![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 19 Sep 1932, p.7
General Article.
Bolehkah Tak Lemah Perniagaan Melayu?
Jika dipandang dengan halus akan kejatuhan perniagaan-perniagaan kaum Melayu, nampaklah sebab-sebabnya. Yang terutama sekali ialah yang umat Melayu belum ada perasaan kasihkan bangsa dan syarikat yang mempunyai amanah.
Kerana banyak sudah nampak akan kaum-kaum Melayu yang ada perasaan berniaga sedikit-sedikit untuk mengemudikan nafkahnya sendiri, tetapi tak lama hilang langsung perniagaan mereka.
Kerana kaum-kaumnya sangat-sangat hasad atau dengki. Jika yang berniaga itu kelak senang lenang dengan kaum keluarganya. Dengan sebab itu, dicarinya jalan supaya hilang langsung perniagaan mereka. Sebab kelazatan kasih sayang kepada kebangsaan itu belum termeterai di kalbu umat-umat Melayu kita.
Kerana benih perasaan yang membangkitkan gembira hasad dengki itu telah berumbi dan berakar di seluruh anggota umat Melayu hingga gelaplah cahaya kebenaran dan kasih sayang kepada bangsanya itu menerusi hatinya. Bagaimana tidaknya? Seruan segala ahli-ahli pendita yang ariffin menerusi dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan di seluruh Semenanjung ini tiadalah lain hanyalah membantu kaumnya yang bebal dan menjaga kota kaumnya yang lazat lena diselimuti oleh bahaya musuh.
Tetapi seruan kebenaran ini sedikit pun tiada tergesel atau tergoncang di perasaan angan-angan mereka kerana pintu kebenaran atau saluran darah yang membangkitkan panji-panji kebangsaan itu telah tersumbat diselaputi oleh tamadun yang berketurunan dari zaman pemerintahan Raja-Raja yang purbakala yang mempunyai pemerintahan hasad dengki yang mengorbankan jiwa-jiwa kaumnya.
Jadi benih itulah yang merebak di mana-mana hati umat Melayu kita hingga tak dapatlah cahaya kebenaran kasih sayang dan syarikat amanah itu berunding dengan kaumnya sebentar pun.
Dengan sebab itulah membawa lemah tiap-tiap satu mesyuarat atau rundingan yang mencita-cita perjalanan kemajuan kaum-kaum Melayu kita.
Sungguh pun perasaan kebenaran yang telah tertanam di hati kaum-kaum Melayu di zaman ini, tetapi sangat-sangat susah mengemudikan kumpulan yang menyatukan perasaan itu ke dalam hati kaum-kaum Melayu yang lemah semangat itu.
Kerana peperangan perasaan hartawan sedang memaharajalela melawan perasaan kaum-kaum yang ariffin; dengan jalan inilah menambahi lemah lagi perasaan kaum-kaum Melayu yang miskin hendak menerusi dan menimbangkan perjalanan setia kasih sayang yang mempunyai amanah. Ialah kekuatan ariffin itu bolehlah ia menunjukki haluan yang membawa kemuslihatan am umpama saluran elektrik yang merentangi di seluruh simpang-simpang dan rumah-rumah.
Tetapi jika hartawan yakni api itu tiada menerusi saluran itu, bolehkah menerbitkan cahaya yang bersinar di seluruh simpang-simpang dan rumah-rumah?
Tak dapat tidak gelak jualah kaum-kaum Melayu meraba perjalanannya masing-masing ke rumahnya.
Hai kaumku yang hartawan dan ariffin, menungkanlah perasaan kaum-kaum kita yang lemah yang tiada berupaya hendak melonggar seruan yang tersaji di hidangan Majlis segala akhbar-akhbar yang berseru di alam Melayu ini.
Istimewa pula, hai kaum-kaum yang lemah, cabutlah perasaan hasad dengki yang telah mengikat leher dan kaki kaumku itu dan terimalah kebenaran akal yang diseru oleh pendita-pendita kita. Dan rapatilah diri kaumku di mana ada akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang menunjukki kebenaran. Janganlah leka mencari jalan ke bukit ke gunung-gunung melarikan diri daripada seruan kebenaran yang membawa panji-panji kebangsaan kita. Berkhidmatlah kaumku kepada bangsa sendiri. Dan bantulah segala perniagaan, pekerjaan dan perbuatan kaum sendiri.
Mudah-mudahan dengan jalan inilah hartawan membarui perasaannya menolong kaumnya yang lemah sedang berura-ura melalui bahaya yang melintang kemajuan ini. Wassalam.
Pengarang: Penyakit hasad dengki yang bercabul di antara orang-orang Melayu itu datangnya dari salah teraju sendiri. Orang-orang yang ditegur atas satu-satu perangai yang tidak disukai orang itu merasa terhina jika ia mengubah perangainya. Oleh itu, ia merasa megah jika ditambahnya perangai yang ditegur itu agak 30 percent lagi sambil berkata di dalam hatinya, nah! Aku bakar akan dia. Cakap Pulau Pinang: aku bakaq dia! Begitulah pula perniagaan atau kemajuan seseorang ghalibnya dihasad oleh taulannya semata-mata oleh kerana orang-orang Melayu yang berada satu percent itu selalu menggayakan keadaannya umpama seratus percent. Bagaimana juga hendaklah kita bekerja menghapuskan sebab-sebab yang celaka ini.
top |