![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 18 May 1935, p.9
Surat Kiriman.
Perniagaan Melayu.
Jika saya pandang-pandangkan ataupun saya menung-menungkan hal perniagaan bangsa Melayu kita terlalulah sangat sedikit belum sampai kiranya setengah persen, itu pun tidak berapa jaya, betapa tidaknya, tiap-tiap seorang hendak mencuba mendirikan suatu kedai keperluan dapur ataupun kedai-kedai kopi tidak berapa banyak kaum bangsa kita menyokong atau mampunya. Melainkan yang kebanyakan ada saja yang dicacat ataupun dicelanya dan berbagai-bagailah masing-masing mengeluarkan percakapan yang ada begini dan yang ada begitu.
Wahai kaum bangsaku! Cubalah kita ambil fikiran yang sangat-sangat cantik ini umpamanya kita adik-beradik saudara sedaging, dan seibu-sebapa. Jikalau kiranya kita sudah tidak sukakan saudara kita itu, betapa hal orang-orang lain?
Pada fikiran saya yang cetek ini, jangankan orang hendak menegurnya, memandang pun benci agaknya! Demikian jugalah seperti perniagaan bangsa kita yang masih baru yang berputik ini, jikalau tidak kiranya kaum kita bersama-sama mampu ataupun memajukan seperti perniagaan bangsa kita di manakan pula bangsa yang lain hendak memajukan, menungkanlah!
Wahai Saudaraku yang bijaksana dan yang berdarah kebangsaan Melayu itu daripada hari ini sehinggakan sampai ke hadapan mahulah kita melangkah dari setapak ke setapak mencari jalan kemajuan dan semasa ini juga kita bersama-sama membuangkan segala hasad dan dengki serta dengan umpat keji itu ke dalam lautan kalzum supaya jangan ia berbalik-balik lagi ke dalam hasad masing-masing. Jikalau kiranya masih lagi hal yang demikian ini, pada fikiran saya jangankan setahun dua ini, saya percaya empat puluh tahun ke hadapan pun tidakkan boleh maju bangsa kita Melayu melainkan bangsa kita masih tinggal di belakang jua lagi, menungkanlah sekali lagi.
Sekali lagi, saya berseru dengan seruan yang amat nyaring kepada saudara-saudaraku Sahabat Pena khasnya, dan kaum Melayu amnya daripada hari ini mulai kita menyimpan darah kebangsaan itu dan kita menungkanlah hal saudara kita ini yang telah tercicir di belakang itu yang telah diseluputi oleh kaum bangsa asing. Oleh sebab itu berharap juga kiranya saya kepada saudara-saudara sebarang apa jua maksud saudara kita itu mahulah kita bersama-sama memajukan dan bermuafakat ataupun bersetia jadi bermaknalah kiranya hal yang disyorkan oleh penulis-penulis kita itu bermuafakat itu berkat dan bersetia itu jaya.
Kesudahannya, dan janganlah kita suka membuangkan titik peluh kita itu ke saku bangsa asing. Dan begitu jua jikalau ada kiranya tersalah ataupun terkhilaf tentang tutur bahasa bangsa kita itu mahulah kita menaruh sabar oleh sebab kaum bangsa kita masih muda lagi. Al-maklumlah, orang yang baru julang-julang naik dan yang baru jua membuka langkahnya di mana jalan kemajuan itu. Oleh sebab itu wahai saudara-saudaraku, bersungguh-sungguhlah kita menyokong bangsa kita itu, mudah-mudahan dengan tolong menolong itulah kelak kita dapat mendaki tangga kemajuan yang telah kita idam-idami selama hari ini.
Setakat inilah saya dapat menghuraikan perkataan saya ini jikalau sekiranya tersalah haraplah saya menuntut maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca, terutama sekali kepada Tuan Penyunting,
top |