Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 5 Apr 1930, p.1

Leader Article.

Surat Terbuka.

Pengenalan kepada umum pembaca "Saudara" al-Mutahirim. Daripada Abdul Rahim Kajai.

Saya berasa wajib memperkenalkan diri di hadapan Tuan-Tuan Pembaca yang mulia terlebih dahulu dari saya menduduki kerusi mengadap meja Pengarang "Saudara" ini, sebagaimana yang tersiar di halaman yang ke76 yang baru lalu itu.

Meski saya telah melalui perjalanan hidup yang tak kurang dari separuh umur itu tetapi saya mengaku dengan ikhlasnya bahwa perdirian atau kedudukan saya di dalam golongan pengarang-pengarang atau "journalism" itu hanyalah umpama anak yang masih di dalam buaian yang sangat-sangat berkehendak kepada ayunan ibu-ibu serta asuhan bapanya dan saudaranya yang tertua.

Sesungguhnya semata-mata mengharapkan belas kasihan mereka itulah yang telah menyanggupkan dia di situ, yakni bukanlah sekali-kali bermakna kepada wujudnya kelayakan yang mustahak ataupun kerana telah sedia berasa bekalan terlebih dahulu dari melangkahkan kaki di dalam pengajaran yang akan melalui padang belantara yang berpasirkan adab yang bertumbuh di atasnya rumput-rumput pengetahuan itu.

Lebih jauh biarlah saya terangkan terus bahwa murid tua daripada Sekolah Melayu Setapak Kuala Lumpur secara pelajaran tahun 1904 iaitu semasa Cikgu Muhammad bin Muhammad Amin ((pada masa ini telah bersara dengan menerima bintang ISM)) itulah sahaja bahtera yang akan saya layarkan mengharungkan lautan "journalism" yang senantiasa mempunyai gelombang dari tiupan angin Utara itu.

Di hadapan Tuan-Tuan Pembaca sekalipun, saya akan mengembangkan layar pinjaman dan akan mengayuhkan dayung sambutan yang tak diharap akan sampai ke gunung kejayaan itu.

Sampai ke manakah pelayarannya dan setakat manakah umurnya yang setahun jagung itu, iaitulah yang akan kita serahkan kepada masa, tetapi saya berharap mudah-mudahan yang demikian itu masih suatu dugaan atau percubaan yang barangkali berguna juga pada masa yang akan datang sebagai suatu bandingan dan pemandangan bagi anak-anak bangsa kita yang akan menghidupkan ruh percubaan dengan modal yang sedikit seumpamanya di belakang hari.

Sesungguhpun suku dari umur saya telah lenyap di dalam negeri Mekah di mana saya telah bermastautin menjalankan pekerjaan ayahanda saya di bawah ayunan Sheikh Abdul Rahim Kajai, pada masa ini masih berjalan di sana, tetapi sekadar lama di Mekah sahaja bukanlah suatu certificate, malah kita sama-sama tahu bahwa lama di Mekah atau di Mesir itu sama sahaja dengan serban besar dan tasbih panjang atau tarbus tinggi yang tak harus dipangkatkan atau dimegahkan pada zaman ini, iaitu zaman yang telah memancar di dalamnya nur yang terang dari matahari al-hak itu.

Begitulah suatu pengenalan diri yang saya berasa wajib membilang terus terang supaya mudah ditempatkan di manakah kedudukan saya di dalam golongan pengarang atau "journalism" itu, supaya akan menjadi peringatan bagi Tuan-Tuan Pembaca seumumnya meski yang demikian itu akan memahitkan lidah saya sekalipun.

Penutup bicara, berjanjilah saya dihadapan Tuan-Tuan Pembaca al-Mutharimin akan menunaikan barang yang di tanggungkan di atas seorang Pengarang sekalipun akan bertembung dengan sehabis-habis daya dan tenaga saya di dalam hal yang berhubung dengan tiap-tiap pergerakan dan perubahan yang difikirkan akan mendatangkan faedah bagi kaum, watan dan agama kita, iaitulah haluan yang telah diperanakkan dia dan yang telah berjalan di atas "Saudara" selama ini.

Di sinilah saya berserah diri kepada Allah alaihi tawakal wa-ilahi an-Nabi [and I place my Faith in the Almighty and the Prophet], dan di sinilah juga saya susunkan jari yang sepuluh di hadapan Tuan-Tuan Pembaca pada hal saya meminta maaf di atas sebarang kekhilafan saya sesudahnyalah saya menadahkan dua telapak tangan saya mengharapkan tegur dan sapa Tuan-Tuan Pembaca, yang mana saya mengaku akan rejuh kepada kebenaran dengan tidak mengecualikan penegurnya, mudah-mudahan dapatlah kiranya kita membaikkan haluan kita beransur-ansur dari yang baik kepada yang terlebih baiknya di dalam perlumbaan hidup yang diputar oleh zaman yang dikatakan tamadun atau kemajuan itu.

Penyudah kata, mulailah saya berkhidmat dengan barang yang saya janjikan dan yang demikian itu terimalah tulisan yang berikut yang berhubung dalam pemandangan di atas keunduran Melayu.