Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 24 Nov 1932, p.8

Leader Article.

Apa Kewajipan Kita Masa Sekarang.

Kata A.N.P.

Sebelum kita merombakkan tenaga dan seruan kita di ruangan Majlis ini, kita telah mengetahui apakah kejadian dan perhatian Anak Negeri Pahang ((ANP)), akan jejakan buah fikiran dan pemandangan serta bandingan penulis di atas nasib sesebuah negeri dan anak negerinya?

ANP berasa tak sedap darah dan kegegaran darah gemuruh kalau-kalau terpesong haluan dan tidak menuju sebagaimana Cina-Cina.

Penulis kasihkan tanahair dan menebus kebangsaan; al-maklumlah negeri kita ini masih belum terbuka kepada sport kemajuan!

Pada hal, kita menulis itu cuma yang hak dan membuat bandingan serta mengisahkan nasib sesebuah mukim atau kampung di jajahan Kuala Lipis, Raub dan Bentong. Barangkali meneruskan mata ke jajahan Kuantan dan Pekan; di dalam mana belum sempat kita menghabiskan pemandangan penulis; rupanya saudara-saudara saya Putera Bumi di Pahang ini telah menunjukkan pula tanda kasih sayang kepada negerinya serta menyokong dan menegakkan seruan ((pemandangan)) penulis itu. Semasa mana kita dapat keadaan anak negeri ini, demikian itu berbesarlah hati dan penuh kepercayaan akan boleh sampai ke medan yang dicintai oleh kita umat Melayu sezaman ini. Tidaklah tercicir penulis seorang diri tercuat-cuat di tengah hutan rimba raya yang masih tebal dan semak samun itu.

Hati penulis memang belum bertetap dan berani hendak merempuh ke dalam hutan rimba yang sebesar-besar itu mengikut kesan-kesan rusa, kijang, pelanduk dan kancil. Kerana penulis belum mahir dan tak tahu selok belok bukit bukau, gunung ganang, di seluruh negeri ini. Takut kalau-kalau tersesat pula di dalam rimba raya dan benua itu. Dan takut kalau-kalau keputusan dan tak kecukupan bekalan bagi menurut benda-benda yang kita cintai itu. Akhirnya, tertinggal di dalam ingatan omong-omong kosong sahaja. Inilah yang ditakutkan!!!

Akan tetapi pada musim yang akhir ini, tidaklah begitu bimbang di hati ANP manakala memandang seruan dan sahutan-sahutan daripada saudara-saudara saya Anak Negeri Pahang yang sejati dan berbangsawan itu.

Pada kali ini, ANP tuliskan kepala karangan ini, Apa Kewajipan Kita Semasa Sekarang?

Sedikit daripada jawapannya hendaklah kita anak negeri membuat kepercayaan hati dan menimbulkan sepakat satu hati anak negeri Pahang, tidak semua pandai mengarang, tidak semua pandai berkata, tidak semua ada wang, dan dan ... artinya siapa pandai mengarang, menulis, siapa pandai berkata, berpidato, siapa yang ada wang, menolong yang tidak berwang mencari, dan lain-lain.

Sekarang, oleh kita hendak beroleh kehasilan dan menepati kemajuan kita, tidak lainlah kewajipan kita sewaktu ini; iaitu hendaklah kita anak negeri bekerja sama-sama dan mencari tujuan yang sama rata. Ialah kewajipan kita sekarang iaitu Persatuan Melayu Pahang, yang sama rata, dan sama deras. Bila kala berdirinya Persatuan Melayu Pahang itu kelak, bolehlah kita merundingkan apa-apa kemahuan dan keperluan bagi anak negeri ini.

Ialah sekarang ANP serukan kepada Tuan-Tuan yang ada cinta kasih kepada bangsa dan negerinya merundingkan hal Persatuan Melayu Pahang itu dengan seberapa segeranya!

Pilihlah daripada berbagai-bagai jawatan dan ketua-ketua di dalam sesuatu pejabat di dalam negeri ini buat merundingkan apa-apa gaya perdirian dan kedudukan yang elok dan persetujuan ramai. Di dalam surat yang terbuka ((sebagai suratkhabar)) ini biarlah kita tuliskan jawatan yang wajib mengambil berat dan insaf atas perdirian anak bangsanya atau Persatuan Melayu Pahang itu.

Iaitu pembesar-pembesar negeri, penghulu-penghulu, guru-guru sekolah Melayu dan guru-guru agama, kadhi-kadhi dan kerani-kerani Melayu disertai oleh anak negeri ((rakyatnya)).

Sekiranya Tuan-Tuan berjawatan ini meneruskan bagaimana seruan penulis ini, adalah harapan anak negeri akan mendengar lagu keroncong kebangsaannya atau Melayu Pahang di dalam masa sepuluh enam belas tahun lagi.

Akan tetapi kalau-kalau kita tidak kerjakan sekarang atau pada masa akan datang ataupun disekat penulis-penulis dengan menyingsing lengan; jangan berseru atau menulis lagi ke dalam suratkhabar-suratkhabar. Payah benarlah hidung muncung kerana pipi yang manis itu hundur ((lari)) daripada hidung. Sedang-sedang begitu pula fikiran penulis keraguan dan desak oleh makna diam-diam ubi itu jadi berisi.

Tetapi diam-diam kemajuan kalau tidak berbunyi tak boleh dikatakan maju. Lihatlah peti nyanyi itu, keluli tidak bernyanyi tak boleh dikatakan peti bernyanyi. Demikianlah pula Jepun itu dipanggil Matahari Memancar, sebab sudah ada tandanya di mana sahaja sebuah kedai Jepun kita lihat penuhlah dengan pertukangan dan perbuatan negerinya sendiri ((Made in Japan)).

Pada halnya, 70 tahun lebih dahulu, negeri Jepun itu dipandang oleh orang Barat seperti papan tidak berketam, tetapi sekarang apa nak kata?

Sudah menjadi bangsa dan negeri kelas satu di dalam dunia!

Nasib Pahang semasa ini sedang menanggung kebuluran, tetapi kita tak boleh agak tinggal selama-lamanya begitu, kerana tanahnya masih luas dan hasil buminya belum habis lagi.

ANP suka bertanya, adakah anak negerinya semasa ini beringat???

Itulah sahaja diingatkan!!!

Harap maaf kalau-kalau kekasaran!!!!