Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 May 1931, p.7

Surat Kiriman.

Kedai Nasi, atau Hotel, dan Tukang Gunting Rambut.

Pada zaman ini zaman kita anak-anak Melayu mahu berlumba-lumba membuat sesuatu pekerjaan dan merampas balik tiap-tiap perkara yang telah dirampas oleh bangsa-bangsa lain.

Kerajaan kita yang maha adil sudah mulai melangkah membuang bangsa-bangsa asing di dalam jawatan kerajaan.

Kita pun jangan pula ketinggalan membuang bangsa-bangsa lain yang berniaga dalam negeri kita ini.

Kita Melayu mesti mahu cuba dengan seboleh-bolehnya membuat pekerjaan itu orang kaya-kaya kita Melayu patut benar masa ini memulakan atau menolong kaum bangsanya dengan wang ringgit mereka. Tak guna jika wang kita beribu-ribu ringgit tersimpan sahaja atau buat melepaskan hawa nafsu sendiri sahaja.

Akhirnya kita mati waris-waris akan menjahanamkan wang ringgit kita itu. Sekarang buanglah fikiran dan aturan itu dan tolonglah bangsa kita membuka perniagaan.

Setengah daripada perkara yang patut benar kita Melayu membuatnya iaitu seperti yang tersebut di kepala karangan ini .... Berkedai nasi dan kedai tukang gunting.

Cuba lihat di bandar Kuala Lumpur di lorong "Ampang Street", di sana beberapa buah kedai makan bagi kerani bangsa Keling Jaffna dan India seperti "Hindu Ceylon Restaurant" dan lainnya. Keling kerani-kerani di bandar Kuala Lumpur bila mahu makan atau minum mereka mesti menuju ke tempat itu. Anak-anak Melayu Kuala Lumpur sendiri boleh melihat dengan mata kepala sendiri ... bila pukul satu tengah hari, beratus Keling Jaffna makan di kedai bangsanya itu.

Tak mau mereka makan merata-rata kedai Cina atau bangsa lain seperti kelakuan kebanyakan bangsa kita Melayu.

Apa! Kita Melayu tak adakah iri hati hendak membuat seperti itu?

Wang kita boleh diberikan kepada bangsa kita sendiri.

Bandar Kuala Lumpur itu sebuah bandar yang besar di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan di sana banyak anak-anak Melayu yang berjawatan dengan kerajaan. Orang-orang Melayu yang datang dari luar negeri pun tidak pula berkurangan datang mengelincir ((berjalan)) di bandar itu.

Tetapi kita tersangat sedih hati mengenangkan sebuah pun tak ada kedai nasi atau hotel kepunyaan anak Melayu di tempat ini. Bila anak-anak Melayu hendak mengisi perut ((makan)) atau minum air seteguk, mestilah pergi ke kedai Cina sekurang-kurangnya ke kedai Malabari. Kalau mau tidur mesti pula diangkut anak bini ke hotel Cina atau Jepun.

Ah! Banyak pula kita dengar anak-anak Melayu kita berkata: apa! Kedai orang Melayu kotor dan dan .... Kedai Cina bersih dan bagus!!! Hemm!!

Anak muda Melayu yang berkata seperti itu belum sampai siasatnya kepada orang-orang Cina itu. Jika ia mengerti tentu ia tak sanggup makan di kedai Cina itu.

Fikirkanlah: sedangkan punggung Cina itu bila bercebok berkesat sahaja dengan kertas, apatah lagi mencuci najis-najis di dalam makanan yang akan kita makan itu, padahal najis yang sebesar-besarnya pula jadi makanan mereka -- apa dia? BABI!

Fikirlah kalau mau berfikir!!!

Demikian jua kita Melayu sama ada datuk-datuk orang besar-besar atau Pak Haji mau pun Pak-Pak Lebai jika hendak melicinkan pipi atau merintis hutan simpan ((bergunting)) terpaksa jua berlari menyerahkan duit ke kedai Keling, padahal kita sangat-sangat benci kepada bangsa Keling itu.

Bukankah dengan tak sedar sahaja kita Melayu juga mengkayakan Keling dan Cina itu. Padahal kerajaan kita bersungguh-sungguh hendak menyelamatkan harta dan pekerjaan anak-anak Melayu. Tetapi kita belum juga mau sedar dan mau menurut pemerintah kita yang maha adil itu.

Kita boleh kira dengan kasar sahaja berapa banyaknya wang kita sudah dirampas oleh bangsa Keling pada tentang bercukur rambut sahaja. Katakanlah orang-orang Melayu tiap-tiap hari bergunting di Kuala Lumpur ini 50 orang -- seorang upahnya 30 sen. Jadi $15 sehari duit anak Melayu berpindah ke tangan Keling. Sebulan jadi berapa ringgit? Tentulah sudah ada $450. Jika setahun sudah jadi $57,000 lebih. Kalau sampai empat lima atau sepuluh tahun berapa banyak duit kita berpindah ke tangan Keling itu?

Cuba perhatikan Keling-Keling tukang gunting itu, cukup dua tahun mereka sudah pulang ke India sana membawa duit kita beratus-ratus ringgit. Datang pula Keling gunting rambut baru dari India sana. Demikian jua hingga turun temurun kepada anak cucu mereka.

Sekarang tentu bangsaku tau berapa banyak wang penangan gunting rambut itu yang boleh kita berikan kepada Keling-Keling. Pekerjaan itu bukankah senang-senang, tak bolehkah Melayu buat seperti Keling-Keling itu?

Pada menjawab pertanyaan itu, pembaca-pembaca bangsaku sendiri boleh cuba di rumah masing-masing. Lagi! tentulah sedap kepala kita digosok bangsa kita sendiri!

Kita berserulah kepada sekalian bangsaku dari hari ini patutlah kita berangan-angan hendak membuka kedai makan atau hotel mengikut peraturan baru. Demikian jua menjadi tukang gunting rambut.

Penutup kata cuba pulalah pendita-pendita bangsaku memanjangkan dan meluaskan fikiran di atas seruan saya ini. Mudah-mudahan akan jadi pemberangsang hati anak-anak Melayu kita diharap-harap lambat laun akan berjalan pula cita-cita kita ini.

Darah Muda.