Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 7 Nov 1932, p.5

Editorial.

Adakah Bangsa Malayan Sebenarnya Bernegerikan Semenanjung Tanah Melayu?

Kita telah jelak mendengar pengakuan mulut bangsa yang baru direka namanya "Malayan" itu; mereka mengaku bahwa mereka telah bernegerikan negeri-negeri Melayu ini dan kononnya negeri Melayu inilah watan mereka ((pada mulut tidak lain)). Pada masa mereka menuntut hak, tetapi adakah sebenarnya mereka bernegerikan Semenanjung Tanah Melayu?

Jawabnya, bolehlah diuji kepada bantahan penulis-penulis mereka itu di dalam suratkhabar-suratkhabar mau pun Member-Member Legislative Council mereka itu atas cadangan kerajaan hendak mengadakan urusan di atas bangsa-bangsa luar masuk ke Semenanjung ini yang akan dinamakan Pendaftaran Bangsa Dagang; atas apa bangsa Malayan itu tersangat runsing hingga mereka merasa bahwa bangsa mereka itu akan tersekat masuk.

Kita sebenarnya bingung. Apakah sebabnya bangsa Malayan itu runsing di atas pendaftaran bangsa dagang sekali pun yang demikian itu akan bermakna menyekat kedatangan Cina?

Pada masa meminta dan menuntut hak pada satu ketika mereka itu mengaku berwatan negeri-negeri Malayan ini, dan pada satu ketika yang lain atau pada masa itu juga mereka membela bahasa Cina yang belum pun pernah sampai ke Tanah Melayu ini, dengan mereka-mereka yang teraku-aku berbangsa Malayan itu memang mempunyai satu anggota; tetapi hatinya dua.

Tidak kedapatan satu negeri pun di dunia ini yang akan percaya kepada satu bangsa yang demikian itu sekalipun mereka itu ikrar dengan lidah bahwa mereka bernegerikan negeri itu.

Di dalam salah satu majalah yang diterbitkan di negeri Cina, bahwa Cina-Cina yang merantau ke luar negeri adalah di antara tujuh dan delapan milyun jiwa: 94 percent daripada mereka itu tinggal di dalam gugusan pulau-pulau Melayu ((jadi hanya enam percent sahaja di Eropah, Afrika, Amerika, dan lain-lain bahagian dunia)). Menurut angka itu bahwa 1,200,000 jiwa Cina ada di dalam jajahan Hindia Belanda atau hanya dua percent dari jumlah penduduk di Siam 1,300,000 atau 13 percent dari jumlah penduduk Siam.

Tetapi di Semenanjung Tanah Melayu sahaja ada 1,500,000 Cina. Yang bererti bahwa di antara jumlah pandai bumi Semenanjung, kedapatan Cina 40 percent. Artinya, tidak ada satu negeri pun di dunia yang lebih banyak dikerumuni oleh Cina biar pun Siam lebih hampir kepadanya dan tanahnya juga lebih luas dari Semenanjung.

Kita tidak akan mengemukakan angka Cina itu, untuk menyokong cadangan hendak mengadakan Pendaftaran Bangsa Dagang itu, kerana pendaftaran bangsa dagang itu akan dijalankan di atas semua bangsa dagang, bukannya Cina sahaja.

Tetapi kita suka mengulang kata bahwa kerapkali sangat kita mendengar rungutan mereka itu pada masa menuntut hak katanya mereka datang ke Semenanjung ini itulah kerana hendak membuka negeri ini.

Mengapa mereka tidak pergi membuka negeri di Hindia Belanda? Atau pun di negeri Annam yang memang iaitu yang lebih hampir dan patut difasalkan oleh Cina dari Semenanjung ini, jika ditilik kepada resam dan sopan bangsa Annam yang memang mesti sebahagian dari Cina itu?

Mereka pernah pula berkata bahwa jika tidak oleh kerana Cina dan India, nescaya negeri Melayu ini tidak akan begini ramai dan kaya. Kita boleh menjawab kepadanya bahwa jika tidak oleh kerana negeri ini, tauke-tauke yang bergelar-gelar di Melaka dan di Pulau Pinang itu, barangkali akan menarik beca di Shanghai ataupun sekarang menjadi pengiring Gandhi di India.