Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Sep 1933, p.12

General Article.

Melayu dengan Perniagaannya.

Oleh al-Mahadi.

Kita sekarang bolehlah bermegah sedikit oleh sebab perniagaan bangsa-bangsa kita telah banyak terdiri seperti tukang kayu, tukang gunting, tukang dobi, kedai nasi, kedai minyak dan lain-lainnya.

Tetapi adakah boleh dimegahkan yang demikian itu sahaja?

Pada hal, bukan sedikit kedai-kedai yang berfardhu diadakan merata-rata tempat seperti kedai getah, kedai rempah-rempah, dan lainnya. Kerana kedai getah dan rempah-rempah itulah yang tidak boleh tidak akan ditepati oleh bangsa-bangsa kita setiap-tiap hari. Apa tidakkah patut lagi kita mencelikkan mata tentang ini bagi membangunkan kedai-kedai yang tersebut itu, samada dengan bersendirian ataupun bersyarikat kerana manakala adalah kedai-kedai itu terdiri merata tempat, bolehlah menjadikan senang kepada bangsa-bangsa kita membawa getah-getahnya daripada kampung-kampung terus ke kedai bangsanya dan tatakala lepas menerima duit getahnya murah pula menuju ke kedai bangsanya juga bagi menunaikan keperluan dapurnya.

Ha! Pada masa itu bukankah akan beransur tampaknya dari Melayu berjual ke Melayu dan membeli ke Melayu, kenyang pun Melayu, untung pun Melayu juga!

Ya! Kita sekarang mesti sedar akan apa yang menimpa batang tengkuk kita pada hari ini. Oleh itu janganlah dipadakan berceleter sahaja tiap-tiap seorang menyuruh buat begini-begini bagus, tetapi ia tidak memperbuatnya sekali pun begini-begini itu dengan terang boleh dikerjakannya bersalahan jika seorang menyuruh misalnya bercucuk tanam.

Tetapi ia bekerja kerani makan gaji!

Maka tak tentu sahaja kita tidak boleh memandang-pandang rupanya, tetapi yang dikatakannya patut diturut.

Ingatlah kita sedikit akan bangsa-bangsa kita ini bukan boleh dipadakan dengan cakap sahaja, tetapi mereka lebih cepat mengikut akan satu pekerjaan yang bercontoh daripada bangsanya sendiri.

Ayuh! Dirikanlah kedai-kedai perniagaan itu! carilah kawan bersyarikat! Janganlah menantikan cukup bulan ataupun cukup tahun lagi, kerana di dalam sebulan itu boleh laku perniagaan beratus-ratus, apalagi jika setahun!

Buangkanlah penyakit akan rugi itu dan lunturkanlah sangka-sangka yang tidak amanah itu kerana yang demikian sudah memang adat hidup tiap-tiap amanah ada yang tidak amanah, tetapi lamun kita tetap pada satu-satu perdirian dengan tadbir yang cukup puahlah akan terbongkang jika tidak daripada azali.

Sekarang bangsa-bangsa kita yang sedang mengalir darah kebangsaannya sedang ternanti-nanti akan kemajuan dan satu daripada kemajuan itu ialah menarikkan bangsa-bangsanya kepada mengutamakan perniagaan-perniagaan bangsanya sendiri adanya.

Perak. 15.9.1933.