Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Nov 1930, p.10

Editorial.

Kemajuan Bangsa.

Kiriman Muhammad bin Idris.

Pada malam Ahad yang lalu, Yang Maha Mulia Raja Mahmud, seorang pegawai Melayu yang tertinggi sekali di dalam pejabat tanam-tanaman di dalam Semenanjung ini telah bersyarah di dalam hal yang berhubung dengan ilmu "Tanam-Tanaman", di hadapan ramai termasuk pegawai-pegawai Melayu yang terkenal di rumah persekutuan "Sultan Sulaiman Club" Kampung Baru Kuala Lumpur.

Yang Mulia berkata: Adapun ilmu tanam-tanaman itu tersangat tinggi darjatnya daripada ilmu yang lain oleh sebab daripadanya dapatlah orang-orang menggunakan akal fikirannya dengan secukupnya mengambil pelajaran bagi Akhirat yakni satu perkara yang amat mustahak bagi kaum Islam.

Mengikut syarahan Yang Mulia itu, adalah sekalian pohon-pohon atau tumbuh-tumbuhan itu yang mempunyai segala alam ini adalah bernyawa belaka dan di dalam berbagai-bagai perkara sangat bersamaan dengan keadaan kita manusia.

Adapun sebab-sebab pokok itu hidup ialah kerana ia makan. Dan adapun makanannya itu ialah daripada tanah. Ia mengambil makanannya bukanlah dengan tangan seperti kita, tetapi ialah dengan urat-uratnya yang halus-halus itu.

Tiap-tiap orang itu uterus menerus hingga ke daunnya. Tiap-tiap helai daun kayu atau apa-apa daun jua pun ditakdirkan Allah Subhanahu wa-ta`ala berkuasa menghisap udara masuk ke batang dan uratnya daripada udara dan makanannya itulah datangnya buah atau bunga itu.

Kedatangan buah-buahan itu sangat serupa ((tabiatnya)) dengan kedatangan kita manusia dan kehidupan pokok-pokok itu. Demikian juga telah disiasat oleh orang-orang Eropah dan Amerika dan didapati pokok-pokok itu bernyawa.

Adapun nyawa pokok itu tersangatlah halusnya hingga tiadalah nampak oleh mata kepalanya melainkan dengan pertolongan teropong ((microscope)).

Daripada pendapatan dan selidikan yang seumpama ini, maka dapatlah orang-orang Eropah dan Amerika itu meluaskan beberapa cawangan pelajaran yang lain hingga mengeluarkan mereka itu beberapa macam perkakas yang ajaib-ajaib dan ubatan-ubatan yang pelik-pelik hingga setengahnya mengadakan ubatan memudakan orang yang telah tua dan lain-lain seumpamanya.

Daripada Syarah ini dapatlah kita ketahui iaitu oleh sebab rajin dan usahanya orang-orang Eropah dan Amerika itu menyiasat keadaan tumbuh-tumbuhan itu, bertambahlah perusahaan mereka itu dan semakin lama semakin bertambah pengetahuan mereka hingga dapatlah mereka itu bermacam-macam ilmu yang ajaib-ajaib asalnya atau pokoknya ialah ilmu tumbuh-tumbuhan siasatlah kehidupan ilmu ini.

Begitu jua jika sungguh kita Melayu ini berhajat hendak memajukan bangsa, silalah pelajari sekalian ilmu yang telah memajukan bangsa-bangsa lain ini dan silalah siasat perbuatan bangsa-bangsa yang berkemajuan dan berkemakmuran. Begitulah kita ringkaskan kiriman ini.