Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 May 1931, p.8

General Article.

Kalau Orang Melayu Mahu Maju.

Orang-orang Melayu jika berkehendak maju, segala mereka yang tersebut di bawah ini mestilah bekerja keras!

1. Penghulu-Penghulu di masing-masing negeri mahulah mengadakan satu perkumpulan atau perjumpaan sekurang-kurangnya di dalam setahun dua kali. Di dalam negeri Selangor elok benar jika diadakan perjumpaan penghulu-penghulu itu pada waktu datang Menjunjung Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Sememangnya di negeri ini setahun dua kali diadakan majlis Menjunjung Duli itu, pada hari itu sekalian penghulu-penghulu, kadhi-kadhi dan datuk-datuk datang belaka berhimpun di Kelang.

Maka pada masa perhimpunan itu patut benar diminta pegawai-pegawai jajahan, pegawai syarikat, pegawai-pegawai tanaman, pegawai kesihatan, atau orang-orang yang bijak dan pandai memberi syarah dan nasihat apa-apa jua yang patut di atas jalan memajukan Melayu, ditanamkan ke hati penghulu-penghulu itu supaya segala mereka insaf dan sedar diri serta kasih akan tanahair dan bangsa mereka.

2. Pegawai Tanam-Tanaman mahulah pula mereka betul-betul menjalankan kewajipan mereka serta diminta selalu bersyarah, memberi nasihat dan menolong orang-orang Melayu di kampung-kampung. Iaitu ditunjukkan bagaimana peraturan tanah kampung dan tanaman yang patut dibuat.

Tujuan kerajaan kita yang maha adil mengadakan mereka daripada bangsa Melayu, ialah supaya boleh mengajar orang-orang Melayu bercucuk-tanam dan berkampung dengan berperaturan ... tetapi kasihan seribu kali dukacita kita mengenangkan sekianlah sudah lamanya diadakan pegawai tanam-tanaman itu, tetapi yang kampung dan kebun Melayu masih berjalan jua seperti peraturan zaman 20 tahun dahulu, dengan tidak berubahnya -- cubalah lihat!

Tanaman tidak beratur lagi bercampur gaul pisang, ubi, kelapa, manggis, durian, kopi dan lainnya hingga suntuk sampai ke mata anak tangga rumah mereka.

Sudahlah demikian, rapat-rapat pula tanaman itu di antara satu dengan lain, lebih kurang jarangnya di antara satu pokok dengan lainnya, kira-kira sedepa atau dua depa dan setengahnya tak sampai sehasta dengan tiada mengeluarkan hasilnya.

Jika kita masuk ke dalam kawasan itu, gelap sahaja tak nampak langit berserta pula dengan nyamuknya.

Sudahlah begitu, penuh pula dengan lalang.

Pendeknya, sangatlah buruk dipandang mata, sekalian perkara ini bukankah patut pegawai-pegawai tanam-tanaman memeriksa atau memaksa orang-orang Melayu itu menolong menjarangkan pokok itu atau memberi nasihat membuat peraturan yang lebih sempurna?

Apa boleh buat!

Kebanyakan pegawai-pegawai itu tiadalah mereka memperendahkan atau ambil tahu di atas perkara yang tersebut itu walaupun ditampaknya kebun-kebun Melayu itu di tepi jalan raya melainkan tujuannya semata-mata mencari mana-mana kebuh getah yang ada sakit pokok atau kebun getah yang semak supaya boleh ditahan daripada mengeluarkan susunya atau supaya boleh dikeluarkan saman.

3. Pegawai-pegawai Padi mahu juga berusaha sebenar-benarnya menolong orang-orang Melayu ada menunjukkan dan mengajar peraturan bertanam padi dan peraturan mengairkan tanah sawah itu serta pula pergi periksa sendiri masuk berjalan merata-rata sawah melihat dan memperhatikan mana-mana sawah yang tiada dapat air dan yang tiada kena gaya bertanam padi itu -- tiadalah memadai semata-mata bertanya-tanya sahaja kepada datuk-datuk penghulu atau datuk dagang di tepi-tepi jalan raya. Pada hal tak pernah masuk ke dalam kawasan sawah itu.

4. Pegawai-pegawai Kesihatan pun mahu juga selalu bersyarah dan menasihatkan orang-orang di kampung-kampung Melayu tunjukkan bagaimana peraturan kebersihan dan pergi pula melawat di kampung-kampung mereka suruh bakar dan buangkan sampah sarap dan tempurung-tempurung yang bertimbun-timbun balik di belakang rumah mereka, lihat perigi minum, perigi mandi dan jamban mereka. Demikian jua rumah-rumah mereka.

5. Pegawai-pegawai Syarikat diharap juga bekerja keras lagi mengajar orang-orang di kampung berniaga dan bersyarikat membuat kebun, kedai atau syarikat bertanam padi.

6. Volunteer ((Askar)) ini satu perkara yang patut sangat-sangat anak-anak Melayu memasukkan diri menjadi ahlinya buat menjaga keselamatan tanahair kita sendiri. Tak patutlah benar bangsa Cina atau Keling menjaga keselamatan negeri kita ini, negeri Melayu mesti dijaga oleh askar Melayu!

Darah Muda.