![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 25 May 1935, p.3
General Article.
Tiada Mustahil Melayu Boleh Maju.
Manakala adalah kita orang-orang Melayu telah hidup di atas dunia ini seperti lain-lain bangsa jua wajiblah berfikir bagaimanakah supaya sempurna kehidupan kita dan supaya elok pergaulan kita dan supaya dipuji perbuatan kita, iaitu raja cara rajanya, dan orang besar cara orang besarnya, dan orang kaya cara orang kayanya, dan orang saudagar cara orang saudagarnya dan peladang cara peladangnya, dan tukang cara tukangnya, dan kuli cara kulinya, dan orang miskin cara orang miskinnya.
Maka apabila terlupalah oleh raja dan orang-orang besar-besar akan perkara rakyatnya nescaya adalah bandingannya seperti sebuah kapal yang berlayar di dalam lautan yang dalam. Kemudian terlalailah kaptennya dengan sebab berseloroh suka dan bermakan-makan dengan makanan yang sedap-sedap daripada membetulkan haluan bahteranya di atas jalan yang dituntuti, nescaya kesusahanlah segala penumpangnya dan akhir-akhirnya tentulah terdampar kepada tukun atau batu.
Maka tenggelamlah ia dan segala penumpangnya dan ia pun binasa juga.
Maka daripada perkataan hamba yang daif ini bukanlah hendak ajar itik berenang, hanya mengingat jua kerana adalah manusia ini tiadalah terkeseorang daripada seorang seperti mana tiadalah tergaya singa daripada meminta tolong dengan tikus tatakala adalah ia terkena jaring yang sangat-sangat kuat itu.
Maka adalah diceritakan bahwasanya Nabi Allah Yusuf tatakala ia menjadi Raja di atas negeri Mesir. Maka tiadalah setetap ia akan makanan melainkan apakala datanglah di atasnya rambang matahari. Maka ditanyakan dia apakah sebab yang Tuanku tahankan perut, pada hal adalah khazanah makanan itu di dalam tangan Tuanku.
Jawabnya, adalah sebab yang demikian itu takutlah aku apabila kenyang perutku bahwa aku terlupa akan perkara rakyatku.
Maka dari itulah teradatlah segala raja-raja menyantap akan makanan pada waktu tengah hari. Dari ini jika seorang daripada kita mengambil amat-amati di atas perkara dirinya kemudian amati di atas diri saudaranya sama sebangsa, nescaya tiadalah mustahil Melayu boleh maju dengan segeranya, istimewa pula bukanlah kita ini bangsat dan dagang, bahkan orang-orang Melayu di dalam negeri Melayu di bawah perintahan Raja Melayu, tetapi sekarang nasib Melayu belum baik lagi ialah dengan beberapa sebab. Jika dikehendaki nescaya hamba huraikan satu persatunya.
Tetapi diharap padakanlah dengan isyarat ini dan pangkatkanlah di atas apa-apa teladan yang diperbuat oleh kaum kemajuan itu. Pendeknya hendaklah tiap-tiap seorang daripada kita hendaklah lebihkan amat-amati dengan perkara saudaranya lebih daripada amat-amati dengan diri sendirinya supaya tiadalah dibilang jahat perangai atau buta perut.
Dan janganlah tiap-tiap seorang sangat gemar kepada wang ringgit untuk mengisi perut dan memuaskan hawa nafsu, bahkan hendaklah cari untuk menolakkan kesusahan dan menolakkan di atas segala yang kepayahan.
Demikian juga janganlah cari ilmu untuk menjadi kuli atau makan gaji, bahkan carilah akan dia untuk menolakkan kejahilan daripada diri dan mengajarkan saudara yang tiada mengerti dan ... dan ... jauhkan daripada bercela-cela sama sendiri. Bukakan kepujian, tutupkan kemaluan, buangkan segala perangai yang dikeji seperti pemarah, pemboros, penyombong, bakhil, takabur, dengki, pemalas, penipu, zalim dan lain-lainnya. Dan janganlah sekali-kali ingat kepada bangsa baik atau harta banyak atau muka cantik atau gaji besar atau pangkat besar. Kerana semuanya Arash Za´il ((barang yang hilang)) tiadalah lama kekal ia pada seseorang.
Maka yang kekal itu ialah nama yang baik, lihatlah seperti junjungan Penghulu kita Nabi Muhammad sudah ribu tahun disebut orang juga akan baiknya.
Dan lagi, lihatlah kepada barang yang dikata janganlah lihat kepada orang yang berkata, jika tidak nescaya tiadalah beramal kita dengan fikiran seseorang.
Terimalah salam dari yang bodoh lagi hina yang kekurangan daripada segenap perkaranya lagi bodoh kurang akal, Ismail bin Haji Muhammad Said, Anak Bukit, Kedah, khusus kepada Tuan Pengarang kerana kemurahannya memuatkan rencana yang buruk ini: Maaf! Maaf! Maaf!
top |