Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 26 Oct 1935, p.6

Editorial.

Askar Melayu. Sekerat-sekerat Dalil atas Kebolehan Bangsa Melayu.

Perlawatan Askar Melayu ke pulau kita baru-baru ini amat menarik pemerhatian kegemaran penduduk-penduduk di sini. Bahkan tiada sunyi kita mendengar daripada segenap ceruk berbagai-bagai pujian yang diucapkan oleh mereka-mereka yang telah menyaksikan pertunjukan permainan pancaragam dan barisan askar Melayu yang telah diadakan di beberapa tempat di dalam bandar ini di dalam masa perlawatan mereka itu.

Sesungguhnya kita percaya bahwa puji-pujian itu sekali-kali bukan bersifat kosong atau melebih-lebih, bahkan memang sebenarnya kerana keadaan kecergasan di dalam gerak geri tiap-tiap seorang daripada askar-askar itu tiada syak lagi berkeadaan membangkitkan kegirangan siapa-siapa pun yang melihatnya.

Lebih-lebih lagi tentang kemahiran ahli-ahli pancaragam itu sangat layak menerima puji-pujian yang diucapkan oleh orang-orang di serata bandar ini. Padahalnya mereka itu kesemuanya hanya baru dilatih berpancaragam itu selama lebih kurang tujuh bulan sahaja.

Di dalam masa yang sebegitu singkat sekian adanya kebolehan yang dapat dirupakan oleh mereka itu apatah lagi kemudian daripada beberapa tahun kelak. Apa tidakkah ini semua boleh dijadikan sekuat-kuat dalil pada menyaksikan bahwa bangsa kita Melayu ini ialah suatu bangsa yang mempunyai kebolehan semula jadi yang mencukup boleh dengannya melayakkan mereka itu bertanding dengan kebanyakan daripada bangsa-bangsa lain di muka bumi ini di dalam barang sebagai perusahaan asal sahaja ada bagi mereka itu ajaran dan latihan yang sesungguh dan ikhlas.

Sebagai lagi keadaan Askar Melayu itu bagaimana yang telah kita saksikan itu menunjukkan dengan seterang-terangnya bahwa yang kekurangan pada sisi yang kita Melayu ini bukannya kebolehan dan kemahuannya pada melakukan sesuatu perkara yang besar-besar bagi kemuslihatannya tetapi yang sangat-sangat kurang padanya ialah penganjur-penganjur yang ikhlas dan yang bersungguh-sungguh mahu melatih dan memimpinnya di dalam sebarang perusahaan.

Dengan lain perkataan, artinya bahwa kelayuan hemah Melayu itu bukannya kerana sifat semula jadi Melayu itu malas tetapi yang sebenarnya ialah kerana tiada di dalam antara mereka itu orang-orang yang mahu melayakkan diri mereka itu menjadi penganjur-penganjur dengan sebenar-benar pengertian yang dikehendaki dengan makna perkataan itu.

Ya, memang banyak adanya bilangan mereka itu yang bergelar penganjur tetapi terhenti pengertian perkataan itu kepada gelarannya sahaja.

Lagi satu dalil yang dideringkan oleh keadaan Askar Melayu bagaimana yang kita telah lihat itu ialah pada menyaksikan bahwa Melayu ini ialah sangat-sangat bangsa di muka bumi ini kerana natijah latihan di dalam masa yang begitu sedikit, mustahil boleh dapat diterbitkan dengan rupa yang sebegitu permai jika mereka-mereka yang dilatih itu tidak bersifat taat dengan mencukupnya.

Bagi pihak kaum Melayu khasnya, dan Islam amnya, kita ucapkan setinggi-tinggi kepujian kepada sekalian saudara-saudara kita harap Askar Melayu yang semasa ini berjumlah sebanyak 363 orang itu dan berdoa kita moga-moga dikekal Tuhan mereka itu kesemuanya di dalam jawatan mereka yang berbahagia itu dengan kemajuan selama-lamanya atas kejayaan Askar Melayu itu terhutang budi kaum kita kepada Tuan-Tuan yang mengelolakan latihan atas mereka itu peraturan kepada Tuan Major Bruce itu dan Drum-Major Tuan Pearce.