Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 19 Apr 1930, p.5

Surat Kiriman.

Surat Kiriman di antara Tuan Baba Muhammad Hashim dengan Ikhwanul-Muslimin.

Tuan Pengarang "Saudara" yang mulia,

Dengan susah hati saya membaca suratkhabar "Edaran Zaman" yang keluaran beberapa minggu ini berturut-turut fasal perselisihan di antara Tuan Baba Muhammad Hashim dengan Persekutuan Ikhwanul-Muslimin, hingga berjangkit pula dengan nama Tuan Syed Sheikh al-Hadi.

Maka fikiran saya perkara perselisihan darihal satu bab daripada undang-undang persekutuan yang besar ((ikhwanul-muslimin)) itu tidaklah patut rasanya dijadikan pergaduhan di halaman surat-surat khabar yang am.

Tidakkah elok dibahaskan sesama sendiri dengan sifat kasihkan kaum dan bangsa Melayu sendiri terlebih dahulu?

Dan jikalau tidak memberi bekas rundingan yang demikian itu, bukankah boleh kita ataupun Tuan Baba Muhammad Hashim sendiri membawa pengaduannya am kepada Mahkamah Keadilan negeri di atas ahli-ahli jawatankuasa yang telah mentadbirkan dengan undang-undang hawa nafsunya sendiri itu?

Nah! Itulah dia keputusannya!

Kerana fikiran saya tentulah sekali persekutuan Ikhwanul-Muslimin yang ada ini tidak boleh membayar wang khairat allahyarham Muhammad Syarif itu. Sebabnya maka jikalau dibayarnya kelak, menurut permintaan Tuan Baba dengan sifat menurut undang-undang, akhirnya apakah jadinya pula kepada beberapa banyak ahli-ahlinya yang telah bertahun wang-wang khairatnya seumpama al-marhum Tuan Muhammad Syarif itu?

Maka tentang di sinilah saya boleh kata persekutuan itu akan tertutup sama sekali. Tak dapat tiada sekalian member-member yang lain beroleh kerugian. Demikian juga saya. Dan persekutuan kita pun dengan nama yang tiada baik.

Tetapi jika Tuan Baba fikirkan ada hal waris-waris Tuan al-Marhum Muhammad Syarif mesti dapat wang khairatnya itu menurut undang-undang Ikhwanul-Muslimin, maka yang boleh memaksa Ikhwanul-Muslimin membayarnya hanyalah hukum Mahkamah Keadilan negeri sahaja.

Adapun cerita fakir di dalam suratkhabar itu tidak boleh memaksa Ikhwanul-Muslimin membayarnya jikalau bagaimana sekalipun. Maka saya tidak dapat menyatakan siapa salah dan benarnya dengan memekik di dalam surat-surat khabar sahaja.

Tetapi yang saya berkata-kata itu cumalah habuan Tuan memuaskan hati dan menolong kepada lain-lain member yang berfikiran timbang rasa di atas kehendak undang-undang persekutuan itu.

Saya rentikan dengan banyak terima kasih akan Tuan Baba Muhammad Hashim dan Tuan Pengarang Saudara juga kerana khabarnya.

Yang Berharapkan Selamat,

Member Juga.