Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 6 Jun 1931, p.8

Surat Kiriman.

Apakah Benar Orang-Orang Melayu akan sedar?

Oleh Pak Kolot dari Semarang ((Jawa)).

Dengan kemurahan hati Pak Kolot punya handai dan taulan yang tetap kediamannya di Semenanjung, dapatlah Pak Kolot beramah-ramahan dengan suratkhabar-suratkhabar yang telah diterbitkan oleh Pak Kolot punya bangsa yang sesungguhnya Pak Kolot sendiri amat rindu selama ini.

Haruslah Pak Kolot nyatakan kepada sekalian pembaca: bahwa betul juga Pak Kolot dapat memetik bukan sedikit buah fikiran yang sedap-sedap yang telah dihidangkan orang ke dalamnya, tetapi tak satu pun yang dapat menarik hati Pak Kolot sebagai pada masa yang akhir-akhir ini.

Pak katakan begitu, sekali-kali bukanlah bermaksud akan merendahkan darjat pengarang-pengarang dan penulis-penulis yang bijak dan pandai itu, tidak .... Tidak ... seribu kali tidak!

Sebab waktu Pak Kolot lagi kecil dahulu ada dengar cerita dari Pak Kolot punya guru mengaji bahwa perbantahan faham di fasal ugama itu memang sudah dari semenjak zaman setelah wafatnya junjungan kita Nabi Muhammad wa-salam dan sahabat-sahabatnya.

Barangkali perbantahan yang demikian itu tidak nanti lenyap jika sebelumnya hari Kiamat, jikalau benar begitu sesungguhpunnya Pak Kolot amat menyesal, sebab beberapa pekerjaan yang penting-penting yang mestinya telah tertinggal, dan segala waktu yang berharga segala kekuatan yang berguna itu ditumpahkan sahaja kepada perbantahan itu.

Melihat hal itu, Pak Kolot punya rambut sampai berubah menjadi tiga warna, fikiran jadi bingung, serta salah, hingga acapkali tumbuh ingatan, iaitu jika senantiasa anak-anak Melayu berjalan di jalanan itu, sudah tentu mereka akan jatuh tersungkur ke dalam lubang yang dalam.

Kerapkali pula timbul fikiran Pak Kolot akan hadiahkan suatu committee kepada budak-budak Melayu yang nakal itu, tetapi dari kerana Pak Kolot tidak biasa tulis menulis, terpaksa niat itu distop dahulu.

Sebagaimana Pak Kolot telah katakan di atas, selama Pak Kolot beramah-ramahan dengan suratkhabar-suratkhabar yang terbit di tanah Semenanjung, tak satu pun yang dapat menarik hati, tetapi pada waktu yang akhir-akhir ini, Pak Kolot terima lagi beberapa helai suratkhabar ((Saudara dan Lidah Benar)), dengan tergopoh-gopoh Pak Kolot membuka dan baca semua isinya.

Di sana Pak Kolot dapati beberapa buah rencana yang jika Pak Kolot tidak keliru, ada membawa syor supaya orang-orang Melayu bersehaluan bersepakat bersekutu dan bersehati buat menolak bahaya-bahaya bangsa penengkik yang mencari sesuatu nasi, yang telah dan yang lagi akan menimpa ke atas kepala anak-anak Melayu itu.

Pak lalu termening sejurus dan bertanya dalam hati, apakah benar orang Melayu akan sedar?

Apakah betul orang Melayu boleh jadi sehaluan, sepakat, sekata dan sehati sebagaimana yang telah diperbuat oleh bangsa-bangsa penengkik dihadapan mata mereka itu?

Jikalau Pak Kolot fikir dan fikir lagi sekali, terpaksa Pak Kolot nyatakan terus terang, bahwa sikap dan gerak-gerak bangsa penengkik di hadapan mata-mata anak-anak Melayu itu haruslah mendapat pujian dengan setinggi-tingginya dan harus dikatakan pula bahwa pemimpin-pemimpin mereka itu sesungguhnyalah pahlawan-pahlawan yang gagah berani, biarpun di mana-mana sahaja tempatnya dan bila-bila pun waktunya, dengan tidak menengok sebelah mata walau di hadapan siapa pun tak lupa mereka menyingsing lengan bajunya, menjalankan kewajipannya masing-masing untuk membela bangsanya.

Barangkali juga pujian Pak Kolot kepada pemimpin dan pembuka-buka bangsa luar itu, akan memarahkan penulis-penulis Melayu yang kenamaan. Kalau betuk begitu, terpaksalah Pak Kolot terangkan bahwa kemarahan itu tidak bererti dan sia-sia belaka.

Selama orang Melayu belum sehaluan sekata sepakat dan sehati mengangkat dan menolak bahaya-bahaya bangsa penengkik yang telah dan yang lagi akan tertimpa di kepala mereka itu, selama itulah Pak Kolot tidak ambil endah, sekalipun sebagai guruh dan petir datangnya serangan itu, sebab Pak Kolot anggap hal itu tak ubahnya sebagai satu bunyian yang sebetulnya bunyian. Demikian sudah meluat didengar oleh pembaca-pembaca suratkhabar.

Akan sekarang Pak Kolot rasa-rasa tidak sabar menanti perhimpunan besar atau Kongress Melayu yang dicita-cita dan dimimpi-mimpikan oleh penulis-penulis Melayu itu. Jika Pak Kolot dapat khabar yang sah hari dan bulan serta tempat yang akan kejadian itu, barangkali jika cukup syarat-syaratnya tentulah Pak Kolot akan datang menyingsingkan ke sana.

Sebelum Pak Kolot kunci tulisan ini, perlu rasanya dinyatakan lagi kepada pembaca-pembaca iaitu:

Pertama. Seruannya Tuan Muhammad Yusuf Abdul Hamid, iaitu salah seorang Pak Kolot punya sahabat lama, ia meminta dengan sangat-sangat supaya penulis-penulis dan pengarang-pengarang suratkhabar bangsa Melayu campakkan ke belakang dahulu pertengkaran cawangan agama dan bekerja dengan segenap tenaga apa-apa yang perlu di masa yang sangat penting ini. Bagi Pak Kolot sendiri sudah tentu menerima dengan dua belah tangan akan seruan itu, yang memang sesungguhnya juga ugama kita itu bukannya sebagai perisai memecah belah di antara sesamanya, sebaliknya hendaklah digunakan sebagai senjata persatuan, pedoman, sepakat, bahtera kesejahteraan dan ... dan ... setahu apa lagi.

Kedua. Di dalam ruangan ((Perkhabaran Alam Melayu)), dari suratkhabar "Saudara", Pak Kolot dapat baca: katanya ada seorang yang berpengetahuan telah berkhabar dan memberi ingat kepada penulis-penulis Melayu supaya baik-baik sedikit jika menulis di dalam hal bangsa-bangsa penengkik, sebab katanya bangsa itulah yang memegang sekalian keperluan Melayu, kalau-kalau bangsa itu marah tentu diboycottnya Melayu.

Melihat hal itu, Pak Kolot jadi tersenyum dan berkata dalam hati sendiri, boleh jadi orang-orang itu perkakasnya bangsa penengkik itu, dan pengetahuannya itu tidak lain melainkan menjadi sesuap nasi belaka.

Sekiranya terjadi pemboycottnya bangsa-bangsa penengkik ke atas anak-anak Melayu itu, sudah tentu Pak Kolot berbesar hati serta bersyukur kepada Tuhan, kerana dengan jalan itu Pak Kolot percaya mestilah putera-putera Melayu lebih lekas menyingsing lengan bajunya buat membela keperluan harta benda dan perwatannya sekali.

Sampai di sini Pak Kolot terpaksa merebahkan kalam dengan meminta maaf kepada Tuan Pengarang dan pembaca suratkhabar ini sekiranya terjanggal perkataan dan susunan ayat. Maklumlah, Pak Kolot sememangnya seorang jahil, tetapi Pak Kolot berjanji jika ada kelapangan hari, akan beriuh-rendahlah lagi bacaan bagi pembaca yang budiman.

Terimalah Pak Kolot punya salam, sampai bertemu lagi.