![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 24 Oct 1932, p.7
General Article.
Nasib Pekan Ahad di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.
Di dalam jajahan Kuala Pilah, bolehlah dikatakan Pekan Ahad di Tanjung Ipoh yang boleh maju daripada pekan-pekan sehari yang lain.
Tetapi tentang nasibnya tidaklah guna sangat diberitakan dengan panjang lebar kerana menepuk air di dulang perciknya ke muka sendiri juga. Boleh dibilang tiga suku daripada penjual-penjual di pekan itu daripada bangsa lain, terutama sekali Cina dan Tok Janggut Panjang. Di dalam adalah suku bahagian Orang Melayu di celah-celah bangsa asing itu termenung-menung mengenangkan nasib mereka dipotong oleh bangsa asing.
Di minggu yang lepas, Tuan Pegawai Jajahan Kuala Pilah telah memanggil segala committee-committee dan jawatankuasa bagi semua pekan sehari di dalam jajahannya kerana bermesyuarat berkenaan hendak menghapuskan bangsa-bangsa asing daripada berniaga di pekan-pekan sehari itu.
Khabar angin ada didengar yang permesyuaratan itu belum berapa putus oleh sebab ada sesuatu perkara yang masih difikirkan lagi. Perkara itu ialah berkenaan dengan Sumatera dan Jawa, yang bersama-sama berniaga di pekan-pekan sehari itu. Banyak committee-committee yang menolak keluar sama sekali seperti bangsa Cina, Benggali dan Bombay itu.
Di dalam fikiran penulis yang singkat, tidak mengapa diberi campur atas bangsa Sumatera dan Jawa itu kerana dek semua Melayu juga; yang mana lain sebutannya sahaja anak dagang. Bukankah mengikut tawarikhnya ini, asalnya datang dari Sumatera juga? Bukankah di dalam buku ilmu alam Melayu itu tersebut Tanah Melayu dan gugusan pulau-pulau Melayu?
Jadi sudah terang bangsa Sumatera dan Jawa itu tidak terasing daripada bangsa Melayu oleh sebab Sumatera, Jawa dan lain-lain pulau-pulau berdekatan di situ termasuk di dalam lingkungan gugusan pulau-pulau Melayu. Tentang ini penulis meminta sokongan daripada pembaca-pembaca yang bijaksana; adakah betul seperti fikiran penulis itu?
Haraplah hai kaumku! Fikirankan lebih lanjut lagi perkara ini. Hapuskanlah bangsa asing itu supaya girang hati Melayu ke jalan perniagaan.
Penulis sangat-sangat hairan kerana di dalam committee-committee yang ramai itu, ada juga yang bersetuju hendak melapangkan peluang bangsa asing itu berniaga di pekan-pekan seharinya.
Bukankah daripada dahulunya lagi telah diberitakan tujuan hendak mengadakan pekan-pekan sehari itu ialah hendak memajukan perniagaan dan perusahaan Melayu, bukannya sekali-kali hendak memajukan perniagaan bangsa Cina dan Benggali!
Celikkanlah mata, gunakanlah fikiran sendiri! Majukanlah perniagaan Melayu.
Jualan di Pekan Ahad pada 9 October 1932 jualan hari itu penulis telah menyiasat adalah lebih kurang jumlahnya $450 ((empat ratus lima puluh ringgit)); iaitu daripada pagi sampai pukul 1 petang. Pelawat-pelawat hari itu tidak kurang daripada seribu orang; semuanya Melayu.
Cubalah fikir tidak ada sepuluh ringgit pun daripada beratus itu terkeluar daripada saku bangsa lain melainkan daripada saku bangsa Melayu. Daripada sebanyak itu, tidak ada separuh harga jualan dagangan Orang Melayu. Bukanlah sudah terang nampaknya Melayu menimbunkan wangnya ke saku Cina dan Benggali bagi bekalan mereka pulang ke negerinya.
Jikalau Melayu sahaja berniaga biar pun dua ratus ringgit sahaja lakunya hari itu, tetapi ke saku siapa akhirnya pergi wang itu? Bukankah ke saku Melayu? Dua ratus ringgit ke saku Melayu itu boleh disamakan lima ratus ringgit ke saku bangsa asing. Kerana seperti sepatah kata: keluar daripada saku kanan masuk ke saku kiri!
Demikianlah nasib Pekan Ahad itu dewasa ini.
Wasalam kepada pembaca-pembaca sekalian dan terima kasih kepada Tuan Pengarang Majlis kerana ruangannya.
Pengarang: Kita tidak percaya yang committee Pekan itu berniat akan mengecualikan Melayu dagang Sumatera, Jawa atau Boyan dari golongan orang-orang yang dibenarkan bercampur di dalam pekan-pekan mingguan itu. Barangkali Tuan Tanjung Ipoh di atas keliru atau salah faham. Kita meminta kiranya Tuan, atau siapa-siapa yang betul tahu akan hal ini memberi tahu kepada kita untuk pengetahuan bersama.
top |