![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 19 Sep 1932, p.7
General Article.
Suara Melayu Bahasa Inggeris.
Sudah pada tempatnya bagi satu umat yang mulai sedar daripada lenanya yang berabad-abad itu baru sahaja celik matanya; berbagai-bagailah yang nampak kepadanya di sana; atap rumahnya bocor, di situ lantainya patah, di sini pula tiangnya condong. Semuanya itu wajib diperbaiki. Kalau fardhu diganti sama sekali.
Demikianlah juga jika umat kita bangsa Melayu yang berupa-rupanya sudah bersedia-sedia hendak maju memperbaiki nasibnya yang tak tentu arah itu, dunia tidak akhirat jauh sekali.
Sekarang tengah sibuk ke hilir ke hulu capai ini angkat itu, jamah ini gagap itu.
Tetapi semuanya itu belum jadi kerana maklumlah tenaga orang yang baru siuman itu lemah agaknya. Demikian kita berkata kerana dari Kongress ke Conference, sampai ke Audience, akhir-akhirnya Persekutuan Melayu Am semuanya itu barulah angin yang belum menjadi rupa.
Kita tidak menyesal fasal itu, kerana kita tahu bahwa kehasilan yang utama sudah kita dapati, iaitu bakti kesedaran umat kita.
Kongress -- Conference -- Audience atau Persekutuan Melayu Am itu ialah program-program pekerjaan kebangsaan kita pada masa yang akan datang yang lambat bangatnya tentu atau mesti akan dikerjakan juga.
Tinggal lagi bangsa kita ini menanti kedatangan Mahadi Melayu agaknya! Alahai Tuhanku! Adakah belum lagi masanya engkau membangkitkan Mahadi Melayu yang terjanji itu. Quran berkata: Dan engkau tentu tidak akan mengubah janji di dalam Quran tersebut, Tunjukkanlah kami kepada jalan yang betul.
Hari ini kita kemukakan satu ura-ura yang agaknya akan menjadi tambahan program di masa akan datang pula.
Penulis ini bukannya yang pertama mempunyai angan-angan atas suara Melayu bahasa Inggeris ini. Kerap, kalau kita tak salah, pada beberapa bula yang lalu dalam salah satu akhbar, Saudara atau Majlis, ada memuat rencana yang mengandungi bahas ini.
Tetapi ibarat batu jatuh ke lubuk yang dalam, senyap sahaja. Tidak bersimpuh tidak bertingkah. Sekarang kita hadapkan seruan ini kepada kaum terpelajar bangsa kita, kerana mereka itulah khas yang boleh mengangkat beban ini; sebab beban ini dalam sehari dua ini bukan alang kepalang beratnya.
Satu pertanyaan yang mula-mula dimajukan; adakah gunanya kita mempunyai suara dalam bahasa Inggeris? Pada menjawabnya haruslah kita ketahui bahwa kemajuan kita, bukannya sehingga bertanam sayur-sayur dan berpekan-pekan mingguan sahaja, bahkan jauh lebih jauh daripada itu. Suara kita bukannya sahaja kita halakan kepada orang-orang kampung rakyat kita, tetapi lebih wajib lagi kita perdengarkan kepada orang-orang besar yang di London itu.
Sebagaimana bangsa Timur asing di sini sampai bergegar tiang arashnya Pejabat Menteri Luar Inggeris dibuatnya. Apakah kaum terpelajar bangsa Melayu pura-pura tidak tahu itu? Kerana suara-suaranya yang dahsyatlah mereka itu mendapat hak yang tak patut didapatinya sampai diperolehnya juga dalam Tanah Melayu ini.
Ada orang berkata: mengeluarkan suara Melayu dalam bahasa Inggeris oleh anak-anak Melayu sendiri, belum begitu wajib kerana kalau kita mau boleh juga kita bersuara dalam suratkhabar-suratkhabar orang putih, seperti Malay Mail atau Straits Times yang suaranya tentu sama sahaja.
Apalagi rencana yang penting-penting dalam akhbar Melayu selalu juga dia orang kutip ke dalam suratkhabarnya yang mana tentu akan dibaca juga oleh orang-orang besar itu.
Tambahan pula pekerjaan ini bukan mudah bukan tanggung-tanggung terpelajar boleh membuatnya. Harusnya bangsa kita Melayu belum ada. Demikianlah alasan-alasan itu dan tentu akan boleh ditambah dengan beberapa perkara lagi. Pada menjawabnya, kita hanya berkata, ceh! Rendahnya hemah orang ini, sampai-sampai hendak menumpang di rumah orang dagang. Pada halnya dalam negeri sendiri. Oh! Hemah Melayu! mengharapkan belas kasihan pengarang-pengarang orang putih supaya mengutip article-article kita yang penting-penting supaya dimasukkannya ke dalam akhbarnya bukannya suatu sifat atau pekerti yang harus disimpan lama oleh bangsa Melayu yang hendak maju.
Pada alasan nombor tiga, penulis berkata, apa boleh buat! Mustahil tidak ada!
Was-salam ala mantaabah al-hadi.
13.9.32.
top |