Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 Apr 1931, p.1-2

Leader Front Page Article

Ingatlah Orang Melayu Inilah Masanya Jika Tidak Bangsa kita akan Tenggelam.

Oleh Melayu Jati Semenanjung.

Seseorang Melayu yang memerhatikan pergerakan bangsa-bangsa asing ((Cina dan Indian)) di Tanah Melayu sekarang ini tidak terlindung daripadanya bahwa suatu bahaya yang amat besar sedang merenung dan menggugat akan keselamatan anak-anak Melayu, selain daripada bunyi yang bergemuruh ditangannya daripada wakil-wakil orang-orang Cina yang berkehendakan lebih hak dan lebih timbangan seperti yang telah biasa kita dengar sekarang ini, wakil-wakil dan ketua-ketua orang Indian pun tidak diam mengemukakan suaranya dengan suara-suara orang Cina itu.

Tampkanya jikalau tidak betul-betul orang-orang Melayu terutama Raja-Raja dan orang-orang besar Melayu di negeri-negeri Melayu menjagakan hak-hak anak-anak bangsanya iaitu dengan bermuafakat dan menerangkan maksudnya kepada pegawai-pegawai Inggeris yang selalu sangat menimbang di atas hal keselamatan bangsa Melayu, maka haruslah segala kubu-kubu yang menahankan hak-hak anak-anak Melayu itu akan roboh oleh rempuhan air bah yang besar daripada bangsa-bangsa asing seperti air bah di Pahang atau di Kuala Kangsar yang belum lupa sekalian kita akan kedahsyatannya dahulu.

Pada hari Ahad, 5 haribulan April ini, sekalian wakil-wakil daripada bangsa India dari segenap bahagian Tanah Melayu telah mengadakan perhimpunannya di Teluk Anson dan dalam Mesyuarat mereka itu, Dr. N. K. Menon ((dari Pulau Pinang)), Presiden Persekutuan Indian Tanah Melayu telah bercakap panjang atas berbagai-bagai hal yang bunyinya tidak menyenangkan hati kerajaan dan anak-anak putera bumi Tanah Melayu.

Oleh sebab kemelesetan harga bijih dan getah dan oleh sebab kejatuhan harga perniagaan dalam negeri ini, ia sangat dukacita memikirkan hal beberapa banyak orang-orang negerinya ((Indian)) yang telah terpaksa balik meninggalkan Tanah Melayu.

Katanya, "Dalam tawarikh kedudukan kita di sini, belum pernah jadi keadaan seperti yang ada sekarang yang menunjukkan tiada kekal kedudukan kita dalam negeri ini. Langit harapan masih gelap dengan oleh yang tiada sedikit pun mengandungi cahaya kecerahan di antaranya. Kaki langit kehidupan kita di sini masih membawa perasaan-perasaan kedukaan dan letih lesu. Inilah masanya kita mesti mengira-ngira hal keadaan dan kedudukan kita di sini dan mencari jalan dan ikhtiar buat mendirikan asas sekurang-kurangnya untuk masa yang akan datang.

Kita ada di sini ialah dengan hak kita dan bukannya semata-mata oleh mendapat kebenaran diam di sini, beberapa ratus tahun sudah Tanah Melayu ini tidak lain melainkan ialah seperti sebahagian India Besar [Greater India]. Semenjak zaman East India Company, kedatangan kita buat diam di sini telah bertambah dan berubah dan dalam beberapa tahun yang lalu kita telah dijemput dan disambut dengan bilangan yang bertambah-tambah ramai menjadi pemotong dan penebang kayu, serta pengangkut dan pengangkat air. Kita telah datang ke sini bukannya sahaja mencari perniagaan seperti yang biasa dalam beberapa kurun yang lalu. Tetapi kita sekarang telah datang buat menerangkan hutan rimba yang liar, membuka dan menjadikan tanah, membuat jalan raya dan jalan keretapi dan menjadikan negeri ini sihat, kaya dan makmur".

Kemudian ia telah menyeru supaya sekalian orang-orang Indian bersekutu dan bermuafakat dengan kuat supaya meminta-minta lebih-lebih lagi banyak hak supaya dapat mereka lagi menyambut dan membawa ke mari beberapa banyak orang dari India supaya diam di sini, membuka tanah dan kekal menjadi sebahagian daripada kaum penduduk di Tanah Melayu.

Dan bukannya katanya boleh ditolak dan ditarik ke atas ke bawah di antara Pulau Pinang dan Madras mengikut pasang surut kemakmuran dan kemelesetan perniagaan dalam negeri ini.

Mister Louis Thivy, seorang Member State Council Negeri Perak ((bangsa Indian)) telah bercakap jua mencacat peraturan dan tujuan kerajaan Tanah Melayu. Ia sangat-sangat dukacita akan peraturan menghantar balik kuli-kuli Keling ke India kerana katanya tiada wajib dan membuang-buang wang dan kuli sahaja. Katanya tiap-tiap orang yang dihantar balik itu diberi $10 dengan pakaian dan belanja tambangnya pula sebanyak $40. Telah dikatakan dengan jawatan yang 77,700 kuli Keling telah dihantar balik dalam tahun yang lalu, ia memberi enam sebab-sebab yang menunjukkan peraturan itu salah:

1. Tanah Melayu telah hilang kuli-kuli yang patut disimpannya.

2. Apabila naik sedikit harga getah, gaji pun akan naik tiada berharga.

3. Wang yang sebanyak $1,800,000 yang telah dibelanjakan buat menghantar balik 77.7000 orang kuli itu akan berganda apabila hendak membawa balik kuli-kuli itu datang ke mari dan akan menjadi jumlahnya $3,600,000 dan hampir-hampir samanya wang itu akan menguntungkan company kapal ((B.I. Company)) dan kereta-kereta api dalam India.

4. Beberapa ribu ekar tanah sawah ((bendang)) yang sekarang ini tiada dibuka boleh jangkanya dibuka dan ditanam padi.

5. Padi yang jangkanya boleh keluar sebanyak enam milyun gantang berharga $1,500,000 patut boleh menyelamatkan perusahaan dalam negeri ini.

6. Tanah-tanah sawah dan kampung-kampung yang seperti itu patut boleh menjadi tempat mendapat kuli apabila tiba musim tiada bertanam padi.

Dalam Mesyuarat itu lebih kurang 20 perkara telah dibahaskan yang dimulai dengan mengucapkan ketaatan kepada Yang Maha Mulia Baginda King dan kepada Raja-Raja Melayu. Mesyuarat itu jua telah mengucapkan perasaan kedukaan di atas kematian Pandit Motilal Nehru dan Muhammad Ali ((Ketua Kaum Pemerintah India -- Pengarang)). Di antara lain-lain perkara yang dipersetujukan ialah:

1. Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibesarkan ((diluaskan)).

2. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat itu patut dengan pilihan dan patut ada seorang wakil yang khas bagi pihak kuli-kuli Keling.

3. Sekolah-Sekolah Keling ((Indian)) patut ditambah bilangannya dan sekolah-sekolah siapa-siapa bagi anak-anak mereka itu buat belajar Inggeris patut ditambah jua.

4. Undang-Undang yang membenarkan buang negeri dengan tiada bicara patut dibuang ((dibatalkan)).

5. Civil Service ((Malayan Civil Service)) patut dibuka kepada orang-orang yang bukan anak Eropah.

6. Persekutuan itu patut mengadakan bantuan atau pertolongan di atas orang-orang mereka yang tiada bekerja buat menambah dan memajukan kedudukan orang-orang Indian dalam negeri ini.

Sekianlah yang telah berlaku dan yang telah dipersetujukan oleh mereka itu yang patut diperhatikan dan ..... yang patut membangunkan perasaan berangsang dan ingin di hati-hati anak-anak Melayu Tanah Melayu sekalian ... supaya sekurang-kurangnya patut mengadakan pula suatu persekutuan atau perhimpunan anak-anak Melayu bagi semua Tanah Melayu supaya dapat pula didengar oleh kerajaan bagaimana fikiran dan maksud anak-anak Melayu yang mempunyai tanahair ini di atas perkara-perkara yang seperti itu.

Sungguhpun kita tidak berapa gentar kepada orang-orang Cina ((kerana yang biasanya orang-orang Keling itu lebih mulut daripada perbuatan dan lebih ludah dan sembur daripada penumbuk)) tetapi kita tidak boleh lupa bagaimana pengaruhnya Mister Ghandi dan pengikut-pengikutnya di India yang membolehkan orang-orangnya menjalar tidur pada masa kereta-keretapi atau motokar hendak lalu.

Selain daripada itu, segala orang-orang Melayu yang dapat mengeluarkan fikirannya kepada pegawai-pegawai pemerintah Inggeris dalam negeri ini patutlah beringat bahwa jika sedikit sahaja salah atau silap langkat atau peraturan yang dijalankannya sekarang ini maka anak-anak dan bangsa Melayu akan boleh jadi tersembur jatuh dan tiada dapat diselamatkan lagi.

Perkara-perkara yang sangat kuat patut dijaga ialah tentang membenarkan bangsa-bangsa asing membuka kampung halaman dan sawah padi di negeri ini.

Jika dibenarkan tentu sekali mereka itu akan kekal berkediaman turun-menurun sampai anak cucu cicitnya dan apabila demikian adanya kita kelak tidak hairan jika ahli-ahli tawarikh yang di belakang akan menuliskan peri kehilangan dan kekalahan bangsa Melayu di tanah Semenanjung yang telah ditinggalkan jadi pesaka kepada kita oleh datuk-nenek kita.

Peraturan "Malay Reservation" itu wajib dikuatkan lagi bukannya sahaja untuk masa sekarang tetapi jua untuk masa beratus-ratus tahun yang akan datang.

Negeri dan Sememanjung ini negeri Melayu dan kebenaran ini mesti dihentakkan dengan sekuat-kuatnya ke dalam hati sekalian anak-anak bangsa Cina dan Indian bukannya sahaja dengan perkataan dan suara-suara yang kosong tetapi ialah dengan perbuatan, keramaian dan kekuatan. Darah Melayu di Semenanjung ini dari beberapa zaman telah didapati daripada kaum Melayu ((Indonesian)) yang berpuluh-puluh milyun ramainya di pulau-pulau.

Dan jika orang-orang Melayu dan kerajaan di sini hendak meramaikan rakyatnya Melayu di tanah Semenanjung ini, wajiblah kerajaan mencari muslihat buat bersatu atas perkara pergerakan atau tujuan dengan kerajaan Belanda supaya dapat ditambah dan dimajukan bilangan orang-orang dari Indonesia datang berkampung halaman dan berumahtangga di dalam negeri yang cantik ini.

Yang Amat Berhormat Mister Henderson, Menteri Bagi Perkara-Perkara Luar England sekarang ini seorang yang telah bilang dan masyhur tentang kebijakannya mencari muafakat dan persetujuan dengan bangsa-bangsa asing. Jika sekiranya orang-orang yang lain yang dibawa tiada dapat mencari persetujuan dan pakatan yang boleh dengan kerajaan Belanda tentang perkara-perkara muslihat dan keselamatan perintahan kedua-dua kerajaan Eropah di sebelah Timur ini, pada fikiran kita tentu sekalian pekerjaan itu suatu perkara yang kecil dan senang kepada Tuan yang tersebut itu.

Kita percaya bahwa sungguhpun Semenanjung ini sekeping tanah yang kecil tetapi tentu sekali tidak kurang dikasihi oleh Kerajaan British daripada bahagian-bahagiannya yang lain di dalam British Empire yang luas.

Tanah Melayu inilah yang akan jadi suatu tali perhubungan yang kuat di antara England, India dan Australia, dan sekiranya kerajaan hendak menjauhkan daripada bahaya angan-angan orang Cina ((yang akan menjadi terlalu besar pengaruhnya apabila negerinya kuat dan bersatu)), maka sebaik-baiklah dari masa ini Semenanjung ini dijadikan tempat Melayu dan dikurangkan bangsa-bangsa Kuning atau Hitam itu daripada dapat berkedudukan berakar umbi dalam negeri ini.

Niat anak-anak Melayu tidak lain lagi melainkan ialah hendak tinggal dengan aman dan sentosa di bawah kerajaan Inggeris yang adil dengan tidak dikacau-kacau oleh orang-orang yang berpengaruh politik dari negeri Cina atau lain.

Kita percaya bahwa kerajaan Inggeris yang telah menaklukkan seluas-luas tanah dalam dunia ini tentulah lebih-lebih mengerti dan lebih jauh pemandangannya daripada anak-anak Melayu yang baru setengah kurun merasai lazat perjalanan dan pengetahuan daripadanya.

Tetapi perasaan yang telah dikeluarkan itu cukuplah rasanya buat pedoman menunjukkan bagaimana bimbangnya hati anak-anak Melayu apabila mendengarkan berbagai-bagai teriak jeritan yang menunjukkan tiada puas hati di antara bangsa-bangsa Cina dan Indian dalam negeri ini.

Tidak berguna dikatakan orang-orang Melayu Semenanjung ini malas atau tidak mahu bekerja menjadi kuli lombong kebun dan jalan-jalan raya jika kita ketahui bilangan mereka itu adanya sejemput, padahal negerinya pula luas kaya dan makmur.

Apabila bilangan mereka itu telah ramai seperti di Tanah Jawa, maka barulah boleh kita dapati mereka itu menjadi pembuat rumah dan bangunan-bangunan, pembuat jalan-jalan raya dan keretapi dan sebagainya.

"Malaya bagi Melayu", itulah yang patut menjadi satu tujuan dan maksud yang kuat dalam hati sekalian anak-anak Melayu.

Sebelum kita meletakkan kalam, kita berseru kepada sekalian Tuan-Tuan yang pandai mengarang dan menulis yang sentiasa leka mencari jalan perselisihan di antara kaum Melayu, maka sekarang ini hendaklah mereka menggunakan otak dan fikirannya yang mulia itu di atas perkara-perkara yang sangat besar bahayanya sekarang ini kepada anak-anak Melayu. Tiap-tiap anak-anak Melayu yang beriman dan kasihkan watan ((habibul-watan minal-iman [To be loyal to your nation is a part of your Faith])) inilah masanya patut bekerja dengan sehabis-habis kuat mempertahankan tanahairnya daripada lucut atau dibolot oleh bangsa-bangsa lain.