Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 2 May 1931, p.9

Editorial.

Anak-Anak Melayu dihargakan bagi Menggantikan Kerani-Kerani Bangsa Asing di dalam Jawatan Kerajaan.

Di dalam "Saudara" ini pada bahagian lain kita muatkan suatu perkhabaran pendek yang jika kita ulangi lagi maksudnya; bahwa kerajaan di dalam negeri-negeri Melayu Persekutuan telah memberi peluang yang amat berharga bagi anak-anak Melayu buat bekerja di dalam jawatan kerani-kerani am pada kerajaan, menggantikan kerani-kerani bangsa-bangsa asing ((orang-orang Cina, Indian, Jaffna dan lain-lain)) yang telah bekerja di bawah masa 3 tahun siapa kelak akan diperhentikan daripada jawatannya masing-masing.

Sebanyak juga yang berbangsa dengan bangsa Melayu tentulah menyambut perkhabaran ini dengan beberapa syukur dan sebesar-besar terima kasih kepada kerajaan oleh perhatiannya yang sangat timbang rasa di atas pemuda-pemuda Melayu anak rakyatnya itu.

Bahkan orang-orang yang sempurna pemandangan akalnya walau daripada bangsa apa-apa sekalipun kita fikir tentulah jua memuji-muji akan perhatian kerajaan yang demikian itu, kerana dengan sebenarnya kita berkata bahwa jalan itulah sahaja yang sejahtera bagi perlangkahan kerajaan akan mengutip buah daripada benih pengetahuan yang disemaikannya dengan beberapa banyak belanja dan bersusah payah di atas pelajaran anak-anak rakyatnya yang telah menyerahkan dengan ikhlasnya akan pemerintahan negerinya selama ini.

"Negeri Malaya bagi Melayu", perkataan ini telah lama kita dengar menjadi seolah-olah timang-timangan bagi kemajuan Melayu. Sangat lazat bunyinya terdengar oleh tiap-tiap telinga Melayu. Maka kelazatan itu sekaranglah baru mulai perlangkahannya akan dapat dilihat oleh mata kepala dan dirasainya oleh mata perhatian tiap-tiap Melayu.

Sebagaimana kesukaan orang-orang Melayu akan merasai itu, maka demikianlah jua agaknya orang-orang Cina suka merasai dan mendengar "Negeri Cina bagi Cina" dan orang-orang Indian mendengar "Negeri India bagi Indian" dan lain-lain.

Tinggal lagi sekarang ini kita menoleh kepada anak-anak bangsa kita pemuda-pemuda Melayu. Mereka itu hendaklah menaruh malu kepada lain-lain bangsa itu supaya jangan menjadi sebutan orang-orang yang bahasa mereka tidak tahu menghargakan anugerah yang sangat timbang rasa daripada kerajaan itu.

Sehingga dapatlah mereka itu menghasilkan kelazatan perasaan bangsanya yang ramai ini dengan keadaan bahwa sesungguhnyalah akan berlaku "Negeri Malaya itu bagi Orang Melayu!!".

Bukan tidak banyak anak-anak Melayu yang telah mendapat pelajaran daripada sekolah-sekolah kerajaan sehingga ia telah boleh dan layak menjadi kerani, kadar sebagaimana kepandaian kerani-kerani bangsa asing itu. Akan tetapi sifat anak-anak Melayu yang kebiasaan selamanya ini iaitu tidak mahu mencari pekerjaan kerana jauh sedikit meninggalkan orang-orang tua atau rumahnya itu telah menggalangi kemahuan mereka itu daripada memegang jawatan di dalam negerinya sendiri. Anak-anak Melayu yang berfikiran demikian mesti menukar haluannya sehingga pada hari ini, dan pas masa akan datang, kita akan lihati mereka itu berbuat-buat memasukkan nama atau permintaannya memenuhkan pekerjaan apa-apa sahaja kepada kerajaan daripada pangkat sebagaimana tinggi yang boleh dipegang Melayu sehingga sampai kepada jawatan yang serendah-rendahnya atau kepada jawatan soldadu dan kuli-kuli sekalipun.

Demikian jua kita harap pihak orang-orang tua pemuda-pemuda kita itu akan melepas dan menggembirakan anak-anaknya supaya berlumba-lumba memenuhi tiap-tiap jawatan yang dibukakan oleh kerajaan bagi mereka itu kerana dengan jalan yang tersebut bukanlah untuk menandakan bahwa negeri Melayu itu wajib mempunyai pegawai-pegawai Melayu sahaja, akan tetapi ialah jua menunjukkan bahwa orang-orang Melayu tahu meraikan anugerah kerajaannya sendiri siapa yang memangnya ia taatkan selama ini.

Di dalam perkara ini, pemuda-pemuda Melayu kita patut menaruh malu kepada saudara-saudaranya pemuda-pemuda Melayu di Indonesia misalnya, yang daripada pangkal hingga ke hujungnya pulau-pulau negeri itu kita tidak menjumpai orang-orang bangsa asing bekerja menjadi pegawai kerajaannya melainkan bangsa anak negeri dan orang-orang Belanda bangsa pemerinthah. Jika pun ada, kalau hendak disebut "pegawai" pemerintah iaitulah orang-orang asing yang jadi kepala bangsanya masing-masing atau wakil-wakil juru bahasa dan sedikit sahaja di dalam jawatan mata-mata gelap kerana berkenaan dengan adat istiadat dan pergaulan mereka itu sama-sama bangsanya sendiri.

Patutlah ini memberi tauladan-tauladan kepada pemuda-pemuda Melayu kita di sini sehingga apa-apa jua peluang di dalam jawatan yang dianugerahi oleh kerajaan itu di dalam masa yang tidak berapa lama lagi akan dapat dipenuhi oleh anak-anak Melayu belaka, mudah-mudahan!

Ketika ini, kita di dalam umur yang sudah tua sekiranya sampai takdir ajal kita mudah-mudahan dengan kuasa Tuhan jua kiranya roh kita akan bersukacita dan mendapati suatu kemegahan kelak bagi menyampaikan warta kepada arwah-arwah datuk-nenek moyang Melayu yang telah terdahulu berpulang ke Rahmatullah Tuhannya itu dengan perkhabaran bahwa anak cucunya di dalam kehidupan alam dunia yang kelam-kabut ini dengan perhatian timbang rasa, dan pemimpin kerajaannya telah dapat menggantikan sekalian pegawai-pegawai bangsa asing yang bekerja di dalam jawatan pemerintah atau pekerjaan negerinya itu telah terserah kepada tangan orang-orang Melayu dan orang-orang Inggeris bangsa pemerintah belaka.

Dan mudah-mudahan jua kiranya inilah sesuatu perkhabaran bahaya yang membawakan syukur dan sukacita arwah-arwah orang-orang tua-tua Melayu itu di dalam kuburnya ketika mana ia mengetahui bahwa tanahair dan nama kebangsaan Melayu yang pada masa hidupnya semenjak zaman dahulu purbakala dipertahankan dan dijagakannya dengan segenap darah dan nyawanya itu masih dapat diatur dan dijagai sendiri oleh ikhtiar dan usaha anak cucunya dengan latihan dan pimpinan pembesar-pembesar dan kepala-kepala kerajaan yang dikasihnya itu.

Negeri Malaya Bagi Melayu!