Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Jul 1931, p.7

General Article.

Persatuan Melayu Semenanjung.

Di dalam sedikit hari yang lalu, kita tersangat bergirang hati mendengarkan nyanyian kaum bangsaku yang dihormati dari celah-celah ceruk Semenanjung ini mengeluarkan fikiran masing-masing di dalam suratkhabar-suratkhabar yang mana tujuan mereka hendak mendirikan Persatuan Melayu Semenanjung.

Kita termimpi-mimpi siang dan malam menanti kesudahannya cita-cita yang diudarakan oleh panglima-panglima bangsaku itu, adakah akan berjalan terus atau menjadi igau-igauan sahaja?

Kita berdoa, moga-moga berjalan teruslah hendaknya cita-cita yang sangat dihajati oleh umat Melayu pada masa ini. Diharap pemoga-pemoga bangsaku janganlah berhenti separuh jalan sahaja!

Atau jalankanlah satu-satu tujuan sehingga sempurna jadinya. Diharap janganlah mendapat satu perkara yang belum selesai, dah! Lain syor pula telah keluar. Hendak mengadakan itu, hendak mengadakan ini, akhir-akhirnya satu pun tak menjadi.

Patut sangat kita mengambil pengajaran daripada bangsa Cina iaitu suara mereka kurang berteriak-teriak tetapi pekerjaan mereka tiba-tiba dah menjadi sahaja.

Pendeknya kurang suara -- kerja lebih! Berlainan tabiat orang Keling, belum tentu hujung pangkalnya, tetapi suara atau sorak sudah berdebus-debus keluar. Akhirnya satu pun tak dapat dijadikan.

Sekarang kita berhajat benar hendak mendapat tau pada tentang cadangan perdirian Persatuan Melayu Semenanjung itu.

1. Adakah akan terus dijadikan?

2. Siapakah anggotanya?

3. Di manakah tempatnya akan memanggil wakil-wakil Melayu buat merundingkan hal itu?

4. Bilakah masanya?

5. Akan habis begitu sahajakah?

Tak faedahnya jika dibahaskan jua lagi di dalam suratkhabar-suratkhabar. Jika sekalian bangsa kita telah bersetuju belaka, akan cadangan itu, jalan terus -- habis perkara!

Melayu.