Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 24 Oct 1932, p.5

Editorial.

Lawatan Sir Samuel Wilson.

Brigadier General Sir Samuel Wilson telah bertolak dari England pada 20 haribulan ini, dan akan berada di dalam Semenanjung dari awal November. Seterusnya Tuan itu akan melawat segenap tempat yang perlu dilawati berhubung dengan perkara perubahan baru yang juga bererti membalikkan kuasa sebagaimana pernah kita wartakan berulang-ulang.

Lawatan Sir Samuel Wilson itu adalah suatu lawatan yang rasmi guna menyelidiki keadaan zahir dan batin ehwal Persekutuan Negeri-Negeri Melayu yang sedang di dalam perbantahan tentang adakah perubahan baru itu mustahak didatangkan.

Menurut seperti peringatan Tuan Yang Terutama High Commissioner yang bertarikh pada 20 July 1932, yang kita terjemahkan di dalam salah satu keluaran kita di dalam bulan ini, bahwa perubahan baru itu amat mustahak didatangkan selekas-lekasnya mengubah perjalanan aturan pemerintahan sebagaimana yang dikehendaki oleh treaty-treaty yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dengan ikhlas dan dengan harapan yang baik yang telah kedapatan terpelencong keluar dari rohnya yang sebenar dengan tidak diperbantahkan lagi. Dan bukanlah Tuan Yang Terutama Sir Cecil Clementi, High Commissioner yang pertama yang telah berkira hendak mendatangkan perubahan baru itu, tetapi ialah jua bekas-bekas High Commissioner yang telah lalu seperti Sir John Anderson, dan Sir Hugh Clifford, serta Tuan Ormsby-Gore, yang melawat Semenanjung di dalam tahun 1926 pada masa nyanyi rekaan Semenanjung Tanah Melayu untuk Bangsa Malayan tengah panas menggalak.

Tuan Ormsby-Gore dan juga Sir Hugh Clifford pernah berkata bahwa negeri-negeri Melayu ini pada zaman dahulu adalah berajakan Raja-Raja Islam; begitulah mestinya hari ini. Dan begitu juga pada masa yang akan datang. Demikian pula Tuan Joseph Chamberlain pada masa ia di dalam jawatan Menteri Jajahan, pernah mentasrihkan kuasa Raja-Raja Melayu di dalam State Council masing-masing negerinya tidak akan diganggu oleh Federal Council.

Tetapi perkataan itu semuanya hanya manis bunyinya di dalam tulisan sahaja, sebab itulah Tuan Yang Terutama High Commissioner sangat-sangat berkeras hendak mendatangkan perubahan baru itu supaya haluan perjalanan yang dipandang sebagai telah terpelencong itu dapat diputar balik menghala kepada haluan yang asal.

Niat Tuan Yang Terutama yang memang dikehendaki dari segenap penjuru di dalam Semenanjung, mau pun di luar Semenanjung, dari pihak yang bukan Melayu yang tidak bersenang hati jika kemanjaan mereka di dalam Negeri-Negeri Persekutuan ini terganggu oleh kedatangan perubahan baru itu.

Tetapi golongan umat Melayu berada di dalam pengharapan dan kepercayaan bahwa Brigadier General Sir Samuel Wilson kelak sempat membentangkan pendapatnya di hadapan kerajaan yang maha besar Baginda King secara keadilan yang kita tidak sekali-kali syak atasnya. Apabila kita ketahui bahwa kekusutan politik di Afrika Selatan sedikit tahun dahulu dapat diselesaikan oleh kerajaan Inggeris dengan senang, kemudian daripada telah menerima suatu penyata ((Report)) yang diperbuat bersama dengan bekas tangan Sir Samuel Wilson itu.

Begitu pun kita suka menyebut bahwa lawatan Sir Samuel Wilson itu dikatakan atas perkara Decentralization atau membalikkan kuasa yang dahulunya terpongpong [?] di dalam Pejabat Chief Secretary, maka tak syak lagi hanyalah atas Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu yang berChief Secretary sahaja, dan tidak pula perkara membalikkan kuasa itu singgung-menyinggung dengan Negeri Selat. Tetapi perhatikanlah apakah yang akan dibentangkan dan dirundingkan oleh Member-Member Legislative Council yang bukan jawatan di hadapan Sir Samuel Wilson?

Masalah memperbesar tubuh Legislative Council dengan membanyakkan bilangan Member Yang Bukan Rasmi, memang telah dimimpi oleh kaum Cina beberapa lama. Masalah meminta masuk ke dalam jawatan Malayan Civil Service memang diidam. Dan yang terlebih ganjil sekali ialah meminta Member Cina di dalam Majlis Executive Council.

Jika dibilang tidak kedapatan satu pun berhubung dengan lawatan Sir Samuel Wilson, jika dikatakan lawatannya atas perkara membalikkan kuasa.

Kita masih ingat dua tiga tahun dahulu bangsa-bangsa Asiatik di dalam Selat terutamanya Cina, tidak berhenti-henti meminta supaya diangkat seorang bangsa Asiatik di dalam Executive Council dengan alasan itu dan ini.

Akhirnya permintaan itu diterima baik oleh kerajaan. Maka Yang Berhormat Encik Muhammad Eunos bin Abdullah pun diangkat menjadi Memberi Executive Council.

Waktu itu kita menyangka mereka akan diam kerana tuntutan mereka telah diterima. Tetapi sekarang barulah ketara rupanya ... untuk Cina!

Barangkali pada masa mereka meminta dengan nama Asiatik dahulu, mereka tidak menyangka kerajaan tidak akan mengangkat Cina apabila permintaan itu lulus.

Barangkali kita akan mendengar tuntutan sepupu mereka di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.

Biarlah kita tunggu.