Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 Mar 1935, p.2

General Article.

Kaum Melayu di dalam Keadaan yang Sangat Berbahaya.

Hanya Fikiran dan Perusahaan yang Ikhlas dan Sungguh-Sungguh

Daripada anak-anak kaum yang terpelajar boleh menyelamatkan keadaan yang demikian.

Kata Yang diHormati Tuan al-Hafiz Ghulam Sarwar.

Pada hari Ahad malam Isnin yang lalu, Persatuan Pemuda-Pemuda Islam ((YMU)) Pulau Pinang telah mengadakan jamuan makan malam di antara ahli-ahlinya di rumah persatuannya di Anson Road, Pulau Pinang, kerana meraikan ulang-tahun hari genap usia persatuan itu dua puluh empat tahun.

Pada pukul 8.30, jamuan dimulakan di halaman persatuan itu dengan diiringi oleh bunyi-bunyian radio di sepanjang masa makan itu. Oleh sebab cuaca daripada petang hingga malam itu tiada begitu baik, maka banyak juga daripada ahli-ahli persatuan itu yang tiada dapat menghadiri majlis itu.

Kemudian daripada telah selesai jamuan nasi dan di masa jamuan ais-krim dan buah-buahan diraikan oleh yang hadir, maka Tuan Hamid Khan, Yang diPertua Persatuan itu pun bangun meminta Tuan-Tuan yang hadir bangun minum memberi selamat persatuan itu serta penaungnya Tuan Hafiz Ghulam Sarwar.

Setelah itu, Tuan Yang diPertua melafazkan kesukaannya dan memberi terima kasih kepada ahli-ahli yang hadir terutamanya Tuan al-Hafiz Ghulam Sarwar di atas kehadiran mereka itu.

Tuan Yang diPertua menyambungkan ucapannya dengan memperingatkan kepada ahli-ahli yang hadir dan bagi disampaikan kepada ahli-ahli yang tiada dapat hadir di dalam majlis itu bahwa adalah kegunaan tiap-tiap kelab yang didirikan orang-orang bagi jadi tempat persediaan kerana berkumpul di masa-masa yang lapang bagi ahli-ahlinya supaya dengan perkumpulan itu ahli-ahlinya dapat beramah-ramah dan mengukuhkan simpulan muhibbah di antara satu dengan lain dan dapat dengan yang demikian menjalankan berbagai-bagai perundingan dan bekerjasama atas sebarang hal bagi muslihat kemajuan kaum.

Oleh sebab itu, maka besarlah pengharapan Tuan Yang diPertua itu kepada ahli-ahli persatuan itu seumumnya, dan ahli-ahli tua ((ahli-ahli lama)), terutamanya supaya lebih kerap mereka itu datang melawat beramai-ramai ke kelab.

Setelah tamat ucapan Yang diPertua itu, maka Tuan al-Hafiz Ghulam Sarwar pun bangun berucap menaburkan beberapa mutiara nasihat yang amat berfaedah kepada ahli-ahli persatuan itu khasnya, dan kepada kaum Melayu amnya.

Ringkasan nasihat Tuan Yang diHormati itu ialah menyuruh tiap-tiap anak-anak kaum yang terpelajar berfikir dan berusaha dengan ikhlas dan sungguh-sungguh pada mencari jalan-jalan yang boleh melepaskan kaum bangsanya daripada ditimpa oleh bahaya kesengsaraan hidup di dalam watan sendiri, iaitu bahaya yang jadi daripada kemiskinan kaum yang disebabkan oleh terbelenggu dengan rantai hutang.

Di masa ia datang ke mari dahulu, kata Tuan itu, tanah-tanah rumah di dalam bandar Pulau Pinang ini kebanyakannya hak milik Melayu, tetapi pada hari ini hampir-hampir kesemuanya telah jadi hak milik bangsa-bangsa asing.

Tuan itu telah menyebutkan bahwa ada di dalam pengetahuannya sendiri angka-angka yang menunjukkan berapa jumlah ringgit hutang kaum Melayu di sekolah Semenanjung Tanah Melayu ini, tetapi takut ia hendak menyatakan bilangannya kerana jika dinyatakan, harus tiada yang boleh percaya akan benarnya jumlah hutang kaum Melayu di masa ini; bukannya satu dua atau tiga atau sepuluh atau dua puluh milyun, tetapi beratus-ratus milyun ringgit! Dan yang berhutang itu daripada mereka-mereka yang setinggi-tinggi kepada yang serendah-rendah martabat di dalam kaum.

Jika keadaan yang demikian itu dibiarkan, tidak dapat tiada Tuan itu hendak mengagak apa akan jadi atas kaum kita, bukan lagi 50 tahun, tetapi lagi 10 tahun, ke hadapan pun, siapakah yang mesti menyorong bahu kerana memikul bebanan kewajipannya pada melepaskan kaum kita daripada bahaya yang maha besar dan yang sangat-sangat hampir tibanya itu?

Kata Tuan yang bijaksana itu tiada lain orang yang mesti memikulnya melainkan pemuda-pemuda kaum yang terpelajar yang dikehendaki mesti berfikir dan berusaha bersungguh-sungguh dan dengan tulus ikhlas pada menjalankan kewajipannya mereka itu.

Kata Tuan itu, bahwa adalah ia itu seorang yang ikhlas kasihnya akan kaum Melayu, terutamanya oleh sebab mereka itu saudara sama Islam dengannya, yang demikian sangat-sangat sedih hatinya melihatkan pati perusahaan mereka itu terampas daripada kecapan mereka itu.

Setelah itu, Tuan Zainal Abidin S.M. B.A., Setiausaha Yang Kehormat Persatuan itu bangun bagi pihak persatuan itu melafazkan terima kasih kepada ahli-ahli yang hadir dan kepada Tuan Hafiz Ghulam Sarwar atas nasihatnya yang berharga itu.

Tuan Setiausaha menyambung katanya lagi bahwa sungguh pun hari itu hujan, dan lagi pula Hari Raya, tetapi Tuan Penaing dan Tuan Yang diPertua Persatuan itu tidak teruzur daripada menghadiri majlis itu, padahalnya umur mereka itu jauh lebih tua daripada kebanyakan ahli-ahli persatuan itu. Yang demikian berserulah Tuan Setiausaha itu kepada sekalian ahli-ahli supaya menjadikan amalan Tuan-Tuan itu contoh teladan yang patut diikuti.

Penyudah kata, Tuan Setiausaha memperingatkan sekalian yang hadir dan meminta sampaikan peringatannya kepada yang tiada hadir supaya masing-masing tiada melalai dan mensia-siakan nasihat Tuan Hafiz Ghulam Sarwar itu.

Majlis bersurai lebih kurang pukul sepuluh setengah.