Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Jul 1931, p.6

Editorial.

Kelantan dengan Kemajuannya.

Tuan-Tuan Pembaca suratkhabar-suratkhabar tentulah ada memperhatikan bagaimana gerakan negeri-negeri Melayu sekarang ini daripada lukisan anak-anak negeri masing-masing daripada buah fikiran yang menunjukkan kesedaran yang baru meliputi setengah daripada selera perasaan ahli-ahlinya oleh seruan-seruan daripada saudara-saudaranya yang datang dari segenap negeri istimewa sekali daripada negeri Melayu yang bersekutu.

Maka yang tampak sangat kepada kita pergerakan yang sangat-sangat berkat ini cergas gerak-gerinya daripada lain-lain negeri yang baru masuk ke bawah tangan kerajaan Inggeris ialah negeri Kelantan.

Negeri Kelantan ini pergerakannya itu meliputi nampaknya daripada raja-rajanya hingga kepada rakyat negeri.

Negeri Kelantan inilah sekarang satu negeri Melayu yang tunggal yang keluar daripadanya tiga suratkhabar Bahasa Melayu tulisan Melayu, iaitu Pengasuh, Suara dan Kencana, maka ketiga-tiga suratkhabar ini penuh dengan seruan menuntut kemajuan dengan berbagai-bagai karangan yang menggemarkan hati ahli-ahli perhatian.

Di mana ada negeri Melayu lain daripada negeri Selat ini ada mengeluarkan suratkhabar Melayu tulisan Melayu satu sahaja, jangankan sampai tiga sekali! Lain daripada negeri Kelantan ini dan baru sahaja tiga kali keluar dari negeri Terengganu.

Tiadalah syak sekali-kali bahwa negeri yang tahu akan harga suratkhabar itu mesti menerbitkan kegemaran ahli-ahlinya kepada menuntut ilmu dan meluaskan pelajaran, maka dengan sebab ini tiadalah hairan kita mendengar Yang Maha Mulia Sultan Kelantan menghantar anak-anak Paduka Adindanya ke London dan ke Pulau Pinang kerana pelajaran.

Perjumpaan kita dengan Tuan Nik Mahmud baru ini telah mendatangkan besar harapan kita bahwa negeri Kelantan ini tiada berapa lama lagi akan mencapai tempatnya yang layak di bawah naungan langit ini bertanding dengan segala negeri-negeri Melayu yang lain bagi mendapatkan panjang kemenangan di dalam perlumbaan bagi mengelokkan kehidupan bangsa Melayu di bumi puteranya, kerana pergerakan Yang Amat Mulia Raja Kelantan yang disertai oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Kekandanya telah mendatangkan harapan yang besar. Tiada berapa lama lagi negeri Kelantan ini kelak akan menjadi haluan mata tiap-tiap mereka yang kasihkan bangsanya dan saudara-saudaranya yang muslimin.

Allah peliharakanlah Sultan dan Raja Kelantan selama keduanya berniat kebajikan ke atas bangsanya dan watannya Amin Amin!