![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 21 Jul 1935, p.6
Editorial.
Persekutuan Bekerja-Kerjasama Bagi Memajukan Ekonomi Atau Mata Pencarian Rakyat Putera Bumi.
Orang-orang yang berpelajaran dan pembesar-pembesar bangsa anak negeri di Tanah Jawa tampaknya telah cukup sedar bahwa suatu tubuh yang mesti bekerja dengan khas bagi memajukan perusahaan atau ekonomi rakyat bangsanya patut didirikan dengan cergas dan selekas-lekasnya.
Mereka itu telah insaf bahwa kesakitan dan kelemahan rakyat bangsanya itu di dalam perihal ekonomi atau harta benda adalah akan membawa makna yang boleh menjatuhkan darjah kemuliaan dan kemakmuran mereka itu di atas pangkat martabatnya di dalam pergaulan khas atau umum pada negerinya sendiri itu pun.
Bukankah kemuliaan dan kesenangan atau kemasyhuran serta kemewahan pembesar-pembesar daripada sesuatu bangsa itu kerana berdiri di atas kemakmuran dan kemajuan perusahaan atau harta benda kepunyaan kaum rakyat bangsanya sendiri?
Bukankah kesenangan dan kebesaran pembesar-pembesar itu kerana kemakmuran rakyat bangsanya?
Oleh sebab itu dan oleh sebab mereka itu mengetahui jua bahwa tiada boleh dikatakan berjasa seseorang yang berpelajaran dan yang berpangkat kebesaran itu melainkan menolong ia di atas mesyuarat muslihat yang berharga bagi bangsa dan negerinya, maka pada 18 Mei yang baru lepas telah berdirilah di Betawi sesuatu persekutuan bekerja-kerjasama daripada bangsa anak negeri dengan tujuan untuk memajukan kesejahteraan dan ekonomi rakyat bangsanya dalam makna yang seluas-luasnya dengan diberi nama, perhimpunan untuk memajukan ekonomi rakyat, bagi seluruh negeri-negeri pulau-pulau jajahan Belanda itu.
Persekutuan ini mempunyai pusat perdiriannya di Betawi di mana kita dapati di antara ahli-ahli jawatan kuasanya terdiri daripada kerabat-kerabat bangsawan Jawa, pembesar-pembesar bank negeri, pegawai-pegawai yang tertinggi di dalam jawatan-jawatan negeri, lawyer, doktor-doktor engineer-engineer, ahli-ahli mesyuarat majlis kerajaan dewan rakyat, doktor-doktor haiwan, pegawai-pegawai tinggi di dalam jawatan hasil mahsul, majlis bandar, pengarang-pengarang, pegawai-pegawai department, saudagar-saudagar dan lain-lain yang kesemuanya 23 orang.
Jalan untuk menyampaikan kepada cita-cita atau tujuan persekutuan yang tersebut telah ditetapkan iaitu:
1. Menyusun alat-alat bagi memperbuat barang-barang keluaran negeri sendiri.
2. Menyusun alat-alat pembahagian barang itu keluar seperti mengadakan perniagaan dan penghantarannya dan lain-lain.
3. Mempunyai tinggi peluang untuk memenuhi keperluan rakyat mendapati modal, yang jika mustahak akan bekerja-kerjasama dengan bank-bank negeri, menghapuskan tukang-tukang pembungakan wang, dan mengatur pembahagian-pembahagian cengkeram ((seperti yang biasa berlaku oleh kaum wang kepada peladang-peladang yang kesempitan wang)).
4. Berdaya-upaya dengan cara yang teratur untuk menghilangkan tabiat kelemahan dalam pekerjaan ekonomi rakyat, dengan jalan perhatikan benar-benar:
((a)). Menyiarkan nasihat dengan cara yang teratur tentang hal berjimat cermat terutama bagi golongan rakyat negeri.
((b)). Melawan "Buta Huruf" dengan cara yang teratur di kalangan rakyat yang sudah akil baligh.
((c)). Memberi pekerjaan kepada pemuda-pemuda yang telah tamat sekolah dengan tiada berpekerjaan.
5. Berusaha supaya pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan atau freeman supaya memberikan pelajaran yang bersetuju dengan keperluan rakyat menurut keadaan tempatnya masing-masing.
6. Memajukan pemindahan rakyat tanah Jawa ke negeri Sumatera, Borneo dan Celebes.
7. Berikhtiar supaya dapat bekerja-kerjasama dengan perhimpunan yang bersamaan tujuannya.
8. Mengadakan perhubungan di antara kerajaan dan rakyat dalam urusan ekonomi di mana dirasai perlunya dan berikhtiar pada waktu telah berhajat dengan ada peluang supaya perhimpunan dapat bekerja-kerjasama menurut syarat-syarat yang terang dengan pihak kerajaan.
9. Berlaku sebagai pemberi keterangan yang penuh kepada ahli-ahli mesyuarat bangsa anak negeri di dalam majlis-majlis kerajaan di mana dirasai perlunya supaya kepentingan rakyat dapat diperhatikan dengan seluas-luasnya oleh majlis-majlis pemerintahan itu.
Demikianlah lebih kurang tujuan dan perhimpunan ini akan mengadakan cawangan di serata negeri-negeri jajahan Belanda itu dengan dinyatakan tidak sekali-kali akan mencampuri sesuatu haluan politik, melainkan ekonomi dan kesejahteraan. Maka wang yurannya 60 sen setahun dan 50 sen wang mula-mula masuk.
Dan lagi, di antara ahli-ahli jawatankuasa telah diberi hak berwajib mengatur dan memajukan sesuatu tujuan, iaitu:
1. Perusahaan tanah perkebunan, ternak dan penangkapan ikan-ikan.
4. Membuka pelayaran dan perusahaan laut.
5. Mengatur pemindahan rakyat ke negeri-negeri seberang.
6. Memberi penerangan kepada ahli-ahli majlis kerajaan, dan
7. Mengatur usaha pengeluaran barang-barang, demikian adanya.
Inilah suatu tanda kesedaran dan keinsafan yang kita harap akan mendapati kejayaannya yang memuaskan hati bagi negeri dan kaum sama.
top |