Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Nov 1935, p.6

Editorial.

Orang Melayu Sayangkan Bahasa dan Tulisannya.

Sebagaimana bangsa-bangsa asing demikian jua bangsa Melayu sayangkan bahasa dan tulisannya. Akan tetapi sayang dan sayang di atas yang demikian itu, ada dua jenisnya bagi bangsa kita Melayu. Betapa tidak, kerana kesayangan orang-orang kita kepada bahasa dan tulisannya itu tidak seperti bangsa-bangsa asing sayangkan bahasa dan tulisannya pula.

Bangsa-bangsa asing sayangkan tulisannya, maka tidak sunyi mereka itu mengkayakan dan memperbaiki atau memperluaskannya. Sehingga sampai hari ini bangsa-bangsa yang telah memiliki kunci kemajuan itu masih tidak terhenti mereka itu daripada berikhtiar dan berusaha menambah, memperelok dan menyusun serta menetapkan susunan dan sajak-sajak perkataan di dalam bahasanya yang telah luas dan kaya raya itu.

Orang-orang Eropah misalnya, seperti bangsa Inggeris dan bangsa Belanda, sampai hari ini masih mengatur-atur dan memperelok serta mempermudah ejaan dan susunan-susunan di dalam bahasanya untuk menjadikan dia sebaik-baik dan seketat-ketat bahasa yang bersetuju dengan keperluan pergunaan dan pelajaran atau pengetahuannya.

Orang Siam, siapa yang boleh diibaratkan tengah sibuknya berlari-lari mengejar kemajuannya dan mengkayakan bahasa dan tulisannya jua. Di dalam tulisan Siam itu, boleh dipastikan tidak ada satu huruf atau angka-angka apa-apa juga yang berkehendak lagi bagi mereka itu meminjamnya daripada tulisan-tulisan asing. Bukan itu sahaja, akan tetapi di dalam susunan patah-patah perkataan tiadakan lagi terdapatlah bahasa asing, hinggakan segala perkataan di dalam politik, ekonomi, pergaulan masyarakat, ugama, pertukangan dan lain-lain kesemuanya telah atau akan diatur dan diadakan oleh mereka itu di dalam bahasanya.

Orang Turki yang sayangkan bahasanya juga telah memilih salah suatu tulisan yang bersetuju dengan lafaz atau sebutan patah-patah perkataannya, sebagaimana yang telah dimaklumi bahwa mereka itu telah meninggalkan tulisan Arab kepada tulisan Rumi yang dirasainya bersetuju dan munasabah bagi tempat menyimpan dan memeliharakan lafaz bahasanya itu dengan ditambah dan diperbaiki lagi oleh mereka itu sebanyak mana yang terhajat dan mustahak kepadanya.

Akan tetapi orang-orang kita Melayu, tidak demikian makna yang diterbitkan daripada perasaan sayangkan bahasa dan tulisannya itu. Tampaknya kita ini setiap minit pernah berkata sayangkan bahasa dan tulisan Melayu atau Jawi, akan tetapi kehasilan daripada akuannya itu belum pernah kita melihat telah menumbuhkan perusahaannya.

Kita tidak berkata bahwa bangsa Melayu itu supaya meninggalkan pula tulisannya yang diambil daripada tulisan Arab itu seperti orang Turki jua, kerana yang sebenarnya lafaz atau sebutan bahasa Melayu ini telah bersetuju dan munasabah benar dengan huruf-huruf Arab itu. Akan tetapi yang demikian itu bukanlah pula tidak ada kekurangannya, walaupun tidak banyak bahkan tidak kurang mustahaknya.

Orang-orang tua Melayu dahulu telah berusaha menambahkan beberapa huruf ke dalam huruf Arab itu, mana-mana yang berhajat mereka itu kepadanya seperti huruf-huruf Jim, Ga, Nga, Nya, dan Pa misalnya.

Yang demikian tiada syak lagi jua iaitulah suatu tanda yang terang dan berbukti yang mereka itu sebetulnyalah sayangkan bahasa dan tulisannya.

Akan tetapi kita sekarang apakah yang kita telah perbuat untuk bukti pula bahwa kita ialah dengan sebetulnya sayangkan bahasa dan tulisannya jadi kita ini?

Tidak payah kita selidiki dengan sehalus-halusnya bahkan dengan sekali lintas sahaja kita boleh dapati sekarang ini telah banyak pula kekurangan kita di dalam tulisan Jawi itu, banyaklah kekurangan yang sangat-sangat berhajat kita di dalam masa pergaulan umat kita sekarang ini, misalnya huruf-huruf yang ada di dalam tulisan Rumi itu dengan sebutannya: a, c, o, q, v, x, dan yang lain-lain sebagainya. Sungguh pun sangat-sangat mustahak bagi ditambahkan kepada tulisan Jawi itu, jika sebenarnya kita sayangkan dia untuk berkekalan dipakai dan digunakan di dalam segala apa jua kefardhuan dan pengetahuan pada senantiasa masa sekarang atau yang akan datang.

Maka kesemuanya itu siapakah sudah yang telah tampil ke hadapan bagi mengatur, menyusun dan memperbaiki atau memperluaskannya? Sehingga memenuhi yang dikehendaki oleh hajat kita masa ini, teristimewa pada zaman yang dikatakan kemajuan sekarang, mustahaklah tiap-tiap bahasa atau sebutan-sebutan di dalam bahasa asing itu dapat dituliskan ke dalam tulisan Jawi kita dengan tidak berubah sebutan dan huruf-hurufnya.

Ini belum kita memandang kepada keluasan bahasa lagi. Memadailah kita mengambil insaf bahawa di dalam Bahasa Melayu kita ini belum dapat lagi kita menyebut dengan sepenuh-penuhnya sekadar barang-barang yang melekat ditubuh badan kita! Tak usahkan pula hendak dikatakan nama-nama barang di dalam rumahtangga, nama-nama perkakas dapur dan nama-nama perkakas pekerjaan misalnya, istimewa pula jika dikehendaki kepada nama-nama pegawai-pegawai di dalam sesuatu kelab atau persekutuan, pegawai-pegawai pemerintahan, pelayaran, ketenteraan, pengadilan, pengeluaran, dan lain-lain seumpamanya seperti tanda-tanda pelekat-pelekat dan alamat-alamat pemberi tahuan dan dan dan ...

Kesemuanya itu tidakkan ia berubah atau bertambah dengan sebab disebut-sebut bahwa kita sayangkan bahasa dan tulisan Melayu, atau tulisan dan Bahasa Melayu itu hendaklah dijadikan rasmi, mustahak, terpakai, dan terdahulu daripada segala apa-apa jua bahasa dan tulisan di dalam negeri-negeri Melayu, akan tetapi ... ikhtiar dan usaha oleh pembesar-pembesar Melayu, Raja-Raja dan ahli-ahli pengetahuannya dengan memperbanyakkan belanja wang dan tenaga otak serta fikiran, sebagaimana bangsa-bangsa asing itu mendapati kemajuan dan keluasan bahasa dan tulisannya dengan perbelanjaan kerajaan atau Raja-Raja dan orang-orang hartawannya, kerana tiap-tiap perubahan itu mesti dengan memberikan korban, inikan pula perubahan kepada kemajuan yang sangat-sangat tinggi nilaian harganya.

Masa berkata-kata dan menyeru-nyeru di dalam perkara ini sungguh pun telah lama berhentinya, bahkan sekarang yang sepatutnya masa mengeluarkan belanja dan tenaga bagi mengerjakannya! Iaitulah bukti jika perkataan-perkataan sayangkan bahasa dan tulisan bangsa itu dengan sebenar-benarnya.