![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 9 May 1931, p.8
General Article.
Apa Macam Anak Melayu di dalam Jawatan Kerajaan.
Belumlah lagi terjerempak tarikh yang macam ini yang banyak-banyak Melayu itu bergantung kukuh ataupun berkehendakan sangat-sangat akan pertolongan suara dan kuasa orang-orang besar-besar dan Member-Member State Council. Terlebih lagi Member Federal Council seperti Yang Terutama sekali Yang Berhormat Raja Chulan dan Datuk Abdullah Undang Rembau, akan mengemudikan atau mengambil hirau akan hal-ehwal mereka itu, iaitu pun bagi orang-orang ramai atau orang yang berkerja kepada kerajaan yang terafdal sekali bagi jawatan-jawatan yang rendah seperti pekerjaan kerani dan sebagainya.
Agaknya tiada sunyi telinga pembesar-pembesar dan ahli-ahli Mesyuarat Negeri ataupun ahli-ahli Federal Council mendengar jerit pekik bangsa-bangsa lain di atas kehendak kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ((FMS)) kerana mengurangkan orang gajinya ((Retrenchment)) dan ada juga angin-angin yang bangsa Jaffna itu berhajat ((atau sudah dijalankan hajatnya)) hendak menulis surat permakluman ((petition)) kepada menteri luar kerajaan yang di England ((Secretary of State)) bagi hal-ehwal mereka itu. Tetapi tiada pernah terdengar satu pun jerih pekik yang memenuhi suratkhabar-suratkhabar atau lainnya di dalam hal-ehwal perkara ini bagaimana keadaan anak-anak Melayu di dalam perkara yang dahsyat ini.
Agaknya oleh sebab mereka itu memikirkan yang hal-ehwal mereka itu sedang di dalam jagaan yang kukuh atau amanah. Atau pun kepercayaan mereka itu yang pembesar-pembesar mereka itu sudah sedia memagarkan hal-ehwal mereka itu, ataupun yang mereka itu tiada akan dimasukkan di dalam list yang akan dipecah itu, ataupun mereka itu memikirkan yang mereka itu tiada akan diusik balik oleh kerajaan.
Demikiankah agaknya? Maka belumlah penulis dapat tahu.
Penulis berdoa yang fikiran mereka itu sekaliannya sungguh benar. Tetapi tiada tetap ((sedap)) rasa hati kerana tiada dilihat atau didengar dengan mata ada yang sedemikian itu. Terpaksalah penulis mengambil dengar apakah senjata atau pagar yang sudah disiapkan oleh Yang Berhormat Member-Member Federal Council bagi memagarkan hal-ehwal anak Melayu yang memegang jawatan di dalam kerajaan itu.
Tampkanya di dalam list-list itu yang anak-anak Melayu itu tiada ketinggalan daripada cadangan-cadangan yang akan dibuang juga.
top |