Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Oct 1932, p.1

Leader Article.

Bagaimana Umat Melayu Mau Maju?

Oleh Ibn Lipis, Pahang.

Soal seperti itu kelak boleh dijawab tak bertangguh lama-lama sangat. Takut kalau-kalau membuang waktu sahaja. Baik kita jawab bersendiri sahaja. Kalau tak betul, Tuan-Tuan Pembaca betulkan pula.

Sebelum orang-orang Melayu terkena susah dan hampir-hampir akan putus nyawanya, tak akan mereka itu tahu akan kesusahan dunia ini.

Barangkali betul dalam pemandangan kita ini. Mari kita beri sedikit pemandangan di atas kerana kaum kita semasa ini katanya, apa disusahkan! Kerana kita anak negeri ini. Ke mana kita hendak pergi negeri kita sendiri. Kalau seperti orang-orang Cina dan Keling, ya, susah! Kerana ia bukan anak negeri ini. Ha!

Sedap telinga mendengarnya bukan?

Semasa itulah kaum kita berlemah anggotanya bekerja kuat dan tidak hendak menambahkan ilmu anak-anak bangsanya laki-laki. Sementara itulah datangnya fikiran pemalas di otak dan urat sarafnya.

Marilah kita periksa sebelah anak-anak kampung negeri kita ini. Apakah kerjanya diperbuat sehari-hari? Tentulah Tuan-Tuan dapat menaruh nombor 80 percent yang hidup percuma sahaja. Lihatlah, adakah ditambah atau ditokok keadaan penghidupannya daripada semasa dahulu? Oh! Tentulah ada.

Tetapi barangkali cuma 20 percent sahaja. Sekarang baru-baru ini, bermegah-megah atau bersambung-sambung kerana dapat mengadakan Pekan-Pekan Mingguan atau Pekan Hari di setengah-setengah kampung Melayu itu. Keadaannya kita tak berani kata memberi keuntungan kepada umat Melayu yang sebetul, dan setengah-setengahnya memberi salah faham kepada ahli-ahli fikiran, kerana satu dua orang berfikir tak usahlah diberi bangsa-bangsa Cina atau Bombay berjual-jual di Pekan-Pekan Sari itu dengan hati bersalah faham atas jalan tabiat kemodenan.

Baiklah kita tunjukkan satu dua pekan di sebelah sini iaitu Pekan Ahad di Budu dan Pekan Rabu di Tanjung Besar.

Kalau dilorongkan Cina atau Bombay datang berniaga ke Pekan itu, nescaya pekan itu lekaslah mengambil register mati atau meninggalkan batu nesan sahaja.

Siapakah orang yang hendak berniaga dan berkebun sayur? Siapakah orang itu yang telah mengerti ilmu berniaga yang sebenar? Sudahkah Orang Melayu mengerti darah kebangsaannya? Mengertikah ibu bapa kita di kampung-kampung akan latihan guru-guru sekolah mengajar anak-anak berkebun sayur itu? Bukankah menjadi suatu musuh kepada ibu bapa kita di kampung kalau disuruh anak-anaknya mengambil atau membawa baja tahi ayam atau lembu kerana membaja sayuran di sekolah atau dekat rumahnya?

Kerana katanya, perbuatan itu hina dan malu. Bukan suatu pelajaran yang boleh membawa kemajuan anak-anaknya. Biarlah mereka itu memakan atau membeli terung, lada, timun, daripada orang-orang Cina.

Kalau Cina tidak berkebun sayur orang-orang kampung makan nasi sahaja.

Oleh itu, saya tak bersetuju lagi melarangkan Cina-Cina itu berniaga ke Pekan-Pekan Sari itu, kerana bukan masanya lagi, yakni selagi orang-orang kita di kampung tak mengerti kegunaan berkebun sayur dan tak tahu faedahnya.

Maka sekarang ubahkanlah fikiran melarang Cina-Cina berjual sayur-sayur ke Pekan-Pekan Sari itu dahulu. Tetapi kita utamakan suruh anak-anak bangsa kita berkebun sayur dengan secukup-cukupnya sehingga mereka itu berasa tak malu dan tak segan serta hilang fikirannya pada memikirkan dirinya atau anak-anaknya membawa tahi ayam dan lembu itu terhina atau berkebun sayur itu suatu perkara maruahnya terkebawah sekali.

Maka mereka itu berhidup selama-lama berharapkan air kencing Cina-Cina belaka.

Tidak malu dan tidak segan!

Biarlah dikatakan oleh orang-orang dagang Melayu Pemalas, Lokek, Tak Mengerti Ilmu Perniagaan, Miskin, Bangsat, hidup bermanja-manja sahaja, dan, dan ... tetapi orang sekarang tak juga mahu menebus kebangsaannya.

Maka pada fikiran saya, eloklah Encik Guru-Guru, Datuk-Datuk Penghulu dan ibu bapa di kampung-kampung itu berusaha-usaha menyeru sekuat-kuatnya kepada anak bangsa kita berkebun sayur. Bila sudah banyak-banyak sayur-sayur menjadi, bawalah ke Pekan-Pekan Sari itu, juallah murah-murah, asalkan jangan merugikan daripada pokok sudahlah!!

Kerana anak-anak kampung itu berdiam di situ juga tidak payah menumpang kereta atau belanja banyak. Maka orang-orang Melayu yang tiada berkebun sayur itu belilah dengan sayur-sayur bangsa sendiri. Maka bila didapati sayur-sayur Melayu bertimbun-timbun di pasar itu dengan jayanya; dan pembeli-pembeli Melayu itu suka akan sayur bangsanya, ketika itulah Cina-Cina itu nanti berhenti dengan sendirinya dan tak payah membuka mulut dan memerahkan mata kepada Cina-Cina itu.

Fikirlah sedikit umat Melayu yang tiada berfikiran kasih kepada anak bangsanya. Kita mesti lawan dengan tenaga tulang urat untuk bekerja, bukan untuk lidah berkata sahaja. Buat begitu baik buat begini baik. Tetapi siku dan lengan baju belum terbuka lagi!!!

Kita bersetuju bangsa-bangsa lain menunjukkan tauladan yang layak dan mengaku mereka itu pandai di dalam ilmu berniaga, berkebun sayur, membuat penyapu sabut, ijuk, kabung, kasut kayu, kerusi, tukang jahit, tukang gunting, dan beribu-ribu lagi yang boleh dipandang oleh kita sehari-hari.

Orang kita masih berpeluk tangan ke belakang lagi dan masih berbeka-beka dan menyiasat puyuh, merbuk, tekukur dan ayam mana-mana yang ada berbuat, kerana hendak dijadikan persabungan dan modal hendak naik ke Mekah sana.

Sementara itu, dan sempat pula mengatakan Cina-Cina tak layak berjual ke Pekan-Pekan Sari atau berkedai-kedai di kampung-kampung Melayu dengan lidah sahaja. Tetapi mencuba berkedai atau berjual tak mahu.

Semata-mata iri hati sahaja dengan tidak ada sebab-sebabnya yang boleh dibawa tengah dan tahan uji. Barangkali ada juga orang-orang Melayu sekerat dua berniaga di kampung-kampung Melayu, tetapi tidak berapa lama sudah berhenti dari sebab dua perkara: pertama-tama, ahli-ahli penjual tidak mengerti dalam ilmu urusannya. Yang kedua: pembeli-pembeli kaum sendiri tidak menghargakan bangsa dan negerinya.

Oleh itu, cubalah Tuan-Tuan Pembaca karangkan ((bukukan)) di atas dua perkara itu. Kalau bolehnya tiap-tiap kedai Melayu atau umat Melayu memegang sebuah seorang, mudah-mudahan boleh berjalan sama-sama tidak bengkang-bengkok lagi.

Terima kasih Tuan P.M.

Was-salam kepada Tuan-Tuan Pembaca.