Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Nov 1932, p.5

Editorial.

Tuan Adam Kasihkan Melayu Bangsa Lain Bersungut.

Penulis Straits Times yang di kota ini telah menulis di dalam suratkhabarnya keluaran minggu yang lalu akan rungutan bangsa-bangsa yang bukan Melayu di kota ini yang tampaknya telah sampai kepada telinganya; di dalam hal yang berhubung dengan bawaan Yang Berhormat Tuan T.S. Adams ((Pemangku British Resident Selangor)) di dalam pengedaran negeri yang kata mereka itu tidak menyenangkan atau dengan lain-lain perkataan bermakna tidak insaf kerana Tuan Adam sangat-sangat cenderung ke sebelah pihak Melayu; dengan pengedaran mana mereka sangat-sangat khuatir kalau-kalau anak-anak bangsa mereka tidak dapat tiada memajak kerusi-kerusi yang beribu-ribu di dalam pejabat kerajaan itu.

Bahkan, barangkali banyak pula di antara mereka yang akan dipaksa mesti mengucap selamat tinggal kepada kerusi-kerusi yang diduduki mereka itu hari-hari ini di dalam mana yang harus dihitung tidak berapa jauh lagi. Tetapi tak usahlah bangsa asing itu bersungut di atas Tuan Adams sahaja, kerana yang demikian itu 99 peratusnya digagahi oleh zaman meleset. Hasil mahsul negeri kurang, pekerjaan di dalam pejabat-pejabat kerajaan memang kurang pula. Tentulah kaki tangan kerajaan mesti dikurangkan dan oleh kerana bangsa asing itu memang umpama lebih yang menyampah pada masa ini. Tidaklah hairan apakala lebih-lebih itu dikebas dengan sapu, nescaya lebihlah juga yang akan kecewa, Tuan Adams tentulah tidak akan menghiraukan penyanggah-penyanggah yang kecil-lecil itu jika lebih yang menyampah!

Kita tidak akan mengangkarakan yang Tuan Adam itu cenderung ke sebelah pihak Melayu di dalam hal yang berhubung dengan jawatan-jawatan kerajaan tetapi tentulah Tuan Yang Berhormat itu tidak berbuat demikian itu oleh kerana takluk kepada hawa nafsunya.

Tidak tersembunyi lagi bahwa Tuan T.S. Adams itu hanyalah seorang pegawai Malayan Civil Service yang selamanya mesti bekerja di atas landasan yang direntangkan oleh kerajaan sendiri.

Kita belum lupa akan titah Yang Amat Berhormat Menteri Jajahan Takluk Inggeris yang dibacakan oleh Yang Berhormat Tuan Chief Secretary di dalam salah satu Majlis Federal Council yang lalu yang sekarang telah menjadi surat siaran "Circular" kerajaan yang maknanya pada lafaz iaitu "pada masa memilih kaki tangan kerajaan, hendaklah anak-anak Melayu didahulukan dan pada masa menolak mereka itu pula hendaklah anak-anak Melayu dikemudiankan." Adakah Yang Berhormat Tuan Adam itu menjalankan sekehendak hatinya.

Perasaan bangsa asing itu rupanya bertukar apabila policy kerajaan yang berterus terang itu dijalankan dengan berterus terang pula. Mengapa mereka itu tidak bersungut pada masa policy itu disebut di dalam Federal Council dan dijadikan surat siaran?

Barangkali ialah mereka berharap yang madah Menteri Jajahan Takluk Inggeris itu hanya akan tertinggal di atas kertas sahaja sebagaimana madah-madah ajaib di dalam buku General Order di dalam masa seperempat kurun yang lalu yang hanya umpama roh yang tiada berjasad itu, tetapi setelah diketahui bahwa madah yang akhir itu adalah madah yang mempunyai roh yang berjasad barulah mereka itu berungut.

Cuba tatap pemberitahu "Report" Lembaga Pengurangan Belanja. Tidakkah syor mengurangkan kaki tangan kerajaan itu juga mengenai golongan Melayu? Pejabat-Pejabat Jajahan, Pejabat Hutan, Pejabat Polis, tidak sekali-kali terkecuali melainkan 33 peratus anggaran perbelanjaan itu wajib dikurangkan; yang bererti juga bahwa 33 peratus kaki tangan kerajaan yang semuanya daripada orang-orang Melayu wajib tolak. Adakah orang-orang Melayu bersungut?

Tak usahkan bersungut, tetapi beberapa banyak pula pegawai-pegawai Melayu yang meminta berhenti sendirinya sahaja dengan tidak ditolak sebagaimana boleh disaksikan merata-rata pejabat itu, terutama sekali pejabat ukur. Manakala pegawai-pegawai bangsa asing itu menanti hingga sampai ditampil*.

Tentang menerima anak Melayu bagi jawatan baru, kita tidak menyangka yang bangsa-bangsa asing itu harus bersungut di atas Tuan Adam. Tetapi menurut madah policy kerajaan yang berterus terang itu; jika Tuan Adam menerima anak-anak bangsa asing, maka anak-anak Melayulah yang harus bersungut. Begitu pun, kita tidak percaya yang pegawai-pegawai Melayu itu pandai bersungut kerana sekarang pun Tuan-Tuan British Resident yang lain bukannya seperti Tuan Adams, atas lidah bangsa-bangsa asing juga.

Di Perak, di Negeri Sembilan dan di Pahang, anak-anak bangsa asing tidak bersungut, tetapi anak-anak Melayu tidak juga.

Manakala telah diketahui bahwa policy kerajaan itu akan memperbanyak anak-anak Melayu di atas kerusi-kerusi berbagai-bagai jawatan kerajaan, tidaklah hairan bangsa-bangsa asing itu bersungut jika cita-cita itu dijalankan dengan deras dan tidak pula hairan orang-orang Melayu bersungut jika cita-cita itu dijalankan terlalu lambat.

Kita merasa berkewajipan meminta supaya cita-cita policy itu dapat dijalankan selekas-lekas harusnya dan bagi keselamatan orang-orang Melayu haruslah kiranya.

1. Dititahkan kepala-kepala pejabat kerajaan mesti mengiktibar policy itu, iaitu pada masa memilih jawatan baru, hendaklah anak-anak Melayu sahaja. Dan pada masa menolak hendaklah pula anak-anak Melayu dikemudiankan.

2. Kelayakan kerani-kerani itu patut dikurangkan daripada darjah Junior dan Senior, supaya anak-anak Melayu mendapat lebih peluang. Tidak mengapa dikurangkan pula gajinya.

3. Lain daripada anak-anak Melayu, mahulah dengan kebenaran Tuan British Resident bagi jawatan satu-satu negeri. Jika jawatan Pejabat Persekutuan mahulah dengan kebenaran Tuan Chief Secretary.

Maksudnya ialah supaya anak-anak Melayu tidak terbiar di bawah hawa Office-Office Assistant dan kerani-kerani besar sahaja.