![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 4 Jul 1931, p.8
Editorial.
Kita Mencari Kehidupan Bukan Permusuhan.
Daripada semenjak zahir Saudara mengeluarkan segala karangan yang menjagakan kaumnya dan menyedarkan saudara-saudaranya serta mengingatkan sekalian bangsanya daripada segala bahaya yang akan menimpa kaum bangsa dan watan mereka itu dengan berbagai-bagai fikiran, maka banyaklah bunyi suara orang-orang yang bersuara takutkan tulisan-tulisan yang demikian itu kelak boleh membangkitkan permusuhan di antara kaum Melayu Tuan Punya watan yang asli ini dengan sekalian bangsa-bangsa dagang yang datang menumpang.
Kita tidak mengerti mengapa mesti jadi permusuhan ataupun datang ketakutan, boleh jadi permusuhan dengan semata-mata mula-mula terbit sahaja seruan-seruan yang berguna dan yang sangat-sangat dikehendaki oleh kaum yang hendak hidup itu?
Apa artinya takutkan permusuhan dengan sebab suratkhabar-suratkhabar Melayu mengingatkan kaum bangsanya segala bahaya yang akan menenggelamkan dan melenyapkan hak punya datuk nenek moyang mereka itu yang muqaddis ((maha suci)) inikah?
Jikalau masih juga mereka itu lenyak di dalam ketiduran kemudian daripada ini lagi?
Apa bangsa Melayu ini terkecualilah kejadiannya daripada segala jenis bangsa manusia yang di dalam dunia ini, maka lain-lain bangsa itu ada hak boleh memelihara segala kebajikan perhimpunan kaumnya dan watannya sehingga dengan menggunakan senjata dan bangsa Melayu baru dengan bersaudara di dalam suratkhabar-suratkhabar sahaja sudah tuduh dengan segala tuduhan yang hendak menyekat akan mereka itu bangun daripada lingkaran tempat tidurnya yang sediakala itu?
Padahal, segala seruan-seruan yang telah diserukan di dalam segala suratkhabar-suratkhabar bagi mengingatkan kaum Melayu ini semuanya benar tidak keluar daripada benar itu sebesar huma yang terbang pun.
Apa tidakkah benar kita mengingatkan kaum yang dikasihi ini dengan sebab kelainannya sebegini lamalah maka kaum dagang telah memiliki bumi pusaka yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyangnya sehingga hampir-hampir menjadi anak bumiputeri yang asli bangsa ini kaum yang dagang, dan anak-anak dagang itu bumiputera yang asli.
Dan dengan sebab kelainan mereka itu juga segala kerusi jawatan pemerintahan negeri turun temurun nenek moyangya ini telah penuh dengan sekalian bangsa-bangsa dagang yang datang mencari rezeki di dalam negerinya dan kepayahan anak-anak bangsanya hendak mendapat satu kerusi daripadanya.
Dan dengan sebab kelainan mereka itu juga segala bandar-bandar dan segala ceruk-ceruk hingga di dalam kampung-kampung Melayu sendiri telah dipenuhi oleh kedai-kedai perniagaan bangsa dagang sehingga jikalau anak-anak dagang itu tiada hendak menjual garam kepada mereka itu nescaya terpaksalah mereka itu makan lauk tawar tidak bergaram.
Sehingga telah sampai begini sekali jadi kaum Melayu ini maka apabila ada sahaja orang yang hendak mengingatkan mereka itu dengan perkataan yang benar supaya sedar mereka itu daripada bahaya yang akan menghapuskan mereka itu daripada alam wujud ini ditakut-takutkan orang itu dengan permusuhan bangsa-bangsa lain konon. La-hawla wa-la qu-watta illah-billah!
top |