan bagi bangsanya ini. Suatu perkara yang boleh menjauhkan mutu keMelayuan kita dengan sebab tentulah apabila didapati perbuatan yang tersebut itu tidak boleh menunaikan kehendak yang sempurna.
Maka larilah mereka daripadanya dan menuju ke tempat-tempat bangsa lain yang lebih pandai menjerat leher orang-orang kita.
Kerajaan tiada pandai melayani kaum bangsa yang menuju ke tempatnya. Umpama tukang jahit apabila datang seorang hendak mengupah jahit baju, lalu diterima kedatangannya itu. Tetapi tidak dipersilakan duduk atas bangku ataupun membuat muka masam kerana perkara-perkara yang berlaku di rumah atau pun dan lain-lain. Maka tentulah juga akan terfikir oleh kita bahasa tukang itu tidak mengerti melayani kedapatan orang tak mengerti mengambil hati orang dengan perkataan yang lemah lembut dan kurang hormat atas kedapatannya orang.
Maka jikalau sekiranya mereka yang datang itu daripada jumlah mereka yang perangus, tentulah lain kali dia tidak akan sudi lagi membuat apa-apa pada kiranya dengan tukang yang tersebut itu.
Dan lagi pula, kejatuhan tiap-tiap perusahaan kita itu ada juga datang daripada si pembeli ataupun si pengupah, setengah suka berhutang baris, sekali dua dibayar hutang datang lagi ke tempat kita majliskan masuk kepada kebilangan kali yang lain-lain.
Maka kebanyakan suka membuat onar, tak suka majlis kita dan sukar bagi kita hendak memandang mukanya dengan betul. Dan ada juga lagi jalan-jalan yang menjauhkan perusahaan kita, kita tak percaya kepada diri sendiri, berkuasakah atau tidak menjalankan pekerjaan dan perusahaan itu.
Tak ada ketugasan hati mebuka pekerjaan kita tak mengerti mengatur barang-barang supaya elok di mata memandang, pelayan-pelayan di tempat kita selalu berkelakuan buruk dan cuai itu pun suatu lorong kejatuhan kita.
Begitulah juga di lain-lain cawangan perusahaan dan pekerjaan kita apakala hilang kepercayaan kepada diri sendiri. Kepercayaan orang kepada kita dan kelalaian kita atas sebarang perusahaan, maka pendeklah tangan bantu membantu dan persetiaan yang diharap-harap akan berlaku selalu di antara sama sendiri itu; hilang lenyap timbul perkelahian memasam muka yang boleh menjalankannya ketinggian mutu keMelayuan dan perikatan persaudaraan terungkai dan sebagainya.
Dengan alasan yang kita aturkan dengan pendek di atas, bertukarlah kita mengajak kaum bangsa dan saudara-saudara kita yang setia dengan kita, sama menggunakan apa yang boleh meninggikan kita dan menguatkan semangat perasaan kita untuk mengeluarkan tenaga bagi memajukan sebarang perkiraan dan cawangan kesempurnaan juga; buangkanlah adat-adat lapuk yang hodoh dan perangai-perangai perbuatan yang boleh menjadi gendala perjalanan kita serta sama-samalah menggunakan bantu membantu dan bersetia antara sama kaum sendiri.
Dengan jalan itu barulah boleh dikatakan iaitu baru satu daripada punca yang boleh kita mengenal kemajuan dan meninggikan keadaan kita walaupun daripada perkara-perkara yang kecil mengecil sekalipun buat permulaan.
Sungguh adalah bantu membantu dan setia itu ialah sesuatu jalan keutamaan yang boleh menaikkan darjah kejayaan dan kemajuan kita, daripadanya boleh menerbitkan beberapa muslihat dan faedah dan dialah awal-awal penyuluh yang boleh dinampakkan cahaya kemajuan perusahaan dan pekerjaan kita ... dan ... dan ... dan ... dan ... lainnya.
Sependek ini sahaja kita menulis hari ini, maaf apa yang salah, terima kasih Tuan Pengarang serta kita ucapkan salam berHari Raya jua. Was-salam.
top |