![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 30 May 1931, p.8
General Article.
Dipohonkan Harapan Melayu Jangan Dihampakan.
Lemah kalam menghuraikannya betapa suka dan ria anak-anak Melayu semenjak kedatangan hukuman kerajaan yang maha adil yang telah mengadakan hampir-hampir tiap-tiap district di dalam negeri-negeri Melayu "Committee For the Employment of English Speaking Malays", yang maksudnya tidak lain daripada menolong carikan dan beri kepada anak-anak Melayu yang tahu bahasa Barat kerja yang layak bagi pengetahuan masing-masing.
Tidak syak dan zan lagi teramatlah adilnya kerajaan kita ini dan baik budi bahasanya serta timbang rasanya ke atas anak-anak Melayu -- maka anak Melayu kita pun tidaklah ketinggalan menghantarkan surat permintaan kerja masing-masing ((submit their application)) kepada peluang yang maha baik ini.
Ayuhai pembaca-pembaca yang dikasihi, cubalah fikir Tuan-Tuan dengan halus-halus hal anak Melayu yang tersebut di atas lepas masing-masing menghantarkjan surat-surat permintaannya, tentu tidak syak lagi sekunangnya harapan mereka itu akan mendapat satu jawatan di dalam kerajaan ((kalau tidak dapat sialah sahaja masa dan wang yang dibelanjakan mereka itu menuntut ilmu Barat itu)) maka ternanti-nantilah mereka itu dalam harapan yang penuh seperti "jentayu menanti hujan", akan jawapan surat masing-masing. Jangan sahaja terlintas peon, tukang pembawa surat-surat, maka masing-masing pun berkerumunlah datang bertanya "Tambi, adakah saya punya surat?" Surat apa yang terlampau dicintai -- ingat-ingat itu?
Ialah surat bertanda O.G.S., jika sekiranya ada.
Dan bila-bila sahaja didapati jawabnya "tidak ada ayah", aduh! Menarik nafas panjang serta muka yang sedih tampaknya dan menundukkan kepalanya, menuju rumah masing-masing seolah-olah putus harap rupanya. Kasihan! Kasihan! Melihat anak Melayu susah kerana himpitan bala tentera Chiang Kai-Shek dan Mahatma Gandhi!
Tiap-tiap penyakit ada ubatnya!
Pada 2.5.31, dapatlah perkhabaran pada akhbar Saudara yang sehabis kesukaan bagi umat-umat Melayu tua muda yang tidak ternilai lagi rasanya serta mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan yang maha adil, iaitu perkhabaran yang mengatakan "jawatan am kelak anak-anak Melayu akan menggantikan bangsa asing"!
Tambahan pula anak-anak Melayu yang tersebut di atas tadi terlalulah kiranya hati masing-masing dengan kata "sure to get appointment".
Akan tetapi, kesukaan anak-anak Melayu itu tidak lama, kerana telah berkukur pula kepada duka yang tidak disangka-sangka sekali-kali kerana pada 9.5.31, beredarlah pula akhbar Saudara yang dikasihi ini membawa perkhabaran dengan lemah lembut bertandatangan "Anak Melayu", mengatakan "di dalam list-list kerajaan itu, yang anak-anak Melayu pun tidak jua ketinggalan daripada cadangan akan dibuang jua"! Ah!
Lemah tulang sendi berterbangun segala semangat-semangat anak-anak Melayu yang tersebut di atas bila sahaja terbaca hal ini.
Aduh! Sampai sekali anak-anak Melayu ampunya nasib serupalah sahaja anak-anak Melayu ini dengan kaum burung gagak dan ketam sehingga tidak ada kecualinya lagi.
Betullah Melayu ini 1931 tali hina ((tiap-tiap tahun bertambah hina)) seperti kata Encik Penulis "Rimba Belantara".
Hairan beribu kali hairan apakah muslihat committee yang tersebut di atas diadakan kalau sekiranya anak-anak Melayu pun akan dibuang juga. Padahal anak-anak Melayu sangat harap akan pertolongan kerajaan yang maha adil daripada himpitan kaum gagak dan ketam, bukankah jadi diolok-olokkan dan ditertawa-tawakan oleh kaum yang tersebut kepada anak-anak Melayu dengan katanya "apa kami orang kena buang kerja, orang Melayu pun kena buang juga"!
Dan lagi, pula kalau committee-committee ini tidak kuasa bersuara meminta kepada kerajaan yang sedia pengasih sayang supaya kerja-kerja "temporary clerks" ((dan lain-lain kerja yang layak bagi anak-anak Melayu)) di dalam tiap-tiap pejabat kerajaan yang digasak dan dikontrekkan kaum gagak dan ketam itu dibuang dan digantikan dengan pemuda-pemuda Melayu pula, tidakkah patut dan layak Melayu bekerja pangkat yang amat rendah ini di tanahairnya sendiri? Ah! Hairan!
Diharap kepada kerajaan yang maha adil janganlah sampai anak-anak Melayu ini menengok seperti kata Melayu "menantikan hujan di langit, menengok burung tidak berketah" dan dan .... Itupun entahkan dapat entahkan tidak, betapa tidak penulis kata begitu kerana di pejabat elektrik yang di Kuala Lumpur itupun tidak dapat committee-committee yang tersebut di atas memberi peluang kepada anak-anak Melayu kerana keras pagut burung-burung gagak itu.
Seperti tersebut di dalam akhbar ini yang bertarikh 9.5.31, begitu juga baru ini di tempat penulis seorang "Malay Writer" telah terpecat daripada jawatannya. Maka menderulah anak-anak Melayu meminta kerja yang sedang kosong itu. Tetapi hampa sahaja sekaliannya permintah-permintah itu kerana "retrenchment" pula konon.
Ke manalah Ya Allah Ya Tuhanku anak Melayu ini mencari rezeki? Negeri ini tanahairnya sendiri. Ya Allah beri rahmat jua kiranya kepada kami anak-anak Melayu, serta disudahi dengan harapan yang penuh kepada kerajaan yang memang maha adil barang apa jua kiranya dimakbulkan permintaan kami anak-anak Melayu di atas "sympathetic consideration".
top |