Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Oct 1932, p.5

Editorial.

Perniagaan dan Perusahaan Melayu Layu.

Zaman Kepicikan atau Zaman Meleset ini telah memaksa sebahagian besar dari umat kita bergerak di dalam hal yang berhubung dengan perniagaan dan perusahaan; tetapi sayang umat kita masih belum mengutamakan pergerakan bangsanya. Yang bererti juga pergerakan bersama boleh jadi oleh kerana pemandangan mereka itu masih singkat ataupun bersepah enggan*.

Sebab-sebab yang menghina bangsa kita tak terpemenai banyaknya. Zaman getah berharga empat lima ratus dahulu, orang-orang Melayu telah berebut menanam getah di mana-mana, hingga getah itulah yang telah menyebabkan sawah dan ladang bertukar menjadi getah ataupun tertinggal.

Pada masa itu juga kita pernah mendengar pihak yang disangka berhemah tinggi bersungut membodohkan mereka-mereka yang menukar penghidupannya dari sawah ke kebun getah.

Jika ditakdirkan pada masa itu orang-orang Melayu hanya tertinggal di dalam sawah dan Keling dan Cina akan menjadi kaya raya oleh getah, tentu sahaja orang-orang Melayu akan keluar ke jalan raya bercawat.

Adakah tidak akan dikata orang Melayu pemalas pula?

Pada masa getah berharga tinggi, bukan sedikit penganjur dan pembesar kita melarang orang-orang Melayu bertanam getah, tetapi apabila orang-orang Melayu telah menampak jasa dari getah itu, tidaklah mereka suka tertinggal sedikitnya kebun-kebun getah Melayu itu hanya secara masing-masing.

Sebab itulah tidak kedapatan kebun kompeni Melayu yang besar-besar.

Sekarang boleh dikata kita hampir-hampir telah berputus asa di atas getah; tetapi bukankah telah timbul pula bermacam-macam perniagaan dan perusahaan bangsa kita? perusahaan atau perniagaan Melayu sekarang bukannya seperti getah dahulu. Getah tidak berkehendak kepada bekerja-kerjasama; hanya barang siapa mempunyai getah ia akan mendapat harganya semakin banyak getahnya, semakin banyak pula wangnya. Tidak terkecuali adakah disokong oleh kaumnya atau tidak melainkan getahnya wajib laku.

Perusahaan dan perniagaan kampung kita sekarang berlainan. Kebanyakan perusahaan dan perniagaan kita yang kecil-kecil itu bergantung kepada sokongan anak-anak bangsanya sendiri. Jika tidak disokong tentu sahaja layu.

Tukang dobi, elektrik Melayu telah didirikan di Kampung Baru, tetapi sayang kita pernah melihat dengan mata sendiri anak-anak Melayu lalu di hadapan rumah dobi bangsanya memangku seberkas kain baju yang banyak bakal akan dimasukkan ke rumah dobi yang bukan bangsanya. Mengapa?

Di Batu Enam, Gombak, juga telah didirikan orang sebuah kedai dobi. Mereka sanggup datang ke rumah sendiri mengambil kain yang kotor dan juga menghantar kain yang sudah diseterika. Bayarannya tidak lebih dari bayaran yang akan dibayar kepada bangsa lain. Tetapi hidup kedai-kedai dobi itu boleh dikata umpama kerakap tumbuh di batu kerana anak-anak bangsanya amat berkurangan mengutamakan perusahaan bangsanya.

Kita tak dapat mengagak apakah sebabnya orang-orang Melayu tidak mengutamakan dua kedai dobi Melayu ini?

Bayarannya sama. Barangkali disangka kurang bersih? Kita hairan mengapa kedai dobi di Kampung Baru itu dapat menerima upahan dari orang putih? Di kedai dobi lain boleh dibayar tiap-tiap bulan, kedai dobi Melayu juga sanggup begitu.

Patutlah kiranya umat kita sedar bahwa semakin banyak kain baju diterima oleh tukang dobi Melayu itu, semakin banyak pula taukenya berkehendakan memakai kuli. Kita boleh menampak bahwa mengutamakan dobi bangsa sendiri itu bukan sahaja akan menghidupkan satu taukenya, tetapi ialah juga seolah-olah kita bekerja mengadakan pekerjaan untuk anak-anak bangsa kita pada Zaman Meleset tiada berpekerjaan ini.

Kedai dobi Gombak yang capnya Ahmad Dobi telah membawa riwayat. Kain-kain yang diterima tiap-tiap bulan adalah di antara seribu dan 1,500 helai. Kaki tangannya tiga orang; seorang yang bekerja menjemput dan menghantarkan kain sahaja, dua orang tukang basuh dan keduanya juga tukang seterika.

Jika kedai ini boleh menerima 1,500 helai lagi sebulan, tentu sahaja kulinya akan menjadi enam orang Melayu. Begitulah semakin banyak kainnya semakin banyak pula anak-anak bangsa kita memperoleh pekerjaan. Jika kaum kita mengutamakan dobi bangsanya di kota ini, tidak ada halangannya kedai-kedai dobi Melayu dibuka orang merata-rata kampung. Dan barangkali juga kita akan sempat melihat kedai dobi Melayu di lorong-lorong Kuala Lumpur.

Kedai dobi Ahmad di Batu Enam itu telah menarik perhatian orang-orang Melayu di lain-lain tempat.

Kononnya Encik Ahmad telah menerima surat-surat dari Melaka, Teluk Anson, Seri Menanti, dan lain-lain tempat meminta nasihat berhubung dengan rahsia mendobi. Bahkan ada juga yang meminta orang. Tetapi sayang tukang dobi kita belum ada.

Kita berharap mudah-mudahan kedua-dua kedai dobi bangsa kita yang tersebut akan diutamakan oleh orang-orang Melayu yang telah menampak bahwa mendobi kepada kedai bangsanya dengan tidak rugi sedikit pun, tetapi ia seolah-olah akan mengadakan pekerjaan untuk anak-anak bangsanya mana-mana yang tiada berpekerjaan dan berhajat kepada pekerjaan dobi itu. Was-salam.