Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 27 Oct 1932, p.5

Editorial.

Mengapa Syarikat Jimat-Cermat Melayu Tak Boleh Berdiri Sendiri Sahaja?

Di mana-mana di dalam keluaran ini, kita siarkan tulisan Tuan Member Susah Hati berhubung dengan soal di atas.

Kita tidak berhajat mendatangkan jawapan yang lain; tetapi kita harus menyokong ura-ura Tuan Penulis yang budiman itu. Atas itu, kita harus berkata bahwa syarikat Melayu patut didirikan sendiri dan terasing dari percampuran bangsa lain.

Kita tidak akan berkata bahwa bercampur dengan bangsa asing itu keji atau rugi, tetapi kita wajib bekerja melatih anak-anak bangsa kita mengemudikan satu syarikat sendiri supaya kita beransur-ansur keluar dari kuit belanja orang ataupun keluar dari golongan yang mesti dikemudikan orang selama-lamanya.

Yang demikian itu berjodoh benar dengan tujuan-tujuan pemuda kita zaman sekarang yang telah mencuba akan menghapuskan tuduhan-tuduhan yang telah berkoyan mengatakan Melayu tak layak.

Jika sebenarnya tujuan kita hendak melatih anak-anak Melayu, maka tidaklah ada halangannya mendirikan sebuah syarikat yang dikemudikan sendiri oleh orang-orang Melayu dan tidaklah pula kita syak yang pejabat syarikat bekerja-kerjasama itu akan enggan menyokong dan mengedari syarikat itu hingga sampai kepada suatu kejayaan yang harus diperdapat oleh orang yang bersungguh-sungguh.

Lihat kekuatan Member Syarikat Pegawai Kerajaan Selangor itu antara 1318 orang kedapatan 522 Melayu. Artinya, 796 orang lain berkumpul padanya Hindi, Ceylon, Cina, Nasrani dan Orang Putih. Kita boleh berharap sebuah syarikat yang kukuh akan berdiri jika dengan member 522 orang Melayu pegawai-pegawai kerajaan.

Bahkan lebih kukuh lagi jika syarikat itu dibukakan kepada Melayu yang di luar jawatan kerja seperti kerani-kerani bank dan lain-lain pejabat saudagar; apatah lagi pula kita telah mendapat khabar dengan sahnya bahwa Tuan Nazir Sekolah dan Penolongnya sedang mengajak guru-guru sekolah Melayu masuk menjadi member syarikat itu. Tidaklah barangkali kita tersilap jika kita teka syarikat Melayu menurut ura-ura itu akan berkejayaan.

Syarikat Pegawai-Pegawai Kerajaan Selangor itu telah membelanjakan wang tak kurang dari $6,108 setahun atau lebih dari $500 sebulan untuk belanja pegawai-pegawainya yang tak seorang jua pun Melayu. Jika membernya hanya 1318 orang, ertinya member-member itu telah membayar lebih kurang $5 setahun seorang.

Atas wajibah* penghematan kita harus bertanya siapa memakan wang itu?

Kita tidak cemburu oleh wang itu tak dapat dimakan oleh orang-orang Melayu, tetapi kita harus terkilan apa sebab Melayu tidak diangkat menjadi pegawai?

Jika kita jadi bersungguh-sungguh nescaya kita akan mendapat jawab begini: pertama-tama Melayu tidak layak. Kedua tidak ada yang suka menjadi pegawai. Ketiga tidak ada yang suka mendapat wang. Keempat orang bangsa lain tak suka Melayu jadi pegawai. Yang mana semuanya jika orang-orang Melayu suka bolehlah dijadikan alasan bagi mendirikan sebuat syarikat yang bersendiri.

Patutlah diingatkan bahwa syarikat yang demikian itu memang telah terdiri di Seremban dan di Perlis, dikemudikan oleh orang-orang Melayu sahaja. Dan tidak pula kurang perjalanan syarikat-syarikat itu dari syarikat-syarikat yang dikemudikan oleh bangsa lain. Mengapa syarikat jimat cermat Melayu Selangor tak boleh berdiri sendiri sahaja?