![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 15 Jun 1935, p.9
General Article.
Pekerjaan.
Zaman kini di seluruh dunia berjuta-juta orang yang tiada berpekerjaan dalam mana penyakit itu telah merebak juga di Semenanjung ini, tetapi tidak sehebat di negeri-negeri yang besar seperti di negeri-negeri yang di sebelah Barat.
Di Semenanjung Tanah Melayu ini bolehlah dikatakan masih ada lagi peluang bekerja. Sehabis-habis besar ibu penyakit yang menyebabkan anak Melayu kita di masa ini tiada memperoleh pekerjaan ialah oleh kerana kebanyakan daripada pemuda-pemuda orang-orang kita Melayu baik yang sudah tamat bersekolah mahu pun yang masih di bangku sekolah hampir-hampir semuanya bercita-cita di dalam hati masing-masing manakala lulus hendak memegang kerja batang pen sahaja, seperti bekerja untuk tulis menulis dan sebagainya bergaya konon ...
Sungguh pun dalam masa ini kita semua mengetahui pekerjaan untuk yang hanya duduk menulis itu penting didapati oleh anak-anak muda Melayu kita terutama yang berpengetahuan Inggeris jua tidak jemu-jemunya menantikan pekerjaan itu seolah-olah seperti kucing menantikan tikus keluar daripada lubangnya.
Orang yang pandai-pandai semakin banyak zaman kini janganlah disamakan dengan zaman kuno. Dahulu jika seseorang mengetahui sedikit berbahasa Inggeris sangatlah gampang mendapat pekerjaan sama ada di pejabat kerajaan dan di pejabat saudagar-saudagar.
Di zaman ini keadaan yang seperti itu harus tiada akan bertemu semata lagi dengan kita setengah daripada orang kita Melayu dalam masa ini menyangkakan pekerjaan otak dan tulis menulis lebih mulia lebih dihargakan daripada pekerjaan tangan, pekerjaan mana sangat-sangat diutamakan pada masa ini. Perasaan itu nyatalah sekali-kali salah hanya dibuat sahaja.
Di seluruh dunia sekarang orang telah sedarkan kesalahan. Oleh itu, agaknya dalam masa yang di ke hadapan sangkaan yang seperti itu akan berubah juga pada perasaan orang-orang kita Melayu. Cuba kita lihat dahulu-dahulu di dalam sekolah-sekolah yang diusahakan mengisi otak murid-murid dengan ilmu pengetahuan sahaja, murid-murid duduk terpagut bagai seketul batu dihadapan gurunya terkadang-kadang dihukumkan pula menulis dan membaca.
Pekerjaan tangan tiada diutamakan dan tidak pula dilatih membuat sesuatu benda dengan tenaga anggotanya sendiri. Di negeri kita sekarang keadaan seperti yang disebutkan itu telah berubah, di sekolah-sekolah telah diutamakan pekerjaan tangan, perusahaan mana bukannya sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu kita ini, bahkan di seluruh dunia, istimewa di benua Eropah dan Amerika, baiklah bangunan-bangunan yang telah dibangunkan tempat melatih anak-anak bangsanya supaya cekap bekerja menggunakan tulang uratnya dan segala panca inderannya yang lima.
Anak muda kita masih patut bekerja dan berakal dan banyak lagi pekerjaan yang boleh dikerjakan.
Akan tetapi janganlah pula semuanya menghala kepada sesuatu tujuan sahaja seperti pekerjaan tulisan, perusahaan tanah, berternak, dan sebagainya, masih boleh lagi dikerjakan. Patut semua kita sedar bukanlah perkara tulis menulis itu sahaja jalan yang boleh membaiki kehidupan, tengoklah bangsa "Tionghua" yang bekerja di Tanah Melayu kita ini jadikan dalil.
Maksud rencana ini bukanlah penulis bertujuan melarangkan orang yang kita Melayu bekerja otak dan tulis menulis, tidak sekali-kali tidak, semata-mata dengan ikhlas hati penulis sahaja supaya memperingati kepada saudara-saudaraku yang hendak beringat jikalau hendak jadi Professor sekalipun, apatah salahnya itulah yang dikehendaki di zaman ini, tujuan penulis hendaknya janganlah berpeluk tubuh sahaja, apabila tiada memperoleh pekerjaan otak dan tulis menulis itu hapuskanlah dari sekarang dan janganlah difikirkan pekerjaan itu lebih mulia daripada pekerjaan tangan dari sekaranglah apa-apa yang boleh dikerjakan seperti kata lidah pendita, hari ini jangan dinantikan hari esok, jangan ditunggu barang yang tak patut ditunggu.
Terimalah salam secara hormat dari saya,
top |