Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Jun 1935, p.6

Editorial.

Setengah Daripada Beberapa Ikhtiar Bagi Umat Kita Jika Berkehendak Mencari Jalan Kemajuannya.

Siapa pun mengakui bahwa ikhtiar untuk mendapati kemajuan yang berguna itu memang bukanlah pekerjaan yang mudah, terutama bagi sesuatu umat yang di dalam keadaan serba serbinya picik dan lemah sebagaimana umat kita kaum Melayu ini amnya.

Sungguh pun demikian, bukanlah dengan sebab itu kita mesti mendiamkan diri daripada berikhtiar mencari jalan mendapatinya, bila kita tidak gemar dijumlahkan sebagai umat yang mati di dalam masa masih ada kepada kita roh bersama jasad, dan pun bernegeri dan berbangsa.

Di sekelilingnya kita terdiri beberapa contoh dan teladan bahwa pekerjaan yang berat dan sukar itu akan ringanlah dia bila dikerjakan bersama-sama, insha Allah, iaitu dengan jalan bersyarikat atau bersekutu bagi menghimpunkan kemahuan dan tenaga yang sedikit-sedikit kepada menjadikan kuat dan banyak.

Dihadapan umat kita sekarang, walaupun dengan kebangunan yang bertatih-tatih dan bertungkaskan lutut misalnya, itulah dia persekutuan, persaudaraan, Sahabat Pena Malaya, telah mengambil bahagian sedikit daripada ikthiar yang tidak dapat tiada adalah jua setengah daripada jalan atau syarat bagi kemajuan tiap-tiap umat itu, iaitu di dalam perkara pelajaran dan pergaulan atau yang disebut Education dan Social.

Kita berkata setengah daripada jalan atau syarat kemajuan, akan tetapi jalan atau syarat yang terutamanya, sekali iaitulah di dalam perkara ekonomi dan politik. Kedua-duanya ini patut benar ditempuh oleh tiap-tiap umat yang berkehendak kepada kemajuan sebenar itu.

Barangkali kita terlanjur mengasaskan perkara politik di dalam masa kecerdasan yang ada kita padanya sekarang ini, kerana agaknya belum ada darjah pengetahuan yang layak bagi umat kita mencampuri fikiran ke dalamnya, sungguh pun telah layak bagi orang-orang asing yang ada di dalam negeri ini.

Akan tetapi di dalam perkara ekonomi tentulah tidak patut dikatakan belum layaknya kita memajukan ikhtiar dan usaha ke dalamnya, pada masa setelah kita mengetahui betapa perbezaan di antara kaya dan miskin serta di antara kenyang dan lapar ini.

Maka di dalam perkara ekonomi inilah patut dahulu umat kita menzahirkan dirinya memerhatikan jalan betapa cara melangkahkan kaki bagitu permulaannya, kemudian merintis, hingga dapat menempuh dan memajukan perusahaannya kemudian kelak.

Oleh sebab itu, yang patut bagi kita sekarang, mengadakan bekerja-kerjasama di dalam perkara itu dengan jalan mengadakan persekutuan ahli-ahli berniaga dan ahli-ahli fikiran atau peladang khas bagi orang-orang Melayu sahaja buat seluruh negeri-negeri Melayu atau Malaya ini.

Daripada mereka-mereka yang sebanyak sedikitnya telah ada berusaha dengan perniagaan-perniagaan dan kebun atau ladang-ladangnya masa ini, kedua-dua perkumpulan atau persekutuan ini memang telah patut atau sudah lama patutnya berdiri bagi orang-orang Melayu di dalam negerinya ini dengan perdirian yang berasing-asing sebagaimana satu-satunya telah lama terdiri dan menerbitkan buah manfaatnya bagi kemajuan orang-orang asing itu di hadapan pemandangan kita.

Inilah setengah daripada kewajipan kepada ahli-ahli pengetahuan dan pemuka-pemuka bangsa Melayu, mengambil fikiran akan dia langsung mendirikannya pada hari ini di negeri Melayu itu, bagi mencari dan mengatur keteguhan perdirian orang-orang berniaga atau saudagar-saudagar dan ahli-ahli fikiran atau peladangnya yang ada dengan perusahaannya masing-masing yang berkecil-kecil itu, supaya bertambah jauh pemandangannya, barang suara dan kerasa sememangnya bagi mengharung ombak perekonomiannya yang belum pernah dilayarinya ke tengah-tengah harungan di mana telah berdebuan-debuan dilayari oleh bahtera-bahtera perusahaan orang-orang asing itu.

Bilakah masanya di tengah-tengah negeri Melayu atau sebaik-baiknya di Kuala Lumpur itu, akan dapat terdiri ((1)) Persekutuan Ahli-Ahli Berniaga Melayu dan ((2)) Persekutuan Ahli-ahli Pekebun atau Peladang Melayu, bagi seluruh Malaya ini, sebagaimana telah terdiri Persekutuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya, dengan naungan kebenaran kerajaan itu.