Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 May 1931, p.8

General Article.

Bagaimana Melayu Nak Maju. Jikalau Melayu masih berhati keMelayuan!

Sebagaimana faham kita adapun perkataan yang berayunan seperti yang tersebut di atas ini terletak di atas tubuh kita dan tertenggek di tengkuk orang besar kita serta terdukung di belakang penghulu kita?

Betapa tidak!

Layangkanlah pemandangan ke arah negeri-negeri Melayu yang belum maju?

Tidakkah anak negeri jahil, bodoh, papa-papa, miskin dan ... dan ... tidakkah orang besarnya kurang pintar, lemah perasaan, tidak memberarti pada perkara memakmurkan anak negerinya, hanyalah dibererti tentang muslihat dirinya pada menambahi pangkat dan kekayaannya sahaja?

Istimewa pula penghulu mukim lebih lagi daripada yang demikian. Jika ditilik kepada pengetahuan kepandaiannya jauh ke belakang setengah daripada setengah membaca menulis bahasa sendiri ((Jawi)) kurang faham, apatah lagi berkepandaian bahasa asing yang sangat perlu diketahui, jauh ...!!

Beginikah keadaan orang yang diharap memegang teraju boleh memajukan kaum bangsanya? Di manakah harapan Melayu boleh maju?

Ya! Tidak lain sebabnya kerana ((Melayu masih berhati keMelayuan)) itu tersangat takut kepada pemegangan lama yang sudah lapuk itu.

Jika berhenti atau mati ia kalau ada anaknya walaupun berumur 13 tahun sekalipun seumpama belum layak lagi memegang jawatan .... Tidak menjadi alangan melainkan terus sahaja ganti bapanya?

Adakah layak anak-anak yang begitu memegang jawatan tambahan pula kekurangan pelajaran dan asuhan pada perkara memimpin dan memajukan kaum bangsanya!

Di manakah harapan Melayu boleh maju jika anak masih di dalam ... memegang teraju!

Di manakah harapan Melayu boleh menghidupkan maruah nama bangsanya, jika abang asyik dengan .... memegang neraca!

Di manakah harapan Melayu boleh mencapai darjah kekayaan, jika bapa jahil tidak berkepandaian .... Jadi pendidik apakala telah kita sedar dan ketahui hal yang demikian itu, apakah lagi kita nantikan, segera jika umat Melayu masih lagi berharap kepada ... atau berpegang secara ... tak dapat tiada tertutuplah mata pencarian umat-umat Melayu dihimpit oleh bangsa asing, apakah jadi Melayu pada masa itu?

Agaknya tentu sekali terburu-buru ke sana ke mari mencari mangsa terbongkok-bongkok terkais-kais sepanjang hari di dalam hutan rimba seperti keadaan ... di manakah Melayu mendapat pertolongan?

Tidakkah menambahi lagi bilangan Melayu diperhambakan oleh mereka itu -- kasihan!

Berasa gembira darah gemuruh kita memikirkan?

Apakah patut kita mesti buat?

Bolehkah jadi kita berdiam diri berpeluk tubuh sahaja?

Inilah masa -- inilah waktu -- kita bersama-sama bangun memegang senjata menempuh haluan bersungguh-sungguh serangan musuh yang hendak merampas tanahair kita -- menghalau kita -- memperhambakan kita -- maka sebelum teruk himpitan mereka itu, patutlah kita berbuat fikiran bersatu hati bersatu perasaan menyerbu masuk ke dalam perhimpunan kaum yang kasihkan bangsa dan watan berpegang dan bersandar kepada perkataan bersetia ((jaya)) bersyarikat ((berkat)) berkongsi ((jadi)) bersekutu ((maju))!

Moga-moga tersimbahlah kabus-kabus yang menutupi semangat kemanusiaan ((Melayu)) terangkat kepada darjah kebangsaan.

Adapun senjata-senjata yang diharap boleh menentang ((menahan)) serangan mereka itu banyak, tetapi awali kita dahulukan tiga jenis sahaja:

Yang Pertama: Pengetahuan. Hendaklah kita bersungguh-sungguh memberi pelajaran kepada anak-anak kita. Tiap-tiap kampung yang ada sekolah Melayu hendaklah diadakan pelajaran ilmu bahasa Inggeris di sebelah petangnya! Gaji guru dan buku-buku bacaan bersama-sama kita memohon pertolongan kerajaan kita yang maha adil. Bahkan jika tidak termampu oleh kerajaan kerana menambahi besar belanja pelajaran, patutlah kita ibu-bapa mengeluarkan wang sendiri untuk gaji guru dan membeli buku sebanyak di dalam sebulan pada seorang anak $1.50 kerana pada perasaan kita murid-murid yang belajar di dalam satu-satu sekolah Melayu kampung tak kurang daripada 60 orang kanak-kanak menjadi jumlah kedapatan sebulan $90 tentu mencukupi.

Tambahan pula, sekarang sudah banyak pemuda-pemuda bangsa kita Melayu yang sudah berkepandaian Inggeris belum mendapat pekerjaan tentu bersetuju ia dengan gaji lebih kurang sedikit kerana menolong bangsanya.

Kedua: Perniagaan. Kita hendaklah bersungguh-sungguh memajukan perniagaan Melayu dengan jalan berkongsi atau bersyarikat dengan peraturan yang elok dan terang dipungut wang modal dengan jalan bond atau share diketuai oleh seorang yang cukup faham dan mengerti.

Ketiga: Pertukangan. Hendaklah kita menghidupkan balik kepandaian Melayu diatur dan disusun dengan sebaik-baik peraturan dan seelok-elok susunan dengan mengadakan rumah pekerjaan itu ((fabrik)) diketuai atau dikawali oleh seorang yang berpengetahuan mengaturkan pekerjaan itu dengan berpasukan-pasukan tukang emas, perak, tembaga, tukang besi, kayu, tukang tenun, tukang jahit, tukang kait-mengait, tukang anyaman, dan lain-lain.

Buat menutup rencana ini, ayuhai bangsaku Melayu! Sedarlah Tuan akan musibat yang hendak menimpa kita! Tariklah selumbung, bangun berdiri bersama-sama kita mengayun langkah ke hadapan menuju masuk ke dalam perhimpunan tiga perkara yang tersebut itu. Mudah-mudahan hiduplah maruah kebangsaan Melayu boleh menyaing bangsa asing, had inilah dahulu penulis berbanyak-banyak menuntut maaf kepada pembaca yang budiman dan mengucap terima kasih kepada Pengarang kerana ruangannya.

Was-salam.

M.A. Pahang.