Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Feb 1930, p.7

General Article.

Bercita-cita Umat Melayu. Bilakah berkemajuan dengan segera? Dunia dan Akhirat?

Oleh Helang Putih Setul.

Ya, boleh maju dengan segera, tetapi mahulah dibantu dan disokong oleh yang berkuasa daripada orang-orang kaya di dalam negeri-negeri masing-masing.

Tiap-tiap saya baca dihalaman surat-surat khabar dan majalah-majalah bangsaku ((Melayu)) tiada sunyi daripada terpandang dan kedengaran teriak tangis siaran pergerakan dan kecintaan kemajuan kaum bangsa bagi berkenaan dengan masing-masing tanahair, hak sendiri dan segala peri gerakan dan kecintaan itu rasanya samalah dengan hidangan yang disajikan dengan hati yang ikhlas dihadapan suara am.

Tetapi sayang segala reka-rekaan maksud yang berharga itu sebagai mana kata orang "tuang air di atas daun keladi", apakah kemalangan yang demikian?

Maka percayalah saya oleh menyatakan dengan beberapa perkara setengah daripadanya:

1. Saudara-saudara yang berhati kasih kepada kemajuan bangsanya yang benar itu memang daripada penyelidik segala hal-ehwal kaum bangsanya di dunia maupun di akhirat. Tetapi saudara yang bahagia ini amat sedikit, dan susah didapati. Dalam seribu itu, seorang diminta jumlah kumpulan ramai. Jika adapun, di dalam keadaan yang lemah ...... dan tiada menyertai pemuka kaum, walaupun pihak kerajaannya ataupun tok-tok guru kampung, jangan-jangan pula ialah memusuhi ....

2. Yang pembaca apa-apa kebenaran segala seruan di dada surat-suratkhabar atau majalah-majalah itu tiada pula mahu mengembangkan kepada saudara am, habis dibaca buang ke sebelah segala lemat pati yang didapati ia simpan sahaja, tiada berhati atau berani sudi menggerakkan kepada am dengan jalan nasihat atau tegur ajar, di mana kumpulan ramai, istimewa pun takut kepada kerajaan, takut kepada tok-tok ulama, takut orang nak kata, dan takut orang tak ikut dan ... dan ....

3. Setengahnya didapati ada juga disebut-sebut dan tampak sangat gemar suka kepada kemajuan Islam yang sebenar. Tetapi padanya luar daripada garisan Islam dan tiada sudi menyembah Allah Ta`ala sebagaimana difardhukan.

4. Yang mana tok-tok ulama mengajar kepada murid ulama, tiada guna harta dunia dan tiada suka menuntut di mana-mana sekolah, walau sekolah apa pun, dan dunia hak kafir dan ... ((wal-naudzu billah [May The Almighty Protect Us From All Evil!])) dan katanya mati sepotong kain kapas -- maka Tok Alim yang mengajar seperti ini jika ditanam sekali emas perak dan intan berlian sebagaimana .... ini ke dalam kubur barulah agaknya ia suka mengajar dunia ini ada berfaedah bagi Akhirat.

5. Orang Alim bila diangkat oleh pihak kerajaan ((pemerintah)) pada memegang jawatan ketua agama satu-satu kumpulan-kumpulan tiadalah ia melampaui suara lebih daripada kemauan nafsu kerajaan, kerana takut hilang darjat, hilang nafkah bulanannya. Maka ketika itu walau melanggar utus aturan Allah Ta`ala yang ditetapkan di dalam aturan-aturannya pada Quran, dan walau terjumpa Hadis Rasulnya-salim, dipejam dua matanya. Dan apa yang dikata oleh pihak pemerintah mengaku sahaja betul, benar, boleh Tuanku! Ada pula ulama yang mengatakan, walau qaul-kail daif atau qul yang tiada ada hargakan di dalam agama Islam sekalipun, asal boleh bersetujuan .... saya!

6. Setengahnya orang yang berfikiran dan mengerti mengemudikan kaum bangsanya masa ini sedang di dalam kelemahan apabila terdapat ia memegang satu-satu jawatan government. Ketika itu, hal perjalanan pergerakan dibuang sejauh-jauhnya, jangan-jangan pula tembaga atau perak masam .... terlekat .... Ketika itu tiadalah berpaling lagi kepada bangsa, melainkan kepada perasa dan cakap secara orang-orang berpangkat; berjumpa saudaranya segan tegur, dan saudaranya mengadu hal kena kesempitan atau kezaliman, jawabnya tiada senang dan bukan tempatnya jalankan kerja ..... biarlah walau saudaranya jatuh ke dalam telaga kesengsaraan sekalipun.

Maka jadilah sebagai keracunan yang menghanguskan dan mengorbankan kaum bangsa sendiri.

Maka dengan sebab-sebab perkara inilah, yang tiada dapat kaum kita mencapaikan kemerdekaan kemajuan yang subur, tambahnya pula yang mempunyai harta tiada suka bantu perbelanjaan dalam perkara mendirikan satu-satu khairat seperti membuat rumah sekolah kemajuan ugama Islam yang menjadi tempat peringatan dan kekenangan putera bumi pada masa akan datang sekarang.

Akhir sekali, saya pinta maaf kepada pembaca yang budiman, istimewa Pengarang Saudara yang bermurah hati kerana ruangannya. Wa-salam.