Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 10 Oct 1932, p.5

Editorial.

Bangsa Melayu dan Bangsa Malayan.

Bukan sedikit hujah-hujah pertegangan yang telah dikemukakan oleh bangsa Malayan itu untuk alasan-alasan meminta hak dan bukan pula sedikit hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh bangsa Melayu mempertahankan hak-hak itu; yang kata mereka hak kepunyaan yang dipakai mereka dari tok nenek mereka, telah tersiar semuanya di dalam suratkhabar-suratkhabar bahasa Inggeris terutama sekali Malaya Tribune Singapura yang pada masa yang akhir ini telah menamatkan pertegangan itu dengan jalan menahan dirinya dari membuat surat-surat yang berkenaan dengan pertegangan itu yang katanya ditakuti kalau-kalau mendatangkan amarah yang tidak digemari.

Sungguh pun kedapatan sebahagian besar dari tulisan-tulisan yang bermakna mempertahankan hak Melayu di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu, tetapi tak pernah kedapatan suara tuntutan bangsa Malayan itu di dalamnya. Barangkali harus-harus oleh kerana mereka tidak mengetahui Bahasa Melayu dan tak seorang jua pun daripada orang-orang Melayu yang ingin menyalahi kepada pihak Malayan itu.

Tetapi di dalam golongan pihak Malayan itu bukan sedikit kedapatan suara-suara yang ikhlas mempertahankan hak orang-orang Melayu terutama sekali Mr. M. Jegar, Kuala Nerang, Kedah, yang telah yang berani menentang seorang penulis yang bernama H.L. Windcote Kelantan yang telah melompat menunjukkan belangnya tak puas hati atas peraturan negeri yang berjalan di dalam negeri-negeri Melayu terutama sekali Kelantan, di mana hak-hak tanah dan politik negeri itu dijaga dengan kuat. Alasan-alasan mereka tidak lain dari alasan-alasan yang pernah kita dengar, iaitu mereka membuka negeri ini.

Ada pun rempat ratus yang tersebut yang menjadi ramuan bangsa Malayan baru itu ialah orang-orang yang datang dari benua Cina dan India tetapi tamak dan halobanya kedua-dua bangsa ini hendak merebut hak orang-orang Melayu tidak sama.

Malayan yang berasal dari India ada kendur sedikit, barangkali juga oleh sebab harta-harta mereka terkendur juga dari Malayan yang berasal dari benua Cina.

Kita tak usah hairan apa sebab Malayan yang datang dari benua Cina itu lebih banyak berharta di sini dari Malayan yang datang dari negeri lain?

Kerana yang demikian itu ialah oleh sebab negeri ini aman sentosa; tidak hairan bahwa pernah dikhabarkan orang yang banyak harta-harta orang kaya-kaya dan orang besar-besar di negeri Cina sendiri disimpan di Hong Kong iaitu sebuah pulau kecil yang tiada mempunyai khazanah bumi. Tetapi aman sentosa dijagai oleh kerajaan Inggeris lebih kurang sama seperti Semenanjung.

Di Hong Kong dan di Semenanjung, mudah-mudahan harta orang-orang kaya itu tak pernah terganggu dengan jalan yang tidak halal. Berlainan Malayan yang datang dari India dan Ceylon. Oleh kerana negeri mereka aman dan sentosa sama seperti Semenanjung, kedapatan harta-harta mereka di simpan di negeri masing-masing sungguh pun ada juga berharta di sini.

Tetapi bangsa Malayan yang datang dari Cina dengan lekas sahaja lupa akan kesenangan yang diperoleh mereka di dalam negeri ini dan oleh kerana negeri kita ini diperintahi oleh satu kerajaan yang tidak kenal apakah "zalim"; melainkan semua orang yang diam di sini mesti dinaungi dengan secukupnya.

Tambahan pula suara ramai itu memang diterima baik oleh pemerintah. Sebab itulah mereka telah mendapat manja dan daripada kemanjaannya itu timbullah bermacam-macam rekaan baru hendak itu ini. Jika tidak diturut mereka akan berkecil hati hingga sampai kepada dewasa yang akhir ini, bangsa-bangsa Malayan itu menunjukkan tanda-tanda tak puas hati bersungut di sana sini, dengan suara yang nyaring yang barangkali sepuluh percent daripadanya tak boleh disebut di negeri Cina, apa lagi di Manchuria sekarang.

Negeri-Negeri Melayu ini terbahagi kepada tiga macam pemerintahan yang berlainan:

1. Selat.

2. Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, dan

3. Negeri-Negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu.

Tetapi cubalah cari di mana bangsa Malayan itu berpuas-hati.

Di negeri-negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu terutama sekali Kelantan, katalah bangsa-bangsa Malayan itu tidak mendapat muka dan katalah policy kerajaan di sana menguntukkan muslihat negeri bagi anak negerinya. Sebab itulah mereka bersungut. Tetapi mengapa mereka masih bersungut di dalam negeri-negeri yang bersekutu?

Di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu merekalah yang kaya raya dan merekalah juga yang memenuhi pejabat-pejabat kerajaan dan saudagar, rumah-rumah banglo kepunyaan bangsa Malayan, gedung, bank, rumah-rumah perniagaan di dalam bandar kepunyaan mereka; bahkan nama-nama lorong semuanya nama bangsa Malayan. Ada tidaknya tinggallah undang-undang Malay Reservenya dan sepatah kata di dalam General Order mengatakan pada masa memilih jawatan, hendaklah dipilih Melayu dahulu, itu pun mereka masih bersungut dan masih meminta itu ini.

Di negeri Selat tidak ada undang-undang Malay Reserve dan tidak pula buku General Ordersnya mengandungi perkataan memilih Melayu dahulu.

Negeri Selat telah menjadi sama seperti Hong Kong pada rupa bandarnya dan orangnya luar dan dalam. Tetapi mengapa juga di negeri Selat kedatangan suara yang lebih nyaring meminta hak?

Jawabnya pada kita, ialah kerana bahwa bangsa Malayan itu bak kacang lupakan kulit!