Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 3 Mar 1932, p.5

Editorial.

Penghidupan Melayu Semenanjung.

Menurut tawarikh, tak syak lagi bahwa pertanian atau bercucuk tanam itu telah menjadi suatu daripada mata penghidupan yang besar bagi datuk nenek kita pada zaman dahulu.

Lada hitam, cengkih, kayu manis, gambir dan lain-lain hasil bumi diusahakan mereka terutamanya untuk hasil keluar negeri. Dan bahwa perbuatan bangsa Barat seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Arab itu bukan sahaja kerana hendak meluaskan perniagaan mereka, tetapi ialah jua kerana berkehendakan hasil bumi Semenanjung tersebut, iaitu selain daripada berhajat kepada hasil hutan seperti kayu kayan, rotan, gaharu, cendana, damar, getah, kemenyan dan lain-lain seumpamanya. Dan hasil galiannya seperti emas dan timah, yang masih termashyur di dalam pasar perniagaan dunia pada masa ini.

Tetapi sayang penghidupan yang begitu makmur telah terlucut dari tangan kita oleh bersangatan perbuatan luar berserta pula oleh kelalaian kita sendiri.

Sebagaimana ternyata bahwa pada zaman dahulu datuk nenek kita sangat-sangat mengutamakan bercucuk tanam hingga bolehlah dikatakan bahwa mereka itu kaum pertanian. Tetapi semenjak haluan umum menghadap atau terputar kepada Makan Gaji, umat kita telah meninggalkan pertanian. Sejauh mana haluan Makan Gaji itu beransur ke hadapan, sejauh itu pula tertinggal haluan pertanian itu di belakang.

Kita tidak menidakkan Makan Gaji itu suatu daripada mata pencarian yang terbilang. Tetapi kita tak boleh mengata bahwa pertanian dan berniaga itu perusahaan yang hina atau pun tak berhasil bagi penghidupan umum. Oleh itu apabila kita dapati umat kita telah ditinggalkan dua daripada peluang hidup yang umpama ini, mengertilah kita bahwa yang demikian itu kelalaian dan kesalahan kita sendiri.

Di dalam masa yang akhir ini, sekolah tanam-tanaman telah dibuka oleh kerajaan di Serdang dengan belanja beratus ribu, sedang di sekolah-sekolah Melayu pula perkebunan murid-murid itu telah dimasukkan sebagai satu daripada cawangan pelajaran yang diwajibkan dan telah berjalan di dalam mana yang tak kurang dari sepuluh tahun, tetapi pekerjaan bercucuk tanam itu semakin berkurangan di antara orang-orang Melayu.

Apakah sebabnya?

Apakala menjawab soal ini, tentulah kita akan berkata tersebab dari kekurangan salah satu daripada syaratnya. Boleh jadi guru-guru sekolah Melayu itu cukup mengerti bagaimana akan mengajarkan ilmu menyebabkan benih dan memupuk, atau membaja sayur-sayuran itu kepada muridnya. Tetapi tidak beserta dengan menyemaikan perasaan suka kepada penghidupan bercucuk tanam yang sangat-sangat dikehendaki menurut haluan pada masa bab perkebunan di dalam sekolah Melayu itu mula-mula dibuka. Di antara lain-lain boleh jadi tersebab dari kebanyakan murid-murid yang telah diasuh dengan ilmu perkebunan itu bakal murid sekolah Inggeris. Yang bererti juga bekal kerani yang tertentu sahaja sekali-kali akan mempunyai haluan bercucuk tanam.

Di dalam sekolah tanam-tanaman yang di Serdang itu tersebut akan mengajarkan rupa-rupa ilmu bercucuk tanam atau pertanian. Masyallah!

Dua peluang telah dibukakan khas untuk anak-anak Melayu: pertama-tama anak-anak Melayu yang berpelajaran Inggeris di bawah Junior, dan kedua untuk anak-anak Melayu yang pass sekolah Melayu sahaja; iaitu selain dari sama-sama berhak dengan anak-anak bangsa asing memperoleh peluang belajar di dalam bahagian yang berpelajaran Inggeris yang bersyarat kepada Certificate dan Senior itu.

Alangkah berkembangan hati kita apabila kita mendengar peluang-peluang belajar ilmu pertanian itu bukanlah sambil lewa sahaja di dalam sekolah-sekolah Melayu, tetapi dipersungguhi lagi dengan sebuah sekolah pertanian yang tinggi dan luas pelajarannya untuk anak-anak bangsa kita. Tetapi kita berdukacita sekiranya benih suka kepada haluan pertanian itu tidak tersemai sama oleh mana tentulah pelajaran-pelajaran yang diajarkan itu tidak begitu memberi bekas.

Kita berkehendakan perubahan kita berharap bahwa pelajaran perkebunan di dalam sekolah Melayu itu diluaskan kepada anak-anak yang diagak akan berhaluan kepada penghidupan bercucuk tanam dan pelajaran di dalam sekolah-sekolah tanam-tanaman di Serdang itu diluaskan pemilihannya kepada anak-anak peladang dan yang lebih cenderung kepada pertanian.

Dan janganlah kiranya dilebihkan anak Datuk-Datuk atau anak Raja-Raja ataupun anak-anak orang kaya-kaya yang semata-mata kelak akan bekerja menjalankan kewajipan hanya sekadar untuk berhak menerima gaji dan sekadar akan melindungkan pangkatnya supaya pelajaran yang dibelanjakan kerajaan atasnya itu lebih memberi faedah kepada kampung mana anak-anak bangsanya.