Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Jul 1936, p.9

Editorial

Kaum Ibu Dengan Perubatan.

“Bahwasanya sangatlah menggalakkan iaitu kaum ibu dan kanak2 kecil Melayu ternyata makin bertambah banyak hadir di klinik2 (rumah perubatan). Dan lagi telah didapati bahwa pada satu masa setengah kaum ibu Melayu berani datang “mencoba” klinik itu kemudian tidak hendak datang lagi akan tetapi sekarang mereka bercenderung hendak balik kerana belajar dan memperolehi nasehat daripada kita.”

“Satu perkara yang memuaskan hati ialah kekurangan yang besar dalam bilangan kanak2 kecil Melayu yang mati”.

“Seluruh Singapura makin banyak kaum ibu yang berhajatkan nasehat sebelum daripada melahirkan anak dan memperolehi jekaan [?] dari orang2 yang ahli pada waktu beranak.”

“Ternyata makin banyak kaum ibu dan kanak2 yang hadir di hospital dan sekarang ini banyak kaum ibu yang terus ke hospital pada masa terlahir sahaja tanda kesedaran pada diri mereka atau pun kanak2 kecil mereka itu. Mereka tiada tungu lama hingga kanak2 itu hampir mati baharu hendak dibawa ke hospital.”

Perkataan2 yang di atas ialah setengah daripada kenyataan doktor G.A. Kalk, perempuan pegawai perubatan bagi Pejabat Kesihatan Municipal Singapura.

Sanya sangatlah sukacita kita memperhatikan bahwa perempuan2 Melayu makin banyak mengambil peluang menggunakan kesenangan2 yang diadakan oleh kerajaan iatu hospital beranak dan klinik2 (rumah perubatan) bagi kaum ibu dan kanak2 kecil maka serang ini kita lihat “nurse” daripada bangsa Melayu dan lain2nya diterima dengan sukacita oleh orang2 kampung manakala nurse2 itu datang melawat memeriksa kanak2 kecil pada hal dalam masa tiada berapa lama yang lalu kedatangan nurse2 itu tiada digemari.

Perkara menjaga dan mengubatkan ibu dan anak itu amatlah mustahak dan hal ini termaklum pada sisi kita hingga pun kaum kita daripada puak yang dikatakan kuno. Oleh kerana penjagaan kesihatan mengikut cara Barat itu suatu perkara yang baharu bagi kita maka itulah sebahagian yang besar daripada kita masih menaruh harapan kepada bidan2 yang cetek pengetahuan mereka itu di dalam ihwal kebersihan dan masih berpegang kepada tok bomor2 yang mempercayai bahwa tiap2 kesakitan itu ialah perbuatan daripada hantu syaitan.

Masa seorang itu masih di atas pangkuan ibu itulah waktunya yang mustahak sekali di dalam kehidupan maka untung nasib dan perlajalanannya dalam masa kemudiannya bergantung kepada penjagaan dan didikannya yang diberi kepadanya pada waktu itu. Keadaan kaum bangsa kita tentulah lebih baik daripada yang ada ini kiranya didikannya waktu kecil itu dijalankan dengan sempurnanya.

Tak upaya kita menggunakan keterangan bahwa nasehat dan perubatan yang didapati di klinik2 dan daripada nurse2 pelawat itu baik dan patut diperolehi oleh kaum ibu kita oleh kerana sudah termaklum kepada pembaca2 akan hak yang demikian itu daripada persaksian mata kepala sendiri. Kebersihan dan perlayanan yang seperti yang dijalankan oleh nurse2 itu memadai bagi menguatkan kepercayaan bahwa lebihlah baik ditinggalkan tok bidan2 dan tok bomor2 yang seperti kita katakan tadi kekurangan dalam ilmu kebersihan.

Sanya kita yang mengetahui hendaklah mencoba dengan seberapa daya menghapuskan perasaan “permusuhan” terhadap kepada ubat2 dan perubatan cara Barat yang masih ada di sisi kaum kita dan menggalakkan saudara2 kita yang belum tahu pada memperolehi bantuan daripada nurse2 yang sudah terlatih dengan kecakapan dalam perkara perubatan yang sempurna.

Amatlah dukacita kita mengetahui daripada keterangan doktor Clark tadi bahwa banyak daripada kaum ibu dan anak2 kecil kita mengidapi penyakit yang amat ditakuti iaitu “penyakit garang” hal ini menjadi suatu pertunjuk dan bayangan yang tidak baik bagi kaum laki2 kerana tidak syak sebahagian yang besar daripada perempuan dan kanak2 kecil itu mendapat penyakit yang marabahaya itu ialah daripada kaum laki2 kita yang sahaja suka pergi mencarinya.

Lemah kaum perempuan tentang hal ini kerana tidak mudah hendak mencegah kedapatan penyakit itu bahkan banyak daripada perempuan2 ada mempunyai penyakit itu dari masa dilahirkan mereka itu ke dunia. Maka jika mereka itu kerap kali melawat ke klinik2 yang demikian itu haruslah menjadi suatu jalan bagi menolakkan penyakit yang marabahaya itu.