![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 10 Mar 1932, p.6
Surat Kiriman.
Keadaan Terengganu.
Penulis maklumkan sayu hati mengenangkan di dalam masa meleset selam ini akan orang-orang Terengganu, Anak Watan, makin bertambah-tambah biaklah mereka-mereka "Anak Watan" Terengganu yang tiada berpekerjaan.
Maka pada pandangan penulis adalah suatu jalan yang boleh dan patut sangat-sangat orang-orang di negeri penulis, Anak Watan Terengganu, mengambil berat dan berusaha di dalam perkara bercucuk tanam yang terutama sekali tanaman padi, pisang, ubi, jagung dan sayur-sayuran. Kerana sekaliannya itu jadi makanan orang-orang kita Melayu ialah yang terutama sekali yang disukai oleh orang-orang Melayu ialah beras.
Sebab itulah patut dan wajib anak-anak Melayu Anak Watan berusaha bertanam padi kerana tanah di dalam negeri kita Terengganu cukup molek bagi pergunaan persawahan dan perkebunan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Akan tetapi dengan kerana kemalasan dan tidak mengambil berat yang secukupnya tentang berusaha bertanam padi dan berkebun itu. Maka itulah ditetapkan oleh beberapa kesusahan bagi pencarian kehidupan. Maka separuh daripada separuhnya malu konon membuat kerja-kerja itu dan senantiasanya berharapkan jadi kerani atau hendak makan gaji sahaja, bahkan tidak pula mereka-mereka itu malu berbual-bual merata-rata kedai dan di simpang-simpang jalan atau lorong dan ... dan ... dan ... maka tentang berusaha itu tidak pula disukainya hingga begitu ditinggalkan sama sekali.
Akan tetapi adalah juga yang berusaha, maka tidak pula kekal dan tidak mencukupi bagi kehidupannya kerana kerjanya sambil lewa sahaja sebarang apa-apa pekerjaan yang diusahakannya; lagipun tiada molek kita berharapkan beras-beras dari luar negeri "asing" itu, sehingga separuh daripada separuh ada wang disimpan untuk pembeli makanan, akan tetapi apakah faedahnya wang sekiranya wang-wang itu tiada?
Lagi satu penulis dapati banyak kebun-kebun yang ditinggalkan dengan penuh hutan belukar dan pula ditanamkan pohon-pohon lalang sahaja. Oleh itu hingga menjadi kehidupan halaman dan diduduki oleh pahlawan-pahlawan hutan dan lain-lainnya. Cubalah perhatikan tanah-tanah di dalam negeri Terengganu, apatah lagi di hulu-hulunya.
Maka yang penulis lihat ada sedikit-sedikit kebun tanaman yang molek ialah di tepi-tepi jalan Bukit Payung itu pun yang diusahakan dan dipunyai oleh pembesar-pembesar dan tauke-tauke Cina sahaja. Maka oleh kebelakangan dan kebiaraan tidak dihiraukan menjaga tanahairnya. Sebaliknya kita berusaha bersungguh-sungguh seberapa yang boleh dapat dan terpedaya oleh kita tentang tak boleh. Apakah daya upaya kita, akan tetapi syaratnya dikehendaki kekal. Maka patut juga pembesar-pembesar dan Datuk-Datuk yang mampu tadbirkan bagi perbantuan rakyat-rakyat dan anak-anak negeri yang tiada berpekerjaan.
Had inilah penulis diharapkan maaf serta diucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang bijaksana dan was-salam kepada Tuan Pengarang Majlis adanya.
top |