Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Oct 1932, p.5

Editorial.

Lebihkanlah Tenaga dari Lidah.

Bukan sahaja di dalam masa meleset yang kita mesti melebihkan tenaga dari lidah. Tetapi juga di dalam zaman makmur. Bahwa orang-orang yang berkemakmuran itu memanglah dari orang-orang yang melebihkan tenaga dari lidah.

Kita selalu mengkhaskan ruangan kita bagi karangan-karangan yang mengandungi perkhabaran-perkhabaran Pekan-Pekan Mingguan meski kita ketahui setengah karangan-karangan itu hanya umpama kelapa tebal sabut.

Tetapi oleh kerana perniagaan Melayu itu memang tujuan kita, maka apa juga karangan yang datang asal berhubung dengan perniagaan kita muatkan sahaja dengan niat supaya mengembirakan hati anak-anak bangsa kita supaya menghadap kepada perniagaan iaitu satu daripada mata pencarian yang mulia di dunia.

Perniagaan itu mempunyai faedah yang tidak akan diperdapat dengan hanya membuka buku atau membuka telinga; tetapi harus diperdapat oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh memerhatikan dan mencubanya.

Kejayaan orang itu selamanya bergantung kepada laku dan laku itu bertempat di dalam saku langganan. Orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari penghidupannya dengan perniagaan kelak akan sempat sendirinya mengetahui faedah bagaimanakah rupanya barang-barang yang akan laku?

Bacalah rencana ingatan tulus ikhlas yang keempat, kemudian bawalah pembacaan lidah itu kepada tenaga anggota, Inshallah mujarab!

Bertempik Maju Melayu sahaja dengan tidak dicontohkan dengan tenaga tidaklah akan bermakna sama sekali kepada perniagaan kita. Usahakan hanya dari pengarang surat-surat khabar dan penulis-penulis hingga jika bersama-sama rata-rata sekali pun tidaklah akan berfaedah melainkan dengan tenaga anggota. Dan jangan pula selalu suka berputus asa apabila satu atau dua percubaan itu telah terbabas.

Sungguh pun perniagaan Pekan-Pekan Mingguan itu kecil, tetapi tidaklah yang demikian itu terkeluar daripada tenaga Alif Ba Ta ilmu perniagaan. Jika diansur ke atas sedikit-sedikit oleh orang-orang yang ingin kepada penghidupan berjual beli, yakni bukannya oleh orang-orang kampung yang datang berjaja sayur atau buah-buahan yang akan balik ke kampungnya setelah pekan itu bersurai sama ada dagangannya laku atau tidak.

Adanya sayur-sayuran tanaman Melayu dan Pekan-Pekan Mingguan itu belum boleh dikata oleh jasa seruan orang-orang Melayu di dalam surat-surat khabar itu meski yang demikian itu barangkali tak dapat dinampakkan sama sekali.

Tetapi harus berdampak dengan kejatuhan harga getah, sebab mana orang-orang Melayu itu telah dihimpit oleh kesusahan; dan kesusahan itulah yang telah menyebabkan adanya sayur-sayuran Melayu dan Pekan-Pekan Mingguan. Dari sebab itu, jika begitulah adanya, maka tidaklah kita berharap yang Pekan-Pekan Mingguan itu akan kekal jika sebab-sebab adanya Pekan-Pekan Mingguan itu tidak kekal.

Oleh kerana kita sangat-sangat berhajat kepada perniagaan untuk penghidupan sebahagian daripada umat kita, hendaklah kita berkira bagaimana perniagaan Pekan-Pekan Mingguan itu harus dikekalkan. Atas ini, kita harus berseru supaya terbuka pula cawangan saudagar-saudagar sayur yang lebih besar yang boleh memindahkan dagangan Pekan-Pekan Mingguan itu ke lain pekan atau ke lain bandar ataupun ke dalam Pasar Market.

Di Pasar Market Kuala Lumpur ini sangat patut diuntukkan dua tiga buah bangku tempat menjual sayur-sayuran tanaman-tanaman murid-murid sekolah Melayu dan sayur-sayuran kampung-kampung itu dan satu dua bangku lagi tempat menjual ayam, itik, yang boleh dikutip di kampung-kampung Melayu dan dari belaan kanak-kanak sekolah Melayu supaya orang-orang Melayu itu semakin terasuh di dalam ilmu perniagaan.