![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 28 Nov 1932, p.5
Editorial.
Suara Menuntut Hak Semakin Nyaring.
Meski policy kerajaan tidak bersulit dan pada setengah-setengah tempatnya telah berterus terang, tetapi suara bangsa asing semakin nyaring kedengaran.
Berhubung dengan jawatan tinggi, terangnya Malayan Civil Service bukannya kerajaan tidak berterus terang dengan tidak bersegan lagi, Tuan Yang Terutama Chief Secretary di dalam salah satu Mesyuarat Federal Council telah berkata pada masa menjawab soal seorang Member Cina bahwa tidak ada perubahan akan dijalankan di dalam hal jawatan itu, melainkan selamanya akan teruntuk kepada pegawai-pegawai Inggeris dan Melayu sahaja. Tetapi rupanya mereka itu masih keliru, jadi tidaklah hairan jika utusan mereka bermohon pula di hadapan Sir Samuel Wilson.
Permohonan yang demikian itu memang harus diterima, tetapi kita tidak percaya yang kerajaan Inggeris itu akan lupa siapakah puncanya yang harus memakbulkan permohonan yang demikian itu.
Kedatangan Sir Samuel Wilson adalah semata-mata kerana hendak menyelidiki soal membalikkan kuasa atau soal perubahan baru. Dari kepala-kepala Pejabat Persekutuan kepada Pejabat Negeri, dari Chief Secretary ke Resident, dari Federal Council ke State Council, dan lain-lain seumpamanya yang telah berpindah perlahan-lahan hingga berkumpul di pejabat Chief Secretary semenjak didirikan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu dengan Majlis Federal Councilnya.
Maka tidaklah akan bermakna membalikkan kuasa itu jika permintaan dan tuntutan Malayan itu diqabulkan sahaja oleh Menteri Jajahan Inggeris yang di England itu, ataupun oleh Tuan Yang Terutama di Singapura. Lebih-lebih tidak bermakna sekali jika tanah-tanah di negeri-negeri Melayu ini ditadbirkan oleh Menteri Jajahan Inggeris atau oleh Tuan Yang Terutama, dengan mana kelak senyaplah hajat bangsa-bangsa Malayan itu terutama sekali Cina, hendak menjadikan umat Melayu ini sebagaimana Indians di Amerika Syarikat, sebagaimana pernah berbayang di antara tulisan-tulisan mereka itu di dalam majalah Malayan Chinese Review, sedikit masa dahulu.
Menilik kepada galaknya tuntutan-tuntutan bangsa Malayan itu, barangkali telah hampir masanya bagi kerajaan kita menolak tuntutan mereka itu dengan kasar sedikit, manakala berhalus itu tidak memberi bekas.
Pada masa ini, tuntutan mereka itu sedang menggalak pula mengadap kepada tanah sawah. Mereka tidak bersenang hati atas adanya tanah kawasan Melayu. Mereka merasa rugi jika anak-anak bangsa mereka tidak mendapat persamaan hak di atas tanah-tanah di negeri Melayu ini.
Barangkali akan sampai pula masanya kerajaan berfikiran patut diisytiharkan semua sekali tanah hutan kerajaan di dalam Selangor misalnya, hutan larangan atau hutan simpan; di bawah jagaan Pejabat Hutan dan Tanah-Tanah yang lain dinamakan Tanah Kerajaan. Tidak terkecuali adakah tanah-tanah itu tanah pamah atau bukit, melainkan harus dijadikan hutan larangan atau tanah kerajaan supaya jangan tertinggal akan menjadi igau-igauan bangsa asing itu pada masa yang akan datang.
Adapun tanah-tanah yang lain daripada itu tentulah pada masa ini telah menjadi tanah lombong atau tanah-tanah yang sememang telah dimiliki orang ataupun tanah kawasan Melayu; biarlah berkekalan begitu hingga beberapa zaman hingga sampai kepada satu perubahan yang lain yang lebih mustahak yang akan difikirkan dan ditimbangkan oleh kerajaan pada masa itu yang bersesuai dengan zamannya pula; hingga dapat diketahui adakah Malayan itu berkekalan seperti dakwa mereka sekarang ataupun mereka menjadi Melayu sahaja. Jika ditakdirkan pada masa itu mereka sebenarnya telah bertukar bulu, bukannya dikelambui lagi. Tentulah hal mereka akan ditimbangkan dengan berat oleh kerajaan dan pada masa itu juga kita percaya yang orang-orang Melayu sendiri tidak cemburu kepada mereka.
Undang-undang pendaftaran orang dagang akan dijalankan sedikit masa lagi, sedang Semenanjung pada masa ini tidak berhajat kepada kuli, kerana pekerjaan untuk kuli-kuli itu tidak ada.
Jika negeri ini makmur semula sekalipun, kita harus meminta bahwa undang-undang pendaftaran bangsa dagang itu hendaklah berjalan terus. Patutlah tidak dibenarkan kaum kuli masuk ke Semenanjung melainkan sekadar hajat negeri kepada kuli dan pintu Semenanjung wajib ditutup rapat-rapat. Hanya melalui pintu yang ditutup itulah sahaja bangsa dagang beberapa bangsa pun dibenarkan masuk.
Kita tidak berkehendak bangsa-bangsa yang datang mencari rezekinya ke sini setelah kaya raya hendakkan hak pula yang tidak ubahnya umpama anjing tersepit itu.
top |