Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 May 1935, p.10

General Article.

Udara Peruntungan Kaum Melayu.

Oleh Abdul Rahman Wali.

Nasib Kaum Melayu.

Apakah menjadikan kaum kita Melayu hampir terkambus hidup-hidup di dalam segala hal? Kerana pertamanya kaum kita Melayu pada masa yang akhir ini sangat daif keadaannya iaitu daif di dalam perkara akal dan budi pekerti.

Maka kerana halangan inilah kaum Melayu menjadi beberapa kemelaratan dan kesengsaraan kehidupan.

Sebabnya, maka kaum kita Melayu sudah mendapati daif yang semacam itu bolehlah kita katakan bukannya salah daripada pihak luar sahaja bahkan kesalahan di pihak kita sendiri pun tidak pula kurang bahayanya yang boleh membenamkan kaum kita sendiri pada sedalam-dalamnya benaman. Bahwa selain daripada kaum kita yang bodoh-bodoh itu tidak suka memperhatikan apa-apa teladan yang baik dan yang patutnya ditirunya bahkan kaum kita pihak orang-orang pandai-pandai dan hartawan pun tinggal di dalam tidurannya yang ajak sahaja seolah-olah tiada mempunyai kewajipan atau tanggungan apa-apa buat memajukan kaum bangsanya.

Istimewa pula jika kita perhatikan betul-betul akan politik dunia sekarang bahwa tiap-tiap kaum yang banyak dapat menyimpankan suara-suara mereka itu kepada kaum yang besar-besar dan yang telah maju itulah ada harapan kita pun akan maju. Tetapi jikalau tidak nescaya dengan tidak syak lagi tenggelamlah kita ke had yang sebawah-bawahnya pada martabat manusia yang hidupan kita akan jadi terlebih hina dan melarat lagi bagi masa yang akan datang.

Oleh kerana itu, wajiblah diketahui oleh kaum bangsawan dan hartawan daripada kaum kita Melayu bahwa sesungguhnya tiadalah sesuatu penghidupan yang terlebih hina lagi di muka bumi ini melainkan ialah penghidupan kaum-kaum yang tiada mengeluarkan pertolongan apa-apa kepada kaum dan bangsanya sendiri sebagaimana kehidupan suatu binatang.

Hal-hal yang mana boleh kita dapati bukti yang terang-terangnya di atas pergerakan dan keadaan bangsawan dan hartawan-hartawan Melayu di masa yang akhir ini lantaran yang mana adalah kedudukan kaum bangsawan dan hartawan-hartawan Melayu itu Melayu hari berada di atas keunduran, takabur, sombong, dengki dan hasad kepada kaum-kaum Melayu yang dibawahnya, sehingga ada jua yang pernah jadi sebagai kaum yang tiada memilih umat dengan tidak boleh terlintas apa baiknya kaum yang dibawahnya hendak dibenamkan ke jurang kesengsaraan hidup dan macamlah yang ada bagi kemuslihatan dirinya buat perosakan seseorang itu.

Adakah boleh bersetuju kaum yang dibawahnya dengan mereka itu kerana perbuatan mereka-mereka yang terhadap bagi kaum dan bangsanya ada lebih ganjil, yang manakah kaum yang di bawah hendak menghormatkan dan memuliakan baginya?

Kerana kehormatan dan kemuliaan mereka itu bukan daripada seseorang yang mempunyai insaf dan budi pekerti lebih-lebih lanjut lagi, manakala kekayaan dan kebesaran mereka itu akan terbolos dengan sebab bohong si miskin! Makmlumlah, kurap si miskin ada lebih tebal daripada si hartawan dan si bangsawan, sungguh ada lebih hairan?

Kerana dimanakah mereka-mereka itu menerima kekayaan, kebesaran dan kepangkatan? Jikalau dengan tidak adanya sebab si miskin! Adakah boleh ditubuhkan seurai Raja dan Kerajaan, jikalau tidak mempunyai hamba rakyat? Haraplah menungkan bersama-sama dengan lantaran ini haraplah diperbaikkan perasaan dan kemanusiaan yang sejati untuk kehidupan sama rata.

Kehidupan yang berjasa.

Bahwa termaklum kepada kita adalah kaum yang mempunyai kehidupan yang berjasa kepada kaum dan bangsanya tidak dapat tiada kaum itu akan lekas mencapai kejayaan dan kemuliaan, iaitu sebagaimana kita boleh perhatikan betapakah politiknya bangsa Barat di masa ini walau di mana pun mereka itu hidup dan di dalam negeri siapa dan bangsa apa.

Akan tetapi tiap-tiap mereka itu meletakkan kakinya yang kukuh adalah bererti buat kebaikan kaum dan bangsa dan tanahairnya, hal ini tidak sekali-kali dilupakan oleh kaum dan bangsa-bangsa itu.

Demikian juga pada masa yang akhir ini kita perhatikan perkara atau politik itu sudah mulai ditiru dan difikirkan oleh setengah daripada setengah kaum Timur dan difikirkan oleh setengah daripada setengah kaum Timur yang telah mulai memancar cahaya kemajuan di alam mereka itu, iaitu sebagaimana Jepun dan Cina.

Akan tetapi bila kaum kita Melayu hal itu jangan diharap, bahkan sebaliknya pada setengah-setengahnya jikalau tidak ia ambil bangkai kaum dan bangsanya buat menjadi penyokong kedudukannya tidak dapat tiada difikirnya belum lagi ia terpandang seorang yang mulia atau berpangkat.

Perhatikan dan periksalah, dimanakah kita akan dapati bahwa kaum kita Melayu yang berpangkat dan hartawan itu ada membuat jasa kepada kaum dan bangsanya sendiri?

Sekalipun jikalau kita harungi seluruh tanah Melayu kita ini belum tentu ada tiga peratusnya hingga kebanyakan di mana-mana kita dengar orang-orang besar Melayu inilah juga memadatkan hal politik memboleh kaum dan bangsanya sendiri. Jikalau tidak, rasanya belum diketahui di mata ramai yang ia itu seorang yang berpangkat dan mempunyai pengaruh, tetapi jalannya sangat halus dan merupa menjaga diri konon. Inilah sebabnya maka nasib Melayu menerima pertolongan kaum dan bangsanya, ya! Sebab disangkanya diri mereka itu sudah berpangkat, diberi mereka itu sudah berharta, peduli apa lain-lain orang, inilah iman kebanyakan daripada kaum yang sebenarnya.

Perhatikanlah rencana Tuan Pengarang Majlis yang bijaksana penggal 15 April 1935 pada Bilangan 342, yang bertajukan "Di Manakah Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu", sebagaimana pendapatan orang-orang pintar-pintar dan penganjur pergerakan, buat pendapatan yang berharga dan bermacam-macam pendapatan yang sangat-sangat berguna. Disebabkan itu, kelihatanlah bahwa tiap-tiap perkumpulan atau orang yang bersaudagar menjaga kemuslihatan bersama dan berhaluan kebenaran dan mempunyai tujuan yang lebih lanjut, tidak dapat tiada perkumpulan atau orang itu membantingkan tenaga dan wang ringgitnya supaya sampai kepada yang dicita dan bagaimana pula supaya hidup terpelihara dari bencana!

Bak kemauan rencanan Tuan Anak Negeri Pahang Jati, menurunkan rencananya yang bertajukan "Pergerakan Keselamatan Hidup Bersama" keluaran pada 24 April 1935, Bilangan 342.

Pihak saya sebagai menyertai dengan kemauan dan tujuan di antara kedua buah butir yang tersunting adanya.

Lantaran yang mana sama-sama kita menanti akan peraliran masa yang berkebajikan dan peruntungan nasib kaum-kaum Melayu kepada kesempurnaan hidup yang berbahagia dengan membawa segala duit-duit yang baik dan berjasa untuk kaum bangsanya dan tanahairnya; permenungkanlah! Wa-salam.